Sunday, October 9, 2011

60,000 pelajar kita ketagih FB


KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).

Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi.

Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia

Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB.

“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial.

Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau.

Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental.

“Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri.

Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.



Wednesday, October 5, 2011

Haiwan dianiaya untuk but

PEKERJA memijak kepala anjing rakun.

 

BUT kulit haiwan asli yang dibuat daripada kulit biri-biri di Australia


BEIJING: Imej menjengkelkan ini menunjukkan anjing rakun disiat kulitnya hidup-hidup bagi membuat but kulit haiwan tiruan murah yang dibeli oleh ribuan warga Britain.

But asli kulit haiwan dibuat daripada kulit biri-biri dari Australia yang diambil melalui penyembelihan secara wajar. Bagaimanapun, rakaman filem ini menunjukkan layanan kejam ke atas haiwan yang berlaku di China apabila kulitnya digunakan untuk membuat but bulu haiwan tiruan berkenaan.

Kulit anjing rakun yang masih hidup dan bergerak ini ditunjukkan dalam filem kempen aktivis haiwan. Haiwan yang bertimbun itu mengambil masa hingga tiga jam untuk mati.

Haiwan yang ketakutan itu dipukul dengan kayu dan dilihat menendang serta menggelupur kesakitan ketika pekerja mengelar kulitnya sebelum menyiatnya. Proses yang menyeksakan itu bermula dari kaki hingga ke bahagian atas tubuh haiwan berkenaan.

Pekerja juga dilihat memijak kepala haiwan terbabit supaya ia tidak melawan. Rakaman filem mengejutkan itu yang disiarkan dalam Herald Sun mencetuskan kemarahan dan mendorong aktivis menuntut larangan perdagangan anjing rakun.

But kulit haiwan tiruan telah membanjiri pasaran dunia dan boleh didapati di internet serta kedai kasut. Kebanyakannya dieksport ke Britain. Di Australia, di mana but asli kulit haiwan dibuat - ia dijual dengan harga hingga 200 pound (RM1,000). T

Terdapat pengharaman terhadap pengimportan kulit anjing tempatan dan kulit kucing sejak 2004 tetapi kulit anjing rakun masih dibawa masuk. Siasatan dilakukan Persatuan Kemanusiaan Antarabangsa (HSI) mendapati sepasang but kulit haiwan tiruan mengandungi kulit rakun walaupun mempunyai label ‘kulit biri-biri Australia’.

Pengarah HSI, Verna Simpson berkata, puluhan produk, selain but itu menggunakan kulit anjing rakun yang diimport - dan dalam kes lain turut menggunakan kulit anjing.


Monday, October 3, 2011

Gempar!..Kelibat pocong atas bukit

POCONG...imej makhluk didakwa pocong oleh penduduk dirakam di sebuah rumah yang terbiar.

SENAWANG: Beberapa penduduk di Taman Jasmin Indah, di sini, dikejutkan dengan kemunculan kelibat makhluk berbalut kain kapan dipercayai pocong di atas sebuah bukit di kawasan perumahan berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, kemunculan lembaga itu disedari seorang penduduk, Ahmad Surathi, 41, yang mendakwa melihat kelibat makhluk itu sekitar jam 12 tengah hari.

Menceritakan detik menakutkan itu, Ahmad berkata, kelibat pocong yang berdiri tanpa bergerak di kawasan atas bukit berhampiran rumahnya sering dilihat sedang ‘bermain’ dan merenung tajam ke arahnya.

Menurutnya, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah pocong itu yang gelap selain ia didakwa hanya merenungnya saja.

“Sejak saya pindah di kawasan perumahan itu sejak enam tahun lalu, ini bukan kali pertama saya melihatnya, malah sudah lali hingga menganggapnya seolah-olah ‘penduduk’ kawasan perumahan ini juga,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, pernah dia membawa rakannya pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah malam semata-mata untuk melihat pocong itu.


“Pocong itu menunjukkan diri hingga menyebabkan rakan saya itu serik untuk datang ke rumah saya lagi dan demam selepas melihat makhluk itu,” katanya.

Ahmad berkata, dia sebenarnya seorang yang sukar mempercayai benda pelik sebegitu tetapi selepas melihat dengan mata sendiri berasa ada kebenarannya.

“Malah, beberapa penduduk di sini, selalu melihat kelibat berkenaan sedang meloncat di kawasan bukit itu dan tangki air,” katanya.

Katanya, sebelum ini, rakan sering mengusik dan bercerita mengenai pocong biarpun mereka sendiri tidak pernah melihat sebelum dia menyaksikan secara terbuka.

Malah dakwanya, anak saudaranya berusia tujuh tahun pernah merakamkan gambar pocong sedang berdiri di pekarangan rumah tinggal yang terbiar di kampungnya di Tampoi, Johor, baru-baru ini.

“Ketika itu, anak saudara saya bermain menangkap gambar menggunakan kamera telefon bimbit ibunya, dan secara kebetulan menangkap gambar makhluk itu sedang berdiri merenung rumah tinggal itu,” katanya.

“Kebetulan, rumah itu sudah lama ditinggalkan dan berdekatan dengan kawasan perkuburan, terkejut anak saudara saya dan terus demam apabila melihat makhluk itu,” katanya.

Ahmad berkata, dia melihat semula rakaman gambar itu dengan jelas sebelum terlihat tubuh putih memandang ke arah rumah lalu menunjukkan rakaman gambar itu kepada keluarga dan jiran.

“Namun, tidak dapat dipastikan sama ada makhluk berkenaan adalah betul atau ia perbuatan segelintir remaja nakal,” katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad menyifatkan penemuan pocong didakwa muncul di Taman Jasmin Indah, di sini, sebagai makhluk Allah Taala.

“Makhluk ditemui lelaki itu mungkin golongan jin yang boleh ghaib serta bertukar rupa bentuk. Bagaimanapun, saya menasihatkan umat Islam tidak mudah tergoda makhluk sedemikian mungkin boleh menyesatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.