Monday, December 31, 2012

Muntah lihat nasi macam ulat

Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - Foto Azmaidi Abidin
Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - 

Pekan: Saya lihat nasi macam ulat yang sungguh menggelikan dan tekak terus mual. Walau ada sebutir nasi terlekat di tangan, saya pasti muntah, kata Mohd Nazrul Nazri, 13. 

Nazrul atau lebih mesra dengan panggilan Pak Adik, berkata oleh kerana langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan, dia selalu diusik rakan sekolah. 
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu, berkata ada juga yang sanggup memberi duit untuk melihat keberaniannya menelan nasi, tetapi semua ditolak kerana memang dia tidak boleh makan nasi. 

Mi jadi pilihan, saya paling suka mi sup atau mi goreng, tak pernah jemu makan. Roti juga jadi pilihan dan kadangkala ibu menggantikan makanan dengan kentang serta ayam, katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Miang, dekat sini. 

Ibunya, Normah Abdul Latif, 51, berkata simptom anak bongsu daripada enam beradik itu mula dikesan selepas beberapa bulan dilahirkan. 

Ketika berusia lima bulan saya cuba memberinya nasi, namun dia muntah. Sejak itu saya dan suami, Nazri Karim, 55, tahu dia alah nasi. Kami hanya memberinya bijirin dan bila membesar, diberi bubur nasi, tapi tetap muntah, katanya. 

Mohd Nazrul juga terpaksa makan berasingan daripada ahli keluarga kerana tidak boleh melihat nasi walaupun sebutir.



Sunday, December 30, 2012

5 negara paling bahaya untuk wanita

LIMA NEGARA PALING BERBAHAYA UNTUK WANITA

Afghanistan

Sahar Gul, gadis diseksa suami

Pembuka tahun 2012, dunia digemparkan dengan insiden seorang remaja berusia 15 tahun, Sahar Gul, dipukul dan dikurung dalam tandas oleh suami dan keluarga mertuanya selama lima bulan selepas enggan bekerja sebagai pelacur.

Sewaktu diselamatkan sekumpulan aktivis di kediaman mertuanya di utara Baghlan, Sahar ditemui dalam keadaan cedera parah di seluruh badan.

Menurut polis, selain dipukul, rambutnya direntap, kukunya dicabut dan dikurung di dalam tandas di bawah tanah tanpa makanan dan minuman untuk hidup.

"Suami dan keluarga mertuanya turut mencederakannya dengan puntung rokok dan  lidahnya dikerat dengan playar," kata jurucakap polis Baghlan.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai yang menggesa hukuman dikenakan ke atas di pelakunya.

Ketua hal ehwal wanita Baghlan, Rahima Zarifi berkata kepada Reuters, Sahar yang berasal dari wilayah Badakhshan telah dikahwin dengan suspek pertengah Mei 2011 dan telah dipaksa menjadi pelacur bagi mendapatkan wang untuk keluarga mertuanya.

Sementara itu, polis kanan Baghlan, Mohammad Zia, mengesahkan ibu mertua dan kakak ipar Sahar telah ditahan, tetapi membebaskan suami dan bapa mertuanya.

Pakistan

Malala Yuosafzai, gadis ditembak Taliban

Gadis dan pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun, Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan kepada golongan wanita ditembak oleh Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah di Pakistan pada 9 Oktober lalu.

Serangan mengejut terhadap Malala yang juga aktivis paling dikehendaki Taliban itu mendapat liputan penuh media dunia sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara.

Beberapa pemimpin berpengaruh dunia termasuk Britain menghulurkan bantuan ke atas Malala dengan memberikan rawatan membuang peluru di kepalanya.

Kini, Malala yang juga simbol keberanian dan beribu-ribu pembaca yang mengikuti kisahnya itu menandatangani petisyen meminta remaja itu dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.

Bercakap bagi pihak gadis itu, bapanya, Ziauddin Yousafzai berkata, anaknya yang mesra dipanggil Malala mahu berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya kerana membantu dia untuk terus kuat.

Kejadian tersebut menarik perhatian dunia dan Taliban menerusi laman webnya berikrar akan melancarkan serangan lagi sekiranya Malala masih hidup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Amanah NHS, Hospital Universiti Birmingham, Yousafzai berkata, Malala mahu memberitahu kepada semua bagaimana dirinya sangat bertuah kerana seluruh dunia mendoakan penyembuhannya.

India
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki

Seorang pelajar perubatan sebuah kolej di India, yang cedera parah selepas diperkosa beramai-ramai di New Delhi dan diterbangkan ke Singapura untuk rawatan, meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Wanita berusia 23 tahun itu, yang mana serangannya dalam sebuah bas menimbulkan bantahan di seluruh India, meninggal dunia 4.45 pagi (waktu tempatan) di Hospital Mount Elizabeth di mana beliau dimasukkan untuk rawatan pada Khamis lalu.

Pelajar itu dipindahkan dari Hospital Safdarjung di tengah Delhi ke Hospital Medanta di Gurgaon, berdekatan dengan lapangan terbang bandar itu, sebelum diterbangkan ke Singapura.

Menurut sumber, sewaktu kejadian mangsa bersama teman lelaki yang pulang dari menonton wayang dengan menaiki bas, diserang enam lelaki. Suspek memukul mangsa dan teman lelakinya dengan batang besi dan merogolnya secara bergilir-gilir.

Laporan perubatan mendedahkan, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian dalaman badan dan suspek dipercayai menggunakan batang besi sebagai alat memperkosa mangsa.

Selepas merogol mangsa selama sejam, dia dan teman lelakinya dicampak keluar.


Tahukah anda?
Sesetengah ahli sejarah percaya asal usul keganasan terhadap wanita berkait rapat dengan tanggapan bahawa golongan itu sebagai aset dan jantinanya yang memaksa mereka tunduk kepada kaum lelaki dan wanita atasan lain.

Dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Penyingkiran Keganasan terhadap Wanita (1993), menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah satu manifestasi perhubungan kuasa yang dari segi sejarah tiada persamaan antara lelaki dan wanita di mana membawa kepada dominasi serta diskriminasi oleh golongan lelaki yang menyekat kemajuan wanita.

Keganasan terhadap wanita adalah satu daripada mekanisme sosial utama yang memaksa mereka berada pada kedudukan bawah golongan lelaki.

Pada tahun 1980, sebuah mahkamah di Amerika Syarikat telah mengharamkan hak si suami melaksanakan hukuman fizikal terhadap isterinya.

Sementara itu, adat menghukum isteri yang diamalkan masyarakat Britain dengan penderaan sederhana agar si isteri rajin melakukan kerja telah disekat pada tahun 1891.



Friday, December 28, 2012

Jodoh pemuda kudung Iraq

KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya.
KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya

Foto
IMEJ menyayat hati ketika Ali baru diselamatkan dari runtuhan rumahnya pada 2003.


LONDON: Tanpa kedua-dua tangan yang terpaksa dibuang akibat perang Iraq, tuah dialami Ali Abbas memang sangat menggembirakannya.

Dalam serba kekurangan itu, Ali berpeluang mengahwini gadis yang menjadi pujaannya sejak kecil. Kini menetap di Britain, Ali, 21, berkahwin dengan Ankam Hamza, 18, dalam majlis penuh emosi yang dilangsungkan selama dua hari di bumi kelahirannya.


Menceritakan pengalaman itu untuk kali pertama, Ali berkata, dia bukan saja tidak menyangka dapat menikahi Ankam, malah tidak menyangka terselamat dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Baghdad sembilan tahun lalu.

Sebagai seorang daripada mangsa paling parah dalam perang Iraq, Ali tidak diberi banyak harapan untuk hidup bagi meraikan ulang tahun ke-13. Banyak pihak juga tidak menjangkakan Ali berpeluang menjadi seorang suami. Selain kehilangan kedua-dua tangan, Ali juga mengalami kesan melecur pada 60 peratus badannya.


Ali juga kehilangan 16 anggota keluarga, termasuk ibu bapanya. Gambar penderitaan Ali itu tersebar ke seluruh dunia dan dia menjadi wajah ikon bagi konflik berkenaan. Kata Ali, dia tidak sangka diberi peluang untuk terus hidup.


“Saya tak pernah membayangkan dapat mencintai seorang wanita dan yang paling pasti, tidak sangka ada peluang berkahwin,” katanya. Menurut Ali, pada hari pernikahan, emosinya bercampur-baur antara sedih dan gembira.

Bagaimanapun, katanya, dia lebih terfikir bahawa dia sangat bertuah kerana dapat bertemu seorang wanita seperti Ankam.


“Memang saya tahu Ankam adalah pilihan tepat kerana dia tidak pernah membiarkan saya terfikir bahawa saya memiliki kekurangan.

“Apabila bersama Ankam, saya berasa seperti lelaki normal,” katanya. Menurut Ali, dia sentiasa dibayangi tragedi pada 2003 itu dan ia turut mengubah hidupnya. Katanya, pada ketika tertentu, dia terdengar jeritan ahli keluarganya ketika bumbung dan siling rumah runtuh menimpa mereka akibat peluru berpandu AS. Ali bernasib baik kerana dikesan seorang jiran masih bernafas di bawah runtuhan bangunan berkenaan.


Selepas dikeluarkan, dia dikejarkan ke hospital.


Penderitaan Ali menyentuh perasaan berjuta orang di seluruh dunia apabila anggota perubatan di Iraq merayu supaya dia diterbangkan ke Kuwait bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya. Akhirnya Ali diterbangkan ke Britain dan diberi bantuan tangan palsu di Hospital Ratu Mary di selatan London. Pada Jun 2010, Ali lulus ujian kewarganegaraan dan disahkan sebagai warga Britain. Sejak itu, Ali pulang ke Iraq beberapa kali untuk bertemu saudara-maranya yang terselamat dalam perang. Dalam kesempatan itu Ali diperkenalkan kepada Ankam yang pernah menjadi temannya ketika zaman kanak-kanak. - DM






Monday, December 24, 2012

Lelaki daki air terjun beku



AL KAIDA, Switzerland 24 Dis. - Seorang lelaki, di sini dilabel sebagai seorang pendaki berani mati kerana sanggup membahayakan diri dengan mendaki air terjun yang membeku, berada pada ketinggian 137 meter, semata-semata mahu mencapai kepuasan diri.

Detik-detik menakutkan yang dilalui pendaki tersebut, Walter Hungerbuhler semasa membuat pendakian itu sempat dirakamkan oleh seorang jurufoto, Rainer Eder yang berada di lokasi air terjun itu di kampung Wolfenschiessen, tengah Switzerland.

Hungerbuhler mengakui dia telah banyak kali melakukan pendakian di air terjun yang membeku semasa musim sejuk dengan menggunakan peralatan seperti tali dan tukul ais.

Katanya, dia mengambil peluang untuk mendaki air terjun Al Kaide itu yang merupakan air terjun paling sukar, walaupun berdepan risiko ais pecah dan mencair.

"Semasa mendaki, ais terjun akan mengeluarkan bunyi menyeramkan seolah-olah ia akan pecah dan mencair, tetapi bunyi tersebut merupakan petanda yang selamat," katanya.

Jurufoto terbabit, Eder berkata, lokasi ais terjun tersebut tidak berada jauh dari rumahnya.

"Keberanian Hungerbuhler sangat mengagumkan dan foto yang saya ambil sudah cukup menggambarkan keberanian tersebut," katanya.

Wolfenschiessen terletak di kawasan pergunungan berdekatan Tasik Lucerne dan wilayah itu terkenal dengan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan. - AGENSI



Thursday, December 20, 2012

Ferrari GTO RM125.2j

1962 Ferrari 250 GTO


LONDON: Hanya enam bulan lalu, kereta Ferrari 250 GTO hijau keluaran 1962 yang dibuat untuk Sir Stirling Moss bertukar tangan pada harga AS$35 juta (RM106.9 juta), menjadikannya kereta paling mahal pernah dijual.

Rekod itu akan bertahan lama jika seorang peniaga Amerika Syarikat tidak dikenali berjaya menjual kereta Ferrari 250 GTO miliknyapada harga A$41 juta (RM125.2 juta).


Ia adalah tanda-tanda bahawa pasaran untuk kereta perlumbaan paling terkenal Enzo Ferrari akan menjadi lebih hebat. Ditawarkan untuk dijual oleh broker London, tidak ada maklumat terperinci mengenai yang mana satu daripada 39 Ferrari GTO yang akan dijual. Ia juga adalah satu daripada siri GTO 29 I dan satu daripada 22 versi pemanduan kiri. Broker itu mendakwa ia mempunyai ‘riwayat yang hebat dan dijaga dengan baik oleh pemilik dahulu dan sekarang’.

Ini bermakna ia belum digunakan untuk tujuan pemanduan lasak di litar.


Ketika Ferrari membina V-12, GTO yang berkelajuan 170 batu sejam untuk perlumbaan dan berjaya mencatat kemenangan di Le Mans serta seluruh dunia, tidak pernah disangka kereta itu satu hari kelak akan bertukar kepada barangan yang disanjung. Malah sedekad selepas zaman kegemilangannya, GTO sering dianggap seperti kereta sport lusuh oleh pengumpul kereta. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila hartawan dunia mula menganggap mengumpul kereta sebagai kesenian, kehebatannya menjadikan harga kereta itu melambung tinggi. - Agensi



Saturday, December 8, 2012

Bantuan Allah untuk Palestin


BANYAK kisah pelik mengiringi perjuangan rakyat Palestin mendepani rejim Yahudi yang dilengkapi persenjataan canggih.



KIBARAN kali pertama bendera Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat 30 November lalu menjadi detik bersejarah buat lebih 4.3 juta rakyatnya.

Kibaran yang menjadi simbolik penyertaan Palestin sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu disambut dengan air mata kegembiraan. Laungan kalimah suci 'Allahuakbar' bukan sahaja bergema di New York, tetapi lebih gamat di seluruh Palestin.

"Saya anggap pengiktirafan ini adalah bantuan Allah yang sangat besar nilainya kepada kami. Sebelum ini pun, Allah sentiasa membantu kami dalam perjuangan menentang Israel," kata seorang rakyat Palestin, Abu Yazid, 29.

Walaupun bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pernah bersumpah untuk membakar setiap bayi di Palestin, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat Bumi Anbiya ini daripada berjuang menentang kekejaman rejim Zionis.

"Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan," ucap Sharon ketika melafazkan sumpahnya itu pada tahun 1956.

Sumpah Sharon

Titik tolak daripada lafaz sumpah itu, Israel sehingga hari ini sengaja menyasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin. Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Sharon dengan menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Malah, bagi Israel, ancaman kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding pemuda dewasa. Apa tidaknya, pada usia muda sudah ramai kanak-kanak Palestin yang menghafal al-Quran.

Selain kekentalan semangat rakyat Palestin, sebenarnya ada 'kekuatan lain' yang menjadikan para mujahidin mampu menentang rejim Zionis walaupun hanya menggunakan senjata tinggalan perang.

Kisah kemunculan 'pasukan lain' yang turut bertempur, jasad para syuhada yang seharum kasturi dan beberapa peristiwa aneh sepanjang perjuangan menentang Yahudi bukan sekadar menjadi buah mulut para pejuang dan wartawan malah turut disebarkan oleh para khatib dalam khutbah Jumaat mereka.

Laman blog Filisthin Al-Aan pernah menulis pada Januari 2009 bagaimana waris seorang mujahidin Briged Ezzedine al-Qassam dibelasah dengan teruk oleh tentera Israel selepas didakwa berbohong.

"Tentera Israel bertanya kepada anak lelaki kepada seorang pejuang palestin yang ditahan, apakah warna pakaian tentera al-Qassam. Anak itu menjawab, seragam berwarna hitam.

"Selepas tiga hari anak itu memberi jawapan yang sama, tentera itu berang kerana menyangka kanak-kanak itu berbohong, lalu dia dipukul hingga pengsan.

"Jangan berbohong, al-Qassam berseragam putih, bukannya hitam," sergah tentera berkenaan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan tentera Israel telah menahan sebuah ambulans. Apabila pemandunya ditanya adakah dia daripada kelompok Hamas atau Fatah, pemandu tersebut menjawab, 'saya bukan Hamas atau Fatah. Saya hanya pemandu ambulans'.


Seragam putih

Tentera tersebut bertanya lagi, 'pasukan yang berpakaian putih di belakang kamu tadi dari kelompok mana?'

Pemandu itu kelihatan bingung sebelum menjawab, 'saya tidak tahu. Tiada siapa di belakang saya sepanjang perjalanan ke mari'.

Cerita tentang tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan.

Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemu ramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berbaju putih.

"Saya merupakan seorang daripada tentera penggempur yang ditugaskan ke Gaza beberapa tahun lalu.

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.

"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang.

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut.

"Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu.

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, 'tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu'.


Al-Quran penyelamat

"Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ.

"Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, kejaiban berlaku.

"Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel.

"Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat seorang mangsa perang.

"Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya terjumpa sebutir peluru di poket lelaki berkenaan.

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa.

"Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf itu rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial, Kementerian Kesihatan Gaza, Hamam Nisman memberitahu, angka kelahiran bayi di Gaza turut meningkat walaupun kematian yang dicatatkan di wilayah itu lebih tinggi berbanding wilayah lain di Palestin.

Menurut Nisman, sepanjang 22 hari Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, seramai 1,412 rakyat Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban.

"Namun di sebalik kematian lebih 1,000 rakyatnya, seramai 5,000 bayi dilahirkan. Ini merupakan peningkatan luar biasa kerana secara puratanya dalam sebulan Gaza hanya mencatatkan kelahiran antara 3,000 hingga 4,000 bayi.

"Pendek kata, dalam tempoh kemuncak konflik Israel-Palestin, kami hilang seribu rakyat tetapi Allah telah gantikan mereka dengan 4,000 pejuang baharu," ujar Nisman.




Thursday, December 6, 2012

Motor terbang atasi kesesakan

SUPER Sky Cycle ini bergerak dengan kelajuan maksimum 56 kilometer sejam di udara atau 105 kilometer sejam di jalan raya.
SUPER Sky Cycle ini bergerak dengan kelajuan maksimum 56 kilometer sejam di udara atau 105 kilometer sejam di jalan raya.

APABILA tidak terbang, kipas pada kenderaan ini boleh dilipat supaya dapat dipandu di jalan raya.
APABILA tidak terbang, kipas pada kenderaan ini boleh dilipat supaya dapat dipandu di jalan raya.


AUSTIN (Texas): Terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas bukan lagi halangan untuk Larry Neal dan masalah itu tinggal kenangan sejak dia menggunakan kenderaan roda tiga bermotor.

Menurut Neal, kenderaan unik itu membolehkan dia bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa berdepan kesesakan.


Apa yang perlu, katanya, cuma hidupkan enjin dan terbang ke destinasi pilihan.

Digelar Super Sky Cycle, kenderaan Neal dilengkapi enjin 582 kuasa kuda dan tiga kipas sepanjang 173 sentimeter setiap satu.


Dengan kemudahan itu, Neal boleh terbang setinggi enam meter pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam.


Apabila di atas jalan raya, kenderaan itu boleh mencapai kelajuan maksimum 105 kilometer sejam.

Kenderaan berharga �46,000 (RM226,000) itu boleh terbang sehingga lima jam sebelum perlu diisi minyak semula.


Pengendalinya pula mesti memiliki lesen juruterbang sebelum boleh menggunakannya. Kakitangan The Butterfly Aircraft LLC itu baru saja memperoleh paten kenderaan berkenaan bagi membolehkan dia menghasilkannya secara besar-besaran. Setakat ini, kata Neal, dia menerima beberapa tempatan, sama ada dari syarikat tempatan atau firma antarabangsa. “Projek ini bermula sejak beberapa tahun lalu tetapi pernah tergendala seketika apabila saya gagal mencari jawapan mengenai apa yang perlu dilakukan kepada kipasnya selepas Super Sky Cycle mendarat,” katanya. Namun, Neal - berasal dari Aurora - berjaya mencari jawapan kepada kebuntuan itu dengan mencipta kipas yang boleh dilipat.

Katanya, pengubahsuaian pada kipsa berkenaan membolehkan kenderaan itu dipandu di jalan biasa apabila keadaan mengizinkan. “Pasukan peronda sempadan Texas antara pihak yang membuat pesanan dalam jumlah besar bagi kenderaan ini,” katanya. - DM