Wednesday, October 23, 2013

Rokok elektronik bernilai RM2.8j

Foto
ROKOK elektronik berhias berlian dan pelbagai permata mahal dipesan seorang ahli perniagaan 



Moscow: Seorang ahli perniagaan menghadiahkan rokok elektronik bersalut berlian kepada kekasihnya untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran wanita itu, lapor media semalam.

Rokok elektronik itu bernilai £550,000 (RM2.8 juta) dan ditempah khas seorang bilionair minyak Russia yang menetap di London tetapi tiada butiran mengenainya didedahkan.

Menurut sumber, rokok itu mengambil masa empat setengah bulan untuk direka dan dihiasi 246 berlian dengan setiap satu bernilai £1,800 (RM9,216).

“Ia juga dilengkapi 46 butir kristal kuning Swarovski dan enam karat berlian bujuk bernilai £46,000 (RM235,519) pada hujungnya.

“Selain itu rokok berkenaan dihiasi kaca Itali yang ditempa khas dengan tangan serta disempurnakan dengan butang emas 24 karat,” katanya.


Ia menjadi lebih unik kerana diberikan nama khas, dikenali sebagai Shisha Sticks Sofia tetapi tidak dapat dipastikan jika ia boleh dianggap sebagai pembayang identiti penerima hadiah itu 

Pegawai syarikat Shisha Sticks, Anthony Mixides berkata, mereka menerima pesanan untuk menghasilkan rokok elektronik yang penuh kemewahan. 

“Kami dimaklumkan bahawa wang tidak menjadi penghalang kepada pesanan itu dan ahli perniagaan terbabit cuma mahukan produk terbaik,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sebaik saja reka bentuk itu dipersetujui, kata Mixides, mereka mencari berlian serta permata terbaik yang ada di pasaran ketika ini untuk ditampal pada rokok berkenaan. 

Katanya, walaupun begitu mereka yakin ia adalah rokok elektronik terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.- Agensi

Android mudah diserang malware




KUALA LUMPUR: Sistem operasi Android adalah platform paling mudah diserang virus jenis Malware berbanding platform utama yang lain, mengikut kajian syarikat keselamatan dalam talian Trend Micro.

Kajian terbaru yang dibentangkan Trend Micro juga menunjukkan peningkatan serangan terhadap platform terbabit meningkat tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna peranti berasaskan Android yang mana hanya 19 peratus daripada mereka memuat turun perisian keselamatan yang ditawarkan vendor.

Tuesday, October 22, 2013

Sila Semak Tarikh Tong Gas Anda



TEMERLOH: Tahukah anda tong gas memasak 14 kg yang menjadi peralatan wajib dalam setiap dapur boleh meletup dan terbakar jika tidak dijaga dengan rapi?

Tong gas sebenarnya mempunyai tarikh luput (rujuk gambar untuk melihat bagaimana untuk menentukan tarikh luputnya).

Cara bagaimana memeriksa selinder gas LPG:

Di salah satu sisi selinder gas expiry date akan dikodkan secara alpha-numerical seperti berikut:

A , B , C atau D diikuti dua digit, contohnya D06.

Huruf bermaksud suku ke berapa dalam satu tahun -

A utk March (Suku pertama),

B utk June (Suku kedua),

C utk Sept (Suku ketiga), &

D utk December (Suku keempat).

2 digit itu pula menunjukkan sehingga tahun berapa selinder itu selamat digunakan

Jadi D06 bermaksud selamat digunakan sehingga December 2006.

Namun bagi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, adalah lebih baik kerajaan membuat penguatkuasaan untuk memastikan penggunaan tong gas yang selamat kepada pengguna, bukan hanya meminta pengguna membuat semakan.

“Kita perlu sedar sebahagian pengguna adalah orang-orang tua yang tiada kemahiran dan pengetahuan tentang tarikh luput dan kualiti tong gas yang dihantar dan sebahagian pengguna tidak ambil kisah hal tersebut,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Jesteru itu, katanya kerajaan tidak sepatutnya membiarkan pengguna berada dalam keadaan berisiko apabila tong gas yang tamat tempohnya dan kurang berkualiti turut digunakan oleh syarikat pengeluar.  

“Penguatkuasaan mesti dijalankan di syarikat pembekal,” cadang Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Pada Jun lalu, seorang pekerja penyelenggaraan di restoran di hadapan Plaza Low Yat, Mohd Fauzi Harun, 33, meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa akibat melecur 88 peratus terkena letupan gas akibat tong gas bocor.

Menurut ibu saudaranya Mariam Harun berdasarkan cerita rakan sekerja arwah, sebelum kejadian, pihak pembekal tong gas menghantar enam tong di restoran itu.

“Namun, pekerja mengesan ada kebocoran pada salah satu tong itu dan memaklumkan kepada pengurus restoran.

“Mangsa meluru naik untuk memeriksa kebocoran gas berkenaan. Namun, secara tiba-tiba berlaku letupan sebelum pekerja dan pelanggan restoran melihat mangsa berlari turun dalam keadaan badannya sudah hitam kerana melecur,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Pada 2011, seorang suri rumah dilaporkan maut akibat melecur teruk manakala suaminya cedera di bahagian tangan dan kaki selepas tong gas di rumah mereka di tingkat 15, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya meletup.



Friday, October 18, 2013

Penerbit filem hina Rasulullah tunai haji

Arnold Fandor




RIYADH - Seorang penerbit filem Belanda yang memeluk Islam setelah mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. berasa tenang dapat mengerjakan ibadat haji ketika ini.
   
Arnold Fandor dalam wawancara dengan akhbar Okaz Arab Saudi menceritakan bagaimana beliau mendapat ketenangan jiwa setelah memeluk Islam kira-kira
setahun lalu, menyebabkan beliau bertaubat di atas segala dosanya.
   
Fandor yang bersedia untuk melontar di Jamrah bagi melengkapkan rukun hajinya, semasa diwawancara berkata beliau merasakan hatinya menjerit kegembiraan ketika menunaikan haji.
     
”Di dalam hati saya kini merasai ketenangan. Setiap kali saya berdoa saya akan mengelap air mata apabila mengenangkan dosa-dosa saya yang lalu dan bertaubat.
   
"Kini saya akan berkhidmat dan berusaha di dalam menghasilkan filem dan produk yang dapat menaikkan Islam serta yang mencerminkan kehebatan pencipta dan keperibadian akhlak mulia Rasulullah S.A.W. selepas pulang daripada haji,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar itu semalam.

Sambil tersenyum, Fandor menyatakan beliau merasakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
   
Air matanya tidak henti-henti mengalir, menurut akhbar itu.
   
"Pada mulanya, terdapat kesulitan yang dihadapi oleh saya pada peringkat awal saya memeluk Islam kerana saya bukan datang daripada keluarga Islam dan membesar di persekitaran Islam.
   
"Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk belajar dengan lebih mendalam berkenaan agama yang agung ini.
   
“Saya berasa teruja untuk mendalami dan mengetahui tentang Islam. Lalu saya membaca banyak tentang Islam sehinggalah ia meresap ke dalam hati saya dan fikiran saya mengatakan bahawa agama Islam membawa satu mesej yang besar dan mulia.

"Kemudian perasaan tersebut semakin kuat sehingga hati saya terbuka lalu saya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sekarang saya bersyukur dan merasa amat bahagia serta memiliki ketenangan jiwa.
   
"Sebelum memeluk Islam, saya hanya membayangkan bahawa hidup ini hanya untuk menyedut udara sahaja.
   
"Saya dapati tidak ada ketenangan yang sempurna sehinggalah saya menziarahi makam Rasulullah SAW dan ketika itulah saya berhasrat untuk menerbitkan filem berkenaan keperibadian baginda yang mulia,” katanya.
   
Fandor berkata ini kali pertama beliau mengerjakan haji dan kali kedua menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas melakukan umrah pada Februari lepas.
    
Katanya selepas selesai menyempurnakan urusan haji, beliau bercadang meluangkan masa beberapa hari di Madinah al-Munawwarah kerana beliau berasa amat selesa dan aman untuk membaca al-Quran dan kitab-kitab agama di Masjid Nabawi.  - Bernama

Thursday, October 3, 2013

Doktor bergaya ala ‘Predator’ buat laporan polis






Gempar sebelum ini mengenai ‘Predator Malaysia’ yang datang ke Balai Polis, kononnya sesetengah spekulasi mengatakan predator sesat bertanyakan jalan dan sebagainya.

Siapakah sebenarnya di sebalik topeng dan pakaian lengkap predator ini?

Jangan terkejut kerana manusia yang bertopengkan predator dan pakaian lengkap predator ini adalah seorang doktor.

Doktor yang lengkap dengan seragam predator yang berharga RM85 ribu ini sebenarnya datang ke balai polis untuk membuat laporan mengenai penjualan sijil sakit (MC) palsu di laman sosial Facebook.

Tetapi mengapa harus memakai pakaian sebegini rupa untuk tampil di balai polis?