Saturday, February 23, 2013

Panggilan percuma di Facebook


SKRIN sebuah komputer tablet menunjukkan paparan aplikasi panggilan percuma di Facebook

SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat - Facebook kelmarin membenarkan penggunanya membuat panggilan percuma kepada kenalan mereka di laman sosial berkenaan menggunakan aplikasi yang dibangunkan khusus untuk telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad.

Aplikasi Facebook untuk gajet keluaran Apple itu mengeluarkan paparan apabila kenalan berada dalam talian dan memberikan pilihan untuk menghubungi mereka dengan menyentuh ikon yang tertera pada skrin iPhone atau iPad.

Terkandung dalam versi Facebook 5.5, aplikasi tersebut turut memudahkan pengguna menghantar komen dan menyukai sesuatu kandungan di laman web itu. - AFP



Thursday, February 21, 2013

Wanita dilapor hilang 'ditanam' dengan simen di dinding di Brunei


BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang wanita rakyat Malaysia berusia 39 tahun telah ditemui mati, dengan mayatnya 'ditanam' dalam dinding sebuah rumah milik rakannya di Bandar Seri Begawan, Brunei

Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa Cik Voon Su Ching (gambar), yang menjalankan usaha niaga mencuci dan membaik pulih kereta di Brunei, telah ke rumah rakannya itu untuk menjaga banglo itu.

Ini kerana pemilik banglo itu pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina dan Cik Voon telah diberi kunci banglo tersebut.

Apabila rakannya pulang pada malam Ahad lalu, beliau menyedari terdapat dinding simen setinggi tiga meter yang meragukan di taman rumahnya.

Malah, beliau terhidu bau busuk dari arah dinding berkenaan. Pemilik banglo itu lalu membuat laporan polis esoknya.

Tindakannya membuat laporan itu membawa kepada penemuan mayat Cik Voon, lima hari selepas beliau dilaporkan hilang pada Rabu lalu.

Menurut akhbar Borneo Bulletin, Cik Voon dilaporkan hilang oleh suaminya selepas beliau keluar pada 11 pagi hari itu dan tidak pulang ke rumah.

Mengimbas hari isterinya disedari hilang, suami Cik Voon berkata, hari itu adalah hari lahir anak lelakinya dan isterinya telah keluar membeli kek.

"Saya menelefon isteri saya berulang kali tetapi tiada jawapan. Pada malam itu, saya menelefon polis.

"Isteri saya tidak akan meninggalkan kami kerana dia seorang isteri dan ibu yang penyayang," katanya.

Laporan The Star pula mengatakan pembunuh Cik Voon difahamkan telah menutup mayat wanita itu dengan beberapa keping zink sebelum 'menanamnya' dengan simen.

Pihak polis Brunei telah menahan seorang lelaki dalam usia lingkungan 40-an tahun bagi membantu siasatan. Dia didapati pernah menghantar dua trak simen ke banglo tersebut.

Polis juga masih cuba mengenal pasti motif pembunuhan itu, kata laporan akhbar itu lagi.

Menurut desas-desus, Cik Voon telah menjalin hubungan dengan seorang profesor dan telah membawanya bertemu dengan beberapa rakannya, baru-baru ini.

Rakan-rakannya menyifatkan Cik Voon sebagai seorang periang dan peramah, yang gemar berjenaka.


sumber


Pemandu pelancong diserang biawak Komodo


BOLEH SERANG MANUSIA: Biawak Komodo bebas berkeliaran di Taman Negara Komodo di Pulau Rinca, Indonesia.



JAKARTA: Seekor biawak Komodo telah menyerang seorang pemandu pelancong di sebuah taman negara di Indonesia, kelmarin.

Ini serangan kedua oleh biawak Komodo di Taman Negara Komodo dalam tempoh dua minggu.

Dalam kejadian kelmarin, seekor biawak Komodo sepanjang dua meter tiba-tiba muncul apabila seorang pemandu pelancong sedang merentas hutan bersama empat pengunjung di Pulau Rinca.

"Beliau cuba melindungi dirinya dengan sebatang kayu tetapi biawak Komodo itu lebih kuat dan pantas. Beliau digigit di betis kanannya," kata seorang pegawai pentadbiran Taman Negara Komodo, Encik Heru Rudiharto.

Pemandu pelancong itu, Encik Abdurahman, 25 tahun, kemudian dibawa ke sebuah hospital di Pulau Flores yang berdekatan.

Betis kanannya terpaksa dijahit ekoran daripada gigitan biawak tersebut.

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati gigitan biawak Komodo mengandungi racun yang boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh serta mengalami kekejangan dan kejutan ekoran daripada pendarahan.

Lazimnya, biawak Komodo boleh membesar hingga tiga meter dan seberat 70 kilogram.

Awal bulan ini, seekor biawak Komodo di taman negara yang sama telah menyerang dua pekerja di situ.

Kedua-dua mangsa tersebut terpaksa dirawat inap di hospital kerana mengalami kecederaan serius.

Salah seorang mangsa adalah pegawai renjer berusia 50 tahun dan sedang duduk di pejabat apabila biawak Komodo itu menyelinap masuk dan menyerangnya.

Rakan sekerjanya, 35 tahun, terdengar jeritan renjer itu dan cuba membantu.

Namun, beliau juga diserang dan digigit. - AFP.


Saturday, February 2, 2013

Rongak kian diminati lelaki Afrika Selatan

Gigi ‘ompong’ dianggap simbol kehebatan lelaki di Afrika Selatan.
Gigi ‘ompong’ dianggap simbol kehebatan lelaki di Afrika Selatan.

Cape Town: Satu amalan tradisi puak yang tidak pernah luntur, malah menjadi gaya yang semakin diminati di kalangan pemuda di Cape Town serta wilayah lain di Afrika Selatan, ialah membuang beberapa gigi hadapan mereka. 

Amalan dan gaya ini disifatkan simbol ketampanan dan kehebatan di kalangan lelaki di wilayah ini. 
Walaupun kedengaran agak pelik, kebanyakan remaja Afrika Selatan sebenarnya lebih suka jika mereka dilihat rongak ketika senyum selepas mencabut gigi hadapan. 

Dengan kebanyakan mereka mengenakan baju panas longgar dan bertopi selain dilengkapi kaca mata hitam, senyuman terbabit disifatkan unik di kalangan remaja Afrika Selatan yang gemar memberi aksi seperti samseng. 

Bagi Yazeed Adam, 21, aliran fesyen ini dikenali sebagai ‘Cape Flats Smile.’ 

“Ia adalah fesyen di mana semua orang mengamalkannya,” katanya. 

Nama ‘Cape Flats Smile’ datangnya dari sebuah kejiranan popular tempat pengubahsuaian tubuh yang pelik dilakukan oleh ramai remaja. 

Tekanan rakan sebaya 

Jacqui Freidling dari Jabatan Biologi Kemanusiaan Universiti Cape Town yang turut membuat kajian terhadap fenomena itu pada 2003 berkata, beliau mendapati fesyen dan tekanan rakan sebaya adalah punca utama remaja membuang gigi mereka, selain sebab perubatan dan juga gangsterisme. 

“Ia adalah perkara yang perlu dilakukan. 

“Saya dapati ia adalah tarikan fesyen ketika zaman ibu bapa saya,” katanya. 
Amalan ini dikatakan sudah diterima sejak kira-kira 60 tahun lalu. 


Keluarga miskin 

Secara tradisinya, pengubahsuaian pergigian seperti tampalan gigi dan hiasan didapati hanya di kalangan kaum tertentu. Bagi masyarakat Cape Town yang moden, ia dilihat sebagai kelengkapan bagi remaja, paling berleluasa adalah di kalangan keluarga miskin. Sesetengah cerita mengatakan bahawa tradisi ini bermula daripada kalangan nelayan yang tidak dapat berkomunikasi sesama mereka di atas bot. 

Jadi mereka mencipta ‘jurang wisel’ sebagai cara berkesan dalam komunikasi. Malah golongan lelaki merasakan ia juga satu tarikan kepada wanita dan sebaliknya. - Agensi




Kulit menggelupas seperti serangga


London: Kanak-kanak kecil yang berani ini masih mampu tersenyum di depan kamera meskipun berdepan dengan masalah kesihatan yang teruk.

Kulit tubuh Maisy Keetch, tujuh, akan melecur walaupun dengan sentuhan paling lembut.


Maisy menghidap Epidermolysis Bullosa, yang bermakna lapisan teratas kulitnya tidak bercantum dengan betul.

Walaupun dengan dakapan daripada ibunya, Amy, akan menyebabkan kulit kanak-kanak itu merah menyala, kelihatan seperti melecur.


Kerana itu Maisy terpaksa berhati-hati ketika bermain dengan kanak-kanak lain dan jangka hayatnya hanya 30 tahun.


Kanak-kanak itu yang penyakitnya dikenali sebagai sindrom kupu-kupu kerana kulitnya begitu mudah menggelupas, sama seperti serangga itu. Ini menyebabkan lengannya sentiasa dibalut dan memerlukan rawatan perubatan sepanjang hayat.

Amy dari London Tenggara berkata: “Sebaik dia dilahirkan, saya tahu ada yang tidak kena. Dia meraung sekuat-kuat hati. Tangannya dilitupi tanda gelap dan lidahnya merah menyala. Mulanya saya terkedu. Akhirnya, saya menyedari, bayi saya memerlukan saya untuk menjadi kuat.” Amy belajar daripada jururawat cara-cara menjaga Maisy, termasuk membalutnya serta memberitahu anak sulungnya, Harry yang ketika itu berusia empat tahun supaya berlembut dengan adiknya.


Bagaimanapun, wanita itu mengaku, setiap pagi dia bergelut apabila Maisy bangkit dari tidur dengan lecuran baru dan menjerit kesakitan. “Saya terpaksa memeluknya dengan begitu berhati-hati. Saya akan mandikannya dengan salap khas,” katanya kepada majalah love it! Amy juga menceritakan bagaimana kecederaan Maisy bertambah teruk apabila dia membesar.

“Mulanya dia cuba menggosok kulitnya yang melecur, tetapi ia menyebabkannya sakit. Merangkak juga membuatnya sakit. Saya terpaksa meletakkannya di dalam ‘walker’ yang dialas dengan kapas. “Satu hari ketika berjalan di luar dengan memimpin tangannya, dia jatuh. Saya menarik tangannya tetapi kulitnya mengelupas, tergantung seperti sarung tangan.” Bagaimanapun, Maisy yang sering menggunakan kerusi roda kerana kakinya terlalu sakit untuk berjalan, sudah tahu untuk menjaga keadaannya. Dia memberitahu kanak-kanak lain di tadika supaya mereka lebih berhati-hati apabila bermain dengannya.