Thursday, May 30, 2013

Islam dijangka ‘tawan’ Britain

Foto



MASJID (gambar kiri) di Jalan Brune, Spitalfields melimpah ketika solat Jumaat diadakan manakala hanya 20 orang hadir ke upacara keagamaan di Gereja St Mary.


London: Ratu Elizabeth adalah pelindung agama Kristian dan paderi kanan England mempunyai tempat di Parlimen Britain.

Bancian pada 2011 juga menunjukkan 33.2 juta penduduk di England dan Wales menganggap diri mereka penganut Kristian. 

Di sebalik hakikat itu, realitinya adalah berbeza jika melihat kepada sambutan orang ramai kepada rumah ibadat di negara berkenaan.

Pada setiap pagi minggu, sambutan orang ramai di Gereja St George-In-The-East di Jalan Cannon Street dan Gereja St Mary’s di Jalan Cable amat hambar.

Hanya beberapa ratus meter dari situ, ada sebuah masjid di kawasan kediaman Jalan Brune, Spitalfields, yang melimpah dengan pengunjung ketika solat Jumaat dijalankan.


Jika dibuat perbandingan jumlah pengunjung, ia tentu menampakkan perbezaan yang lebih dramatik.

Di Gereja St George, kurang daripada 15 pengunjung hadir untuk meraikan sambutan Holy Communion.

Ketika gereja itu dibina pada awal abad ke-18, ia direka untuk memuatkan sehingga 1,230 orang.

Jumlah yang sama disediakan di Gereja St Mary yang mula dibuka sejak Oktober 1849.

Ketika jurugambar mengunjungi gereja itu, ia hanya dihadiri kira-kira 20 orang. 

Keadaan berbeza sama sekali di masjid di Jalan Brune yang menghadapi ‘masalah’ sendiri akibat dikunjungi orang ramai. 

Masjid itu sendiri asalnya adalah ruang kecil yang disewa untuk dijadikan pusat komuniti dan sesuai diisi kira-kira 100 orang.

Namun setiap Jumaat, jumlah pengunjungnya meningkat tiga atau empat kali ganda, menyebabkan mereka terpaksa mendirikan solat di jalan raya.

Berdasarkan perkembangan itu, pemerhati berkata, Kristian bakal menjadi ‘agama silam’ dan orang ramai lebih tertarik kepada Islam. 

Dalam tempoh 10 tahun lalu, berlaku penurunan jumlah penduduk England dan Wales yang mengaku menganut Kristian, daripada 71.7 peratus kepada 59.3 peratus daripada keseluruhan populasi. 

Bagi tempoh sama, jumlah penganut Islam di situ juga meningkat daripada tiga peratus daripada populasi keseluruhan menjadi 4.8 peratus atau 2.7 juta orang.

Jika pecahan dibuat mengikut kumpulan usia, separuh daripada penganut Islam di situ berusia kurang 25 tahun, manakala hampir suku penganut Kristian menghampiri usia 80 tahun. 

Dianggarkan dalam tempoh 20 tahun, lebih ramai penganut Islam berbanding Kristian. Satu keadaan yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa kira-kira 50 tahun lalu. - Daily Mail


Monday, May 27, 2013

Tuah terlalu kacak, wanita misteri beri Mercedes

Omar Borkan al-Gala



OTTAWA - Seorang lelaki  yang dilaporkan pernah dibuang negeri dari Arab Saudi kerana terlalu kacak mendapat tuah yang tidak disangka apabila menerima sebuah kereta Mercedes daripada peminat misterinya.

Omar Borkan al-Gala, 23, pernah dibuang dari negara asalnya kerana terlalu kacak hingga dibimbangi akan menarik perhatian ramai wanita.

Namun, beliau bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya dengan memilih kerjaya sebagai model.

“Saya menerima hadiah Mercedes G55 sempena sambutan harijadi saya daripada seorang wanita misteri,” katanya kepada majalah In Touch.

Selain menerima hadiah, Omar juga dikatakan kini mula membina tapak dalam kerjaya lakonan apabila membintangi sebuah filem pendek bersama bintang terkenal Navid Negahban.

Padah ingin pinggul menarik kedua-dua tangan dan kaki terpaksa dipotong

Foto


Los Angeles: Seorang ibu kepada dua anak semalam menceritakan bagaimana impiannya untuk memiliki pinggul lebih menarik berakhir dengan tragedi apabila dia terpaksa membuang kedua-dua tangan dan kakinya, selain hampir-hampir menemui ajal.

Apryl Michelle Brown tidak menyangka keputusannya memilih suntikan silikon di pasaran gelap menyebabkan dia berdepan maut.

Semua gara-gara bahan yang digunakan untuk menyuntik pinggul Apryl bukan silikon sebenar, sebaliknya hanya sejenis pelekat industri yang cuma sesuai digunakan di bilik mandi.

Sebelum itu, Apryl berasa pinggulnya tidak cukup menarik dan mahu menukarnya melalui suntikan silikon.

Kata Apryl, 46, dia menyangka prosedur itu tidak membahayakan walaupun ketika itu dia mendapatkan khidmat daripada pihak yang tidak bertauliah.


“Hakikatnya, bahan yang digunakan itu tidak sesuai untuk manusia,” katanya.
Insiden yang mengubah keseluruhan hidup Apryl mengalami itu berlaku pada 2004 apabila dua wanita menemuinya di salun kecantikan yang diusahakannya.

Kata Apryl, wanita terbabit datang ke situ untuk mencantikkan rambut mereka.

“Seorang daripada mereka menawarkan suntikan silikon tanpa lesen yang sedia memberikan khidmat ke rumah pelanggan.

“Untuk membuktikan keberkesanan suntikan itu, wanita terbabit menunjukkan rakannya yang memiliki pinggul menarik,” katanya.

Melihat keadaan itu, Apryl berkata, dia menyangka keajaiban berlaku dalam hidupnya.

Namun, keputusan Apryl mempercayai wanita terbabit ternyata membawa dia ke ambang maut.

Apryl membayar upah kira-kira RM3,000 untuk dua suntikan pada pinggulnya.

Selama dua tahun selepas itu, kawasan suntikan berkenaan menjadi keras dan warna kulit menjadi kehitaman.

Tahun-tahun berikutnya, Apryl terpaksa menanggung kesakitan yang berterusan dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana doktor berpendapat, terlalu bahaya jika silikon itu dibuang. 

“Saya terseksa sentiasa dan menjadi pengunjung biasa hospital kerana terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit. 

Pada 2011, satu pembedahan bagi membuang bahan itu dijalankan tetapi gagal, menyebabkan pinggul Apryl berlubang dan menjadi punca kepada jangkitan kuman yang nyaris meragut nyawanya.

Doktor terpaksa meletakkan Apryl dalam keadaan koma selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu menjalankan 27 pembedahan - bermula dengan memotong pinggulnya.

“Mereka menyelamatkan nyawa saya tetapi berlaku gangren pada tangan dan kaki, memaksa doktor memotong kedua-dua tangan dan kaki saya,” katanya. 

Di sebalik insiden itu, Apryl mengakui tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan kecuali dirinya sendiri. 

“Semuanya bermula kerana saya mahukan pinggul lebih besar,” katanya. - Daily Mail

Saturday, May 25, 2013

Main gitar ketika dibedah

Foto



Los Angeles: Sebuah hospital semalam mencipta sejarah kerana menyiarkan secara langsung pembedahan otak pesakit mereka melalui kemudahan perkongsian video terkini Twitter, Vine.

Melalui siaran langsung itu, orang ramai dapat melihat Brad Carter, 39, gembira memetik gitar di atas katil ketika doktor membedah kepalanya. Dalam pembedahan itu, pakar bedah memasukkan perentak (pacemaker) ke otak Carter bagi mengatasi kesan penyakit Parkinson dialaminya. Tidak sesuai untuk orang yang lemah semangat, tweet mengenai pembedahan itu turut disertakan dengan video memaparkan setiap tahap prosedur berkenaan.


Walaupun klip itu cuma singkat, kandungannya tetap mengerikan. Carter disahkan menghidap Parkinson selepas dia mengalami masalah goyangan tangan tak terkawal pada 2006 yang menyebabkan dia tidak mampu bermain gitarnya. Pembedahan itu membabitkan rangsangan di kawasan otak dan mengimplan perentak otak bagi merawat pergerakan tangan Carter. Ketika pembedahan berlangsung, Carter tidak dibius keseluruhan badan bagi membolehkan dia bermain gitar dan membantu doktor meletakkan elektrod ke tempat yang tepat. Siaran langsung itu diadakan kerana meraikan pembedahan otak ke-500 di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan. Ketika kepalanya dibedah, Carter bukan saja boleh bermain gitar, malah mampu menyanyi ketika doktor selesai meletakkan beberapa elektrod ke tempat otaknya. Bercakap kepada kamera, Carter berkata, dia teruja untuk bermain gitar semula.

“Ini adalah lagu asli berjudul Mabuk Kembali,” katanya. - Daily Mail


Tuesday, May 21, 2013

Terkejut isteri turun berat 100 paun


(Courtesy: Misty Shaffer)

Larry Shaffer menerima kejutan melihat isterinya, Misty Shaffer yang ditinggalkan setahun dan anak mereka Nevaeh, 

NORTH CAROLINA - Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) menerima kejutan terbaik dalam hidupnya apabila melihat tubuh isterinya berubah mendadak sebaik beliau melangkah turun dari pesawat selepas bertugas selama setahun di Afghanistan.

Pakar pesawat tentera, Larry Shaffer, 27,  berkata, beliau benar-benar tidak menyangka melihat isterinya yang dahulu yang mempunyai berat 250 paun telah menurun sehingga 100 paun sepanjang ketiadaan beliau.

Apabila pesawat yang dinaiki Shaffer mendarat di kampung halamannya di Wilmington, beliau telah disambut oleh hampir 50 rakan-rakan dan keluarga yang telah berkumpul untuk ketibaan beliau sambil memegang plakad dan menjerit "Surprise!"

Ketika dalam keriuhan itu, akhirnya isterinya Misty Shaffer bergegas datang menyambut tangannya.

“Saya kehilangan kata-kata. Saya menjangkakan hanya keluarga terdekat sahaja yang akan datang menyambut kepulangan saya dan begitu terkejut melihat orang ramai.

“Kemudian Misty muncul dan dia menjadi  “separuh” daripada insan yang saya kenali. Saya tidak boleh percaya," katanya.

Sementara itu, sepanjang suaminya berada di luar negara, Misty, 24, tidak pernah memberitahu suaminya yang beliau sedang menjaga berat badan dan ia kekal menjadi sebahagian besar rahsianya.

Misty sekadar memberitahu suaminya bahawa beliau telah cuba untuk menurunkan beberapa paun dan hanya menghantar gambar dirinya dari bahu ke atas supaya suaminya tidak akan mengesyaki transformasi yang dramatik.

"Terdapat beberapa kali saya begitu teringin untuk menghantar gambar-gambar comel saya tetapi saya hanya pendamkan sahaja kerana benar-benar mahu ia menjadi satu kejutan," ujar Misty, Rabu lalu.

Menurut Misty, beliau berjaya menurunkan berat badan dengan memakan bahagian yang lebih kecil, minum air yang banyak, tidak makan tiga hingga empat jam sebelum tidur dan mengelakkan diri dari menyentuh cip kentang.

Tambah Misty, sokongan suami tanpa syarat juga penting.

"Beliau tidak pernah meminta saya untuk mengurangkan berat badan dan sentiasa berkata beliau suka saya tidak kira bagaimana saya kelihatan," kata Misty.



Sunday, May 19, 2013

Kepala tikus dalam nasi goreng


Rui’an (China): Seorang pelajar sekolah menengah menemui kepala tikus dalam hidangan nasi gorengnya ketika sarapan di kantin sekolah kelmarin.

Penemuan itu menjadi sensasi apabial foto kepala haiwan itu dimuat naik di laman blog mikro Weibo.

Kebanyakan pengguna Internet negara itu menyatakan rasa terkejut ekoran penemuan menjijikkan itu. Dikatakan kepala tikus itu sebesar saiz jari kelingking orang dewasa.

Pengetua Sekolah Menengah Rui Xiang, Weng Heng Xuan memberitahu Beijing Times apabila pihak berkuasa datang untuk melakukan pemeriksaan di sekolah itu pada 7 Mei lalu, mereka menemui rahang daripada seekor tikus bersaiz besar yang kelihatan seperti sudah dipanggang. Pihak berkuasa telah merampas sejumlah cendawan kering dan nasi pulut dari sekolah itu untuk siasatan lanjut.

Pegawai keselamatan makanan memberitahu wartawan kepala tikus itu ditemui bersama cendawan kering yang dipesan kantin sekolah daripada pembekal. Dia juga memberitahu menemui tulang dalam bungkusan cendawan kering, tetapi tidak dapat memastikan jenis haiwan berkenaan. - AsiaOne


Tuesday, May 14, 2013

Kereta sport Maserati dimusnahkan

maserati-qingdao-smash-china-1

maserati-qingdao-smash-china-2

maserati-qingdao-smash-china-6

BEBERAPA lelaki memusnahkan sebuah kereta Maserati di depan kawasan Pameran Kereta Antarabangsa di Qingdao, China semalam.- REUTERS

QINGDAO, China - Sebuah kereta sport Maserati dimusnahkan oleh beberapa orang lelaki selepas diarahkan oleh pemiliknya di depan kawasan Pameran Kereta Antarabangsa di sini semalam.

Kereta yang berharga AS$423,280 (RM1.26 juta) itu dimusnahkan selepas pemiliknya kecewa dengan perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan di sebuah pusat penjualan kenderaan tersebut.

Menurut agensi berita Xinhua, pihak pengurusan pusat penjualan kenderaan itu sebelum ini membaiki kereta tersebut dengan menggantikan alat ganti yang lama.

Bagaimanapun, alat ganti lama itu dijual pada harga yang sama dengan alat ganti baharu.

Ekoran itu, pemilik kereta Maserati buatan Itali tersebut meminta beberapa lelaki memusnahkan kereta berkenaan. - Agensi





Monday, May 13, 2013

Raih RM12,000 selepas dapat kerapu 58.2kg

 Raih  RM12,000 selepas dapat kerapu 58.2kg
Poh Seng mengangkat kerapu 58.2kg yang dipancingnya dan merangkul hadiah wang tunai RM12,000.


Miri: Kerapu seberat 58.2 kilogram (kg) membawa tuah kepada tekong kapal Star Fish II, Tan Poh Seng, 42, apabila menjuarai Pertandingan Memancing Antarabangsa Laut Dalam anjuran Kelab Memancing Miri di sini, kelmarin.

Tangkapan itu membolehkannya membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta peralatan memancing, selepas menewaskan lebih 80 peserta termasuk dari China, Thailand, Hong Kong dan Semenanjung. 
Umpan tongkol mati 


“Saya gunakan umpan tongkol mati pada kedalaman air 120 meter,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Kejayaan itu turut dikongsi bersama bapanya, Tan Kim Kuan, 55, yang menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta peralatan memancing.

Kim Kuan menjinakkan escolar seberat 45.5kg, manakala tempat kedua dimenangi pemancing tempatan, Lau Ngie Lim, 45, yang mendaratkan tuna seberat 48.12kg.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Pelancongan, Datuk Abang Johari Openg.

Sunday, May 12, 2013

Budak lelaki 6 tahun selamatkan tiga adiknya dalam kebakaran


KOTA BAHARU - Tindakan pantas Afiq Hadi Mohd Hakimi yang hanya berumur enam tahun, berjaya menyelamatkan nyawa tiga adiknya apabila rumah papan yang didiami mereka terbakar di Kampong Tanjong Mas di sini, hari ini.
    
Dalam kebakaran kira-kira 1.30 tengah hari itu yang memusnahkan dua buah rumah, Afiq Hadi telah mendukung keluar ketiga-tiga adiknya iaitu, Alif Hazim, 5, Aufa Imtiyaz, 3, dan Aqil Imtiyaz, setahun,
    
Bagaimanapun Alif Hazim cedera ringan apabila bahu kanannya melecur semasa didukung keluar oleh abangnya.
    
Ibu kanak-kanak berkenaan, Wan Syarifah Shahrizat Wan Idris, 37, berkata ketika kejadian dia meninggalkan keempat-empat anaknya di rumah untuk mengambil anak sulungnya, Alia Insyirah, 8, di Sekolah Kebangsaan Chempaka dengan motosikal.
    
"Belum pun sampai ke sekolah, saya nampak kepulan asap hitam yang tinggi, kira-kira 100 meter dari rumah dan terus berpatah balik kerana bimbangkan keadaan anak-anak yang ditinggalkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau bersyukur kerana kesemua anak-anaknya selamat, walaupun rumah dan kereta yang diparkir di tepi rumah tidak dapat diselamatkan.
    
Pemilik sebuah lagi rumah yang turut musnah dalam kebakaran itu, Nur Aini Awang Mat, 50, berkata dia menyedari mengenai kebakaran tersebut apabila mendengar jeritan daripada jiran-jiran lalu membuka jendela untuk melihat keadaan yang berlaku dan mendapati  api sedang marak di rumah jiran sebelah.
    
Beliau, yang keluar dari rumah sehelai sepinggang, berkata rumahnya  musnah dengan sekelip mata sahaja.
    
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Mohd Sabri Ismail berkata pihakbomba menerima panggilan pada kira-kira 1.57 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu dan Pengkalan Chepa.
    
"Pihak bomba tiba lebih kurang lima minit kemudian dengan kekuatan 21 anggota dan api telahpun marak dengan cepat, namun pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut," katanya.
    
Beliau berkata ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah terbabit hangus dijilat api dan menurutnya punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat. - Bernama



Saturday, May 4, 2013

Perkahwinan sehati dan sejiwa

Sehati dan sejiwa
Donald dan isterinya mula mengenakan pakaian sedondon sejak 1980 sebagai cara untuk menunjukkan 'kami sehati dan sejiwa'.

MASSACHUSETTS - Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan bahagia dan rumah tangga harmoni serta serasi bersama.

Dipetik MailOnline, begitu juga dengan Donald Featherstone, 77, dan isterinya Nancy,  60, dari Fitchburg yang mendedahkan rahsia kebahagiaan mereka sejak lebih tiga dekad lalu.

Menurut pasangan itu, mereka akan memastikan corak pakaian yang dikenakan adalah sama pada setiap hari.

Difahamkan, mereka mempunyai kira-kira 600 baju ditempah khas dan turut memadankannya dengan aksesori sedondon.

"Kami mula menyukai konsep ini sejak pertama kali menghasilkan baju serupa 33 tahun lalu.

"Walaupun kadangkala terpaksa berjauhan, kami akan memastikan gaya sama dikekalkan," kata Nancy.

Kisah cinta pasangan itu bermula pada Ogos 1975 selepas bertemu dalam satu persidangan di Chicago dan akhirnya melangsungkan perkahwinan 23 Julai 1976.  -