Friday, November 30, 2012

Kereta Batman dilelong tahun depan

KERETA asal Batman akan dilelong pada 19 Januari depan. - AFP


LOS ANGELES, Amerika Syarikat - Kereta asal Batman, Batmobile yang muncul dalam siri televisyen adi wira itu pada tahun 1966 dijangka dilelong pada 19 Januari tahun depan, kata Rumah lelongan Barrett-Jackson kelmarin.

Menurut Barrett-Jackson, kenderaan tersebut pernah muncul dalam beberapa siri televisyen Batman serta filem yang dibintangi aktor Adam West.

"Kereta Batmobile 1966 merupakan antara kereta terkenal dalam sejarah Hollywood dan ia menjadi ikon sebenar Batmobile sehingga kini," kata pengerusi Barrett-Jackson, Craig Jackson dalam satu kenyataan.

Menurut rumah lelongan itu, kereta Batmobile yang direka George Barris merupakan ilham daripada sebuah kereta konsep Lincoln Futura pada tahun 1955.

Kereta itu mempunyai beberapa gajet istimewa termasuk Batphone, Bat Eye Switch dan Bat Smoke.

Ia akan dilelong di Scottsdale, Arizona.

Jackson yang juga ketua pegawai eksekutif Barrett-Jackson dilaporkan berkata, lelongan kereta itu mampu mencecah jutaan dolar. - AFP






Kucing peliharaan selamatkan nyawa tuan

Maria Gillon, 13, from Gorebridge, Midlothian suffers potentially fatal heart seizures. She says she owes her life to her lucky black cat Perla who raises the alarm
Gillon bersama Perla, kucing peliharaan yang telah menyelamatkan nyawanya ketika menghadapi serangan jantung.



Perla, who recognises the attacks and raises the alarm with Maria's mum Adele, 32, who jumps into action and calls 999. The cat was recently run over but survived much to the family's relief


EDINBURGH 29 Nov. - Seekor kucing peliharaan dipercayai menyelamatkan nyawa pemiliknya, seorang remaja perempuan yang mengalami serangan jantung.

Maria Gillon, 13, menghidap sejenis penyakit jantung dikenali sebagai ventricular tachycardia yang menggandakan kadar degupan jantungnya menyebabkannya sering mengalami serangan jantung sehingga dia sering mengalami kekejangan dan tidak boleh bergerak.

Ibu remaja itu, Adele Gillon berkata, kucing itu yang diberi nama Perla berumur tiga tahun sudah beberapa kali menyelamatkan nyawa anaknya itu dengan mengejutkan wanita tersebut daripada tidur apabila Maria mengalami serangan jantung.

‘‘Perla yang kami bela sejak berumur lapan minggu, akan menggigit ibu jari kaki saya apabila Maria mengalami serangan jantung.

‘‘Apabila keadaan ini berlaku, saya akan terus memanggil talian kecemasan, 999.’’ katanya.

Beliau berkata, keluarganya sangat bertuah dengan kehadiran Perla dalam keluarga mereka.

‘‘Baru-baru ini, Perla cedera teruk akibat dilanggar kereta dan Maria merasa sangat sedih.

‘‘Bagaimanapun, doktor haiwan berjaya menyelamatkannya dan kini Perla masih menjadi teman setia Maria,’’ katanya.

Adele berkata, anaknya itu akan menjalani pembedahan bagi merawat jantungnya dalam tempoh terdekat ini. - AGENSI






Wednesday, November 28, 2012

Ngeri! Muka tertusuk pemutar skru

Muka tertusuk pemutar skru

BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas sebatang pemutar skru tertusuk pada mukanya.

Jiali dari Tianshui di wilayah Gansu, jatuh tersembam pada pemutar skru yang dipegangnya ketika melawat neneknya hingga menyebabkan alat itu menembusi hidungnya hingga ke soket mata. 
Dia bernasib baik kerana pemutar berkenaan tidak terkena otaknya. 

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke hospital. Pakar perubatan melakukan beberapa siri imbasan sinar-X bagi memastikan dia tidak mengalami kecederaan berkekalan.

Pemutar berkenaan tertusuk begitu kuat dan berhampiran otaknya hingga menyebabkan doktor pada mulanya tidak pasti sama ada boleh menariknya keluar tanpa menyebabkan kecederaan serius berpanjangan pada Jiali.

Jiali dibawa ke hospital tempatan tetapi dipindahkan dua kali kerana kakitangan merasakan mereka tidak dapat menangani kes itu. 

Satu sumber berkata: “Ada kebimbangan pemutar skru itu tidak dapat dicabut dengan selamat. Dua hospital pertama tidak dapat memikirkan tindakan yang perlu dilakukan. Mereka tidak pernah berdepan dengan kes seperti itu sebelum ini.” 

Bagaimanapun, ketua pakar bedah di hospital ketiga, Yu Qin mampu melakukannya kerana pernah berdepan dengan kes sama. - TS


Sunday, November 25, 2012

90 kali bedah untuk tampan

BENTUK tubuh yang penuh dengan implan. Gambar kecil, anak patung Ken yang menjadi tiruan Jedlica.
BENTUK tubuh yang penuh dengan implan. Gambar kecil, anak patung Ken yang menjadi tiruan Jedlica.


NEW YORK: Justin Jedlica sudah menjalani 90 pembedahan plastik untuk mendapatkan susuk tubuh yang sempurna.

Lelaki berusia 32 tahun ini sudah membelanjakan lebih RM300,000 sepanjang 10 tahun lalu dalam usaha untuk kelihatan seperti anak patung hidup.

Dengan mukanya yang cantik, dia memiliki bentuk tubuh seperti GI Joe, lengkap dengan perut berulas dan lengan berotot, semuanya diperoleh tanpa mengangkat berat atau bersenam di gym.

Seperti anak patung plastik, semua ototnya adalah palsu. Hampir setiap inci bahagian atas tubuhnya diltiupi dengan implan, lapor ABC News.

Selain itu, Justin juga menjalani pelbagai pembedahan hidung, pipi, tulang kening serta bibir untuk mendapatkan muka yang sempurna.

Malah, pinggulnya yang tegang juga palsu, hasil kerja pakar bedah yang memberinya implan pinggul.

Jedlica mengaku dia boleh melakukan senaman untuk mendapatkan bentuk tubuh seperti itu tetapi enggan melakukan aktiviti itu yang disifatkannya sebagai tidak menarik dan tidak glamor.

Ketaksubannya dengan penampilan itu bermula ketika berusia belasan tahun apabila dia tidak sukakan saiz hidungnya yang dianggap terlalu besar.

Dia melakukan lima pembedahan untuk mendapatkan hidung yang ideal.

Bagaimanapun, menurut Jedlica, dia masih belum 100 peratus berpuas hati dengannya, sambil menunjukkan kepada wartawan keadaan hidung yang diingininya.

Dari hidung, dia melakukan pembedahan untuk mencantikkan pinggul, dada dan kemudian lengan.

Jedlica berkata, dia tidak melihat sebarang alasan untuk menghentikan ketaksubannya terhadap pembedahan plastik.

Katanya, pembedahan pertama hidungnya adalah satu keperluan sementara yang lain hanya kemahuannya saja. - DM


Wednesday, November 21, 2012

Telefon pintar boleh lipat

Samsung yakin ia dapat dipasarkan pada separuh pertama tahun depan.

PENGGUNAAN OLED membolehkan telefon bombit dilipat.


SEOUL: Kedatangan tahun baru tidak lama lagi mungkin turut menampakkan peralihan terkini kepada evolusi telefon pintar.

Syarikat Samsung dilaporkan semakin gigih menghasilkan telefon bimbit menggunakan skrin fleksibel dan tahan pecah sehingga ia boleh dilentur, digulung atau dilipat untuk disimpan dalam dompet. Menurut media, syarikat teknologi gergasi Korea Selatan itu kini dalam peringkat akhir pembangunan telefon pintar fleksibel itu dan dijangka sedia untuk dipasarkan tahun depan. Penemuan terbaru itu dibuat hasil penggunaan diod pemancar cahaya organik (OLED) yang amat nipis dan boleh dipasang pada bahan seperti plastik atau lingkaran tembaga. Sambung bukan satu-satunya syarikat yang membuat pelaburan besar dalam penyelidikan menghasilkan skrin menggunakan OLED.


Selain Samsung, syarikat dari Jepun, Sony, serta LG Display - juga dari Korea Selatan - turut melancarkan prototaip seumpama itu. Bagaimanapun, Sambung menjadi syarikat pertama menjanjikan tarikh pengeluarannya dengan sumber yang rapat dengan syarikat itu memberitahu Wall Street Journal, produk berkenaan akan dipasarkan pada separuh pertama 2013.

Melihat kepada tarikh pelancaran produk penting dalam siri S Samsung itu, pemerhati berpendapat, produk teknologi skrin fleksibel berkenaan mungkin dinamakan S4. Penghasilan itu dibuat ketika pengeluar telefon pintar dan tablet mencari jalan mencipta produk berbeza daripada apa yang ada di pasaran. Pengarah Telefon Bimbit dan Paparan Baru IHS Electronics and Media, Vinita Jakhanwal, berkata AMOLED fleksibel boleh membantu Sambung menghasilkan produk unik di pasaran. - DM


Tuesday, November 20, 2012

Robot pembunuh dicipta 2032

Robot pembunuh dicipta 2032
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan bimbang AS mengawal dunia melalui robot pembunuh.

WASHINGTON - Robot bebas yang mampu membuat keputusan membunuh sasarannya bakal dibina 20 tahun akan datang atau lebih cepat dari tempoh itu.

Agensi ketenteraan dunia, dilaporkan bersetuju dan amat teruja selepas mengetahui mesin yang berkebolehan mengawal senjata dalam peperangan dapat digunakan selain mengurangkan jumlah korban manusia.

Kenyataan berbau amaran itu, dikeluarkan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan yang mendesak dunia mengharamkan mesin pembunuh itu sebelum Amerika Syarikat (AS) mula memasarkannya.

Robot pembunuh pengganti manusia, bakal diterajui AS, juga sebuah negara mengguna pakai khidmat pesawat pengintip tanpa manusia bagi menyerang suspek militan di Pakistan, Yaman dan sebagainya.

Pesawat pengintip AS yang dilengkapi sistem tembakan Phalanx Raytheon, mampu menembak musuh dari jarak jauh selain memusnahkan apa sahaja objek penghalang dengan sendirinya. -





Drebar teksi pulangkan RM2.7j

SIA terkejut temui wang dalam beg kertas hitam dalam teksinya.
SIA terkejut temui wang dalam beg kertas hitam dalam teksinya

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi warga tempatan diumumkan sebagai wira selepas dia memulangkan wang tunai Sg$1.1 juta (RM2.74 juta) kepada pasangan pelancong Thai yang tertinggal wang itu dalam teksinya.

Sia Ka Tian, 70, terkejut apabila menemui wang dalam beg kertas hitam di tempat duduk penumpang belakang semalam selepas dia menurunkan pasangan itu di sebuah pusat beli-belah.


“Bila saya lihat wang itu, saya menyangka berdepan masalah. Saya pasti sekurang-kurangnya ada $200,000 (RM499,749) dalam beg itu,” kata pemandu teksi veteran yang sudah memandu teksi selama 31 tahun sepertimana dipetik daripada Straits Times.

Namun, bila dia membawa wang itu ke pejabat syarikat pengangkutan ComfortDelGro, rakannya yang menghitung wang itu terkejut mendapati ada RM2.74 juta dalam bentuk not kertas 1,000.


“Wang itu tidak penting buat saya. Ia bukan milik saya, jadi, bagaimana saya boleh gunakannya?,” katanya kepada akhbar berkenaan.


Sia menerima ganjaran wang tunai yang tidak didedahkan jumlahnya daripada pasangan terbabit dan syarikat pengangkutan itu juga bercadang memberinya ganjaran atas kejujurannya. - ST


Friday, November 16, 2012

Poskad diterima selepas 49 tahun dihantar

Postcard

Postcard
Derek Lewis, akhirnya menerima poskad yang dipos oleh rakannya, selepas 49 tahun.


BERKSHIRE, England 16 Nov. - Sepasang suami isteri di sini, terkejut apabila mereka menerima sekeping poskad berusia 49 tahun.

Jason Crabtree, 37, dan isterinya, Anna menerima poskad itu pada 29 Oktober lalu, yang dikirimkan atas nama Derek Lewis.

Katanya, poskad itu dihantar oleh Gudrun Rentrope dari Jerman pada 3 Mac 1963.

Setelah berusaha menjejaki penerima poskad tersebut, pasangan Crabtree akhirnya bertemu dengan Lewis yang dahulunya pernah tinggal di rumah yang mereka tinggal sekarang.

"Kami amat terkejut apabila melihat tarikh poskad tersebut, namun ia masih berada dalam keadaan baik, termasuk setem serta tulisannya.

"Kami tertanya-tanya mengapa poskad itu mengambil masa yang terlalu lama untuk dihantar kepada penerimanya," kata Jason.

Sementara itu, Lewis, 71, berasa gembira menerima poskad tersebut.

"Poskad itu dikirimkan oleh rakan saya, Rentrope dan kami saling berbalas-balas poskad sejak kami berusia 17 tahun.

"Poskad itu dihantar sebagai ucapan terima kasih kerana saya menjaga bapanya ketika dia melawat England," ujar Lewis.

Sementara itu, syarikat pos Royal Mail menafikan poskad tersebut hilang dalam sistem penghantaran mereka dan mendakwa ia mungkin baru dikirimkan, baru-baru ini. - AGENSI





Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun


BANGKOK - Pegawai-pegawai kesihatan semalam menasihati kaum lelaki di Thailand bahawa saiz tidak penting selepas zakar seorang pesakit terpaksa dibuang susulan percubaannya membesarkan organ tersebut dengan suntikan minyak zaitun.

Berisiko dan belum terbukti berkesan, kaedah itu biasa digunakan di Thailand, malah, sebuah hospital di sini menerima sekitar 40 pesakit sebulan yang bimbangkan kesan sampingan teknik tersebut.

Selain minyak zaitun, lelaki Thailand gemar menggunakan lilin lebah, silikon dan parafin untuk membesarkan saiz kemaluan mereka.

Jurucakap Hospital Besar Polis di sini, Sirikul Jiaranaikhajorn memberitahu agensi berita AFP bahawa pesakit berusia 50 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan suntikan minyak zaitun sejak bertahun-tahun lalu.

Menurutnya, kemaluan lelaki itu mengalami jangkitan kuman yang teruk.

Dia juga didapati menghidap kanser zakar sekali gus menyebabkan pembedahan membuang organ berkenaan perlu dilakukan.

"Ini ialah pembedahan membuang kemaluan terbesar yang kami pernah lakukan selepas kami menemui kanser pada organ tersebut," kata Sirikul.

Katanya lagi, mereka merawat antara dua hingga tiga pesakit akibat zakar dijangkiti kuman pada setiap minggu tetapi belum ada bukti teknik itu menyebabkan kanser.

Jelas Sirikul, lelaki berkenaan menjalani suntikan itu di sebuah klinik dengan ditemani beberapa rakannya walaupun amaran telah dikeluarkan bahawa teknik pembesaran zakar seperti itu amat berisiko.

"Kaedah ini hanya mendatangkan mudarat, orang ramai mendapat maklumat salah bahawa ia berkesan," ujarnya.

Tambah jurucakap itu, kebanyakan lelaki mencuba prosedur tersebut kerana terpedaya dengan cerita rakan-rakan mereka.

"Wanita mencintai lelaki bukan kerana saiz zakarnya," jelas Sirikul.






Thursday, November 15, 2012

Ito jadi lelaki paling pantas berlari guna 'empat kaki

SALAH satu aksi Ito di garisan penamat.

TOKYO - Seorang lelaki berusia 30 tahun, Kenichi Ito menjadi manusia paling pantas di dunia berlari dengan menggunakan dua kaki dan tangannya.

Dia mencatatkan masa 17.47 saat semasa berlari dengan menggunakan kaki dan tangannya itu sejauh 100 meter di sini semalam.

Ito belajar berlari dengan menggunakan semua kaki dan tangannya itu sejak berumur sembilan tahun.

Dia meniru larian spesies monyet dari Afrika, Erythrocebus patas untuk melakukan perbuatan tersebut.

Rekod baharunya itu disahkan oleh pihak pengurusan Guinness World Records. - Agensi


Wednesday, November 14, 2012

Doktor hanya caj pesakit AS$5 di AS

DOHNER (kanan) berbual dengan seorang pesakit di kliniknya di Rushville 

RUSHVILLE, Illinois - Seorang doktor perubatan mengenakan bayaran sebanyak AS$5 (RM15.20) untuk setiap pesakit yang mahu memeriksa kesihatan mereka di kliniknya di sini.

Dr. Russell Dohner yang berusia 87 tahun itu sebelum ini mengenakan bayaran hanya AS$2 (RM6.12) di kliniknya pada tahun 1955.

"Saya hanya mahu menjadi seorang doktor yang membantu orang ramai yang menghadapi masalah kesihatan," katanya.

"Saya tidak pernah berhasrat untuk memperoleh banyak wang," tambahnya.

Setiausaha doktor itu, Edith Moore mengutip bayaran pendaftaran itu.

Dohner memberitahunya supaya tidak mengambil bayaran tersebut terhadap beberapa pesakit.

Bagaimanapun, beberapa pesakit membuat bantahan kerana doktor tersebut enggan menerima sebarang bayaran.

"Saya akan membayar anda AS$20 (RM61.25) pada masa depan," kata salah seorang pesakit. - Agensi



Tuesday, November 13, 2012

Doa depan iPad, komputer riba, telefon bimbit

BEBERAPA peniaga berdoa di depan iPad, komputer riba dan telefon bimbit di pejabat mereka di New Delhi 


NEW DELHI - Satu majlis berdoa di depan komputer tablet iPad, komputer riba dan telefon bimbit diadakan oleh para usahawan sempena sambutan Hari Deepavali di sini semalam.

Majlis itu diadakan dengan harapan perniagaan mereka akan bertambah maju.

Akhbar dalam talian Indian Today melaporkan Setiausaha Agung Konfederasi Pedagang-Pedagang India, Praveen Khandelwal menyatakan para peniaga memuja beberapa peralatan moden perniagaan sempena perayaan itu. - Agensi

Tak boleh henti ketawa

GALE bersama Elliot.
GALE bersama Elliot.

KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.
KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.

PRESTON: Seorang kanak-kanak menghidap masalah neurologi yang jarang berlaku, yang membuatnya tidak berhenti ketawa.

Elliot Eland dari Preston, Lancashire, dilahirkan dengan menghidap sindrom Angelman, kecelaruan kromosom yang menyebabkan kesukaran belajar dan sentiasa tersenyum.

Penghidap sindrom itu menunjukkan perilaku riang, selalu tersenyum atau ketawa dan kelihatan begitu mudah gembira.

Sindrom itu begitu jarang dihidapi hinggakan kurang daripada 1,000 kes dilapor di Britain.


Ibu Elliot, Gale berkata: “Apabila kami bersedih, ketawa Elliot akan membantu kami melupakan masalah yang dihadapi. Anda hanya perlu melihatnya dan ketawanya akan membuat kami gembira semula.


“Sekiranya anda mempunyai anak, anda pasti mahu mereka gembira. Elliot sentiasa gembira.”

Menurutnya, satu-satunya masalah ialah apabila Elliot bermain dengan abangnya, Alex.

“Apabila Alex secara tidak sengaja disakiti Elliot, dia akan menangis. Tetapi Elliot akan terus ketawa. Ia merisaukan kerana kami tidak mahu Alex menyangka Elliot gembira apabila dapat menyakitinya,” kata Gale.

Gale, 41, dan suami, Craig, 34, hanya menyedari keadaan sebenar Elliot apabila dia berdepan dengan masalah makan ketika bayi.

“Saya tidak menyangka Elliot berdepan dengan masalah lebih besar. Saya mulanya menyangka dia menghadapi masalah makan,” kata Gale.

Pada minggu keenam pemeriksaan kesihatan, doktor berkata, Elliot kelihatan terlalu kurus dan merujuknya ke Hospital Royal Preston serta diperiksa oleh pakar pediatrik yang serta-merta mengarah kanak-kanak itu dimasukkan ke wad.

Ketika di hospital, kanak-kanak itu menjalani pelbagai ujian darah, imbasan MRI dan sinar-X. Mujur pakar pediatrik itu pernah berdepan dengan pesakit Sindrom Angelman dan menjalankan ujian darah ke atas Elliot. 

“Saya mula bimbang apabila diberitahu dia perlu menjalankan ujian genetik itu. 

“Kami benar-benar terkejut apabila keputusan ujian menunjukkan positif dan dimaklumkan dia menghidap Angelman. Saya tidak pernah mendengar mengenai penyakit itu sebelum ini,” kata Gale.

Pakar perubatan menggalakkan pasangan suami isteri untuk menjalankan penyelidikan mengenai penyakit itu di Internet.

“Ketika dalam perjalanan pulang, suami saya mencari maklumat mengenai sindrom Angelman menerusi telefon bimbitnya.

“Dia mula membaca mengenainya dan akhirnya saya menangis hingga terpaksa memberihentikan kereta di tepi jalan.

“Sukar untuk kami menerimanya kerana tidak banyak yang kami tahu mengenai sindrom itu. 

Ibu bapa Elliot juga berkata, mereka melihat senyumannya dari sudut yang menggembirakan.

“Kami sentiasa menganggap dia sentiasa gembira. Kami tidak pernah memikirkan ia adalah kesan daripada simptom yang lebih serius,” kata Gale. - DM


Pramugari Egypt Air mula pakai hijab


Jurucakap Egypt Air berkata, etika pemakaian itu perlu dipatuhi selepas menerima saranan daripada ulama.

“Beliau sarankan pemakaian itu dan hukumnya wajib, terutama penerbangan ke Jeddah,” katanya.

Ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, hijab dianggap janggal, terutama mereka yang bertugas di stesen televisyen dan syarikat penerbangan nasional.

Namun, selepas beliau diganti dengan Mohamed Mursi, wanita diberi kelonggaran mengenakan hijab. - AFP



Sunday, November 11, 2012

Rumah kapsul popular di Wuhan

SEORANG pemuda mandi di dalam rumah kapsul yang disewanya di Wuhan, China.

WUHAN, China - Kadar sewa rumah yang terlampau tinggi mendorong ramai pekerja berkongsi tinggal di bilik-bilik kecil di dalam sebuah bangunan di sini, dalam wilayah Hubei, lapor akhbar New York Daily News.

Setiap bilik kecil itu yang digelar 'rumah kapsul', memiliki keluasan purata cuma 4.5 meter persegi.

Idea tersebut dicetuskan oleh pemilik hartanah tersebut yang membina 55 buah bilik kecil di dalam bangunannya.

Setiap bilik kecil tersebut berfungsi sebagai tempat tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur sekali gus semua dalam satu.

Penghuninya pula terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya.

Walaupun kecil, ramai penyewa menganggap tinggal di rumah kapsul itu berbaloi memandangkan gaji mereka yang rendah berbanding sewa rumah yang amat mahal di sini. - Agensi


Saturday, November 10, 2012

Makkah, Madinah paling terang dari angkasa lepas



RIYADH: Seorang angkasawan Russia semalam berkata, bandar suci Makkah dan Madinah adalah yang paling terang dan cantik apabila dilihat dari angkasa lepas.

Angkasawan berkenaan memberitahu demikian kepada pelajar Arab Saudi yang menyertai program Persatuan Kembara Angkasa Lepas semalam.


“Ketika berada di angkasa lepas, kami tidak berdepan dengan masalah untuk merakam gambar bandar raya di bumi pada siang hari.

“Tetapi, sebelah malam, ia begitu rumit dan anda perlu menggunakan teknik khas. Namun, saya berjaya merakam gambar beberapa bandar waktu itu. “Yang mengejutkan saya, ialah Makkah dan Madinah begitu terang berbanding bandar lain di seluruh dunia ketika waktu malam,” kata angkasawan Anatoly Ivanishin.


Menurutnya, bandar lain tidak begitu jelas ketika itu tetapi pemandangan Makkah dan Madinah begitu menakjubkan dan tidak diduga. - AN



Friday, November 9, 2012

Budak 2 tahun parah dicekau helang

Alfie Hall


LONDON: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera dengan mukanya berlumuran darah selepas diterkam seekor burung helang peliharaan di sebuah taman permainan, dekat sini, semalam.

Burung berkenaan menerkam Alfie Hall ketika dia bersiar-siar di taman itu dengan ibunya, Elysia dan beberapa anggota keluarga lain. 
Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik kerana matanya terselamat. 

Helang berkenaan yang sayapnya selebar 1.4 meter, turut mencekau telinga kiri kanak-kanak itu, menyebabkannya hampir putus.


Doktor terpaksa mencantumkan semula telinga itu di hospital.


Elysia, 23 berkata malam tadi: “Ia sungguh menakutkan. Burung itu kelihatan begitu besar dan kuat ketika menerkam kepala anak saya. 

“Burung berkenaan mengoyakkan beberapa daging kepala Alfie, termasuk menyebabkan turisan besar berhampiran sebelah matanya yang memerlukan ia dijahit. 

“Doktor memberitahu kami, dia bernasib baik kerana tidak hilang penglihatan. 
“Adik saya meluru sambil menjerit dan memekik untuk mengusir burung berkenaan. Saya pula berkejar untuk mendapatkan Alfie. 

“Dia begitu terkejut. Matanya bengkak dan saya dapat melihat telinganya terkoyak.” 

Kejadian berlaku di taman permainan di Farnborough, Hants. 

Burung itu tidak mempedulikan panggilan pemiliknya yang berusia belasan tahun yang berada di situ. 

“Kami pernah melihat tuan burung itu berjalan di sekitar taman bersama haiwan itu. Kali ini, dia membiarkannya terbang dan kemudian cuba memanggilnya. 

“Tetapi burung itu hinggap pada pokok. Dia cuba memujuk helang peliharaannya itu tetapi burung berkenaan tiba-tiba terbang dan menerkam kepala Alfie,” katanya. 

Polis berkata, seorang remaja berusia 18 tahun dari Farnborough ditahan dan kemudian dibebaskan selepas disoalsiasat. - DM


Ketiak busuk tak boleh jadi pilot


BEIJING: Apa yang diperlukan untuk menjadi seorang juruterbang? Anda mungkin mengatakan penglihatan jelas, kesihatan baik dan mampu berbahasa Inggeris, tetapi nampaknya itu bukan ciri diperlukan oleh satu syarikat penerbangan China.

Syarikat Penerbangan Hainan memerlukan calon juruterbang tidak mempunyai bau badan. 
Syarikat itu mencetuskan kontroversi selepas menetapkan syarat tiada bau badan langsung kepada calon juruterbang. 

Dalam temuduganya, staf syarikat akan datang dekat dengan calon juruterbang dan menghidu ketiak sekiranya ada bau yang tidak menyenangkan.

Seorang calon yang ditolak permohonannya berkata, “Saya lulus semua ujian kecuali bau ketiak.”

Pegawai syarikat mendakwa, staf di pesawat sentiasa berinteraksi dengan orang ramai. Penumpang tidak mahu berurusan dengan seseorang yang mempunyai bau badan terutama pekerja yang bekerja dalam pesawat.



Kembar Kenya diberi nama Barack Obama, Mitt Romney

Kembar Kenya diberi nama Barack Obama, Mitt Romney
Millicent Owuar menunjukkan anak kembarnya yang dinamakan Barack Obama dan Mitt Romney.


SIAYA, Kenya - Seorang ibu muda Kenya telah menamakan anak lelaki kembarnya, yang baru dilahirkan kelmarin, sebagai Barack Obama dan Mitt Romney susulan pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) Selasa lalu.

Millicent Owuar, 20, melahirkan Obama dan Romney di hospital daerah Siaya, barat daya Kenya kelmarin, lapor Standard.

Hospital tersebut berdekatan dengan kampung Kogelo, di mana ayah Presiden Obama dilahirkan dan nenek tirinya, Sarah Obama, tinggal.

Penduduk di Kogela bersorak gembira dengan kemenangan Obama, yang berjaya mempertahankan jawatannya buat penggal kedua.

Obama menewaskan Romney dari Republikan.

Kenya berharap pemilihan semula Obama akan menjadi permulaan baru dalam hubungan kedua-dua negara itu, lapor Reuters.

Obama melawat sub-Sahara Afrika hanya sekali dalam tempoh empat tahun pertama beliau menjadi presiden dan singgah tidak sampai sehari di Ghana.

Jika Obama melawat Kenya, mungkin kedua-dua bayi itu boleh menemui beliau.

Belum ada kes kembar bernama Joe Biden dan Paul Ryan, gandingan calon Naib Presiden masing-masing bagi Obama dan Romney.



Thursday, November 8, 2012

88 tahun nanti gambar kahwin

IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.
IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.


NANCHING: Tanya mana-mana pasangan yang sudah bertunang dan mereka akan menjawab majlis perkahwinan tidak akan lengkap tanpa gambar romantik bagi mengingati majlis berkenaan.

Sebahagian pasangan yang baru berkahwin akan mengambil gambar mereka selepas majlis itu. 

Tetapi bagi pasangan ini, mereka menanti hingga 88 tahun sebelum dapat merakam gambar paling istimewa dalam hidup mereka. 

Pasangan yang sudah menjangkau usia 100 tahun, Wu Conghan dan Wu Sognshi, berkahwin di wilayah Sichuan, China pada 1924.

Bagaimanapun, mereka tidak merakam gambar perkahwinan itu sehinggalah baru-baru ini.

Conghan, 101, dan Sognshi, 103, hidup bahagia bersama sejak 88 tahun lalu.

Mereka selalu mengimpi untuk merakamkan gambar kahwin mereka. 

Tetapi pasangan itu tidak mempunyai pilihan apabila melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun berkenaan.

Impian mereka dijadikan realiti baru-baru ini oleh sebuah syarikat foto di Nanching, bandar tempat tinggal mereka. 

Seperti apa juga yang ada kaitan dengan majlis perkahwinan, pengantin perempuan mahu rakaman itu paling sempurna dan memastikan suaminya kelihatan paling segak denghan baju putih. - DM






Mumia budak dikembalikan ke Peru

Mumia budak dikembalikan ke Peru
Beberapa helai lapisan kain masih membaluti tubuh mumia kecil ini.


LIMA - Mumia kanak-kanak berusia kira-kira 700 tahun, dikembalikan semula ke Peru selepas diseludup oleh penyeludup barangan antik ke Bolivia, kelmarin.

"Kita mengiktirafnya sebagai artifak warisan kebudayaan negara yang perlu dipelihara," kata Menteri Kebudayaan, Luis Peirano.

Ia ditemui dalam kotak kertas, dua tahun lalu, daripada rakyat Bolivia yang cuba menghantarnya ke Compiegne, Perancis.

Mumia berkenaan diserahkan kepada Peru oleh Menteri Kebudayaan Bolivia, Pablo Groux dalam keadaan baik dan dibungkus bagi melambatkan proses pereputan.

Pakar arkeologi percaya, ia berasal daripada zaman pra-Inca pantai Peru dan ia adalah kanak-kanak berumur dua tahun. -AP






Wednesday, November 7, 2012

Rompakan ala filem James Bond

ENAM perompak menunggang motosikal  berkuasa tinggi merompak kedai emas.
ENAM perompak menunggang motosikal berkuasa tinggi merompak kedai emas


LONDON: Enam perompak mengejutkan orang ramai apabila melakukan rompakan bermotosikal dengan pantas.

Mereka mengenakan pakaian hitam dan topi keledar penuh sambil menunggang tiga motosikal berkuasa tinggi dalam sebuah pusat beli-belah sebaik saja ia dibuka, semalam.

Pembonceng ketiga-tiga motosikal itu melompat turun lalu memecahkan dinding kaca kedai barang kemas menggunakan kapak dan kayu pemukul. 

Saksi berkata, perompak itu menunggang motosikal ke bahagian atas menuju ke kedai barang kemas Fraser Hart di pusat beli-belah Brent Cross di utara London.


Mereka dipercayai mengambil jam tangan jenama Cartier dan Rolex serta barang kemas lain sebelum melarikan diri.

Menurut saksi, orang ramai menjadi panik apabila melihat kejadian itu. Ada yang melarikan diri ke pintu keluar manakala beberapa kedai tidak membenarkan pelanggan mereka keluar ketika rompakan itu berlaku.

Michelle Webber, 36, yang berada di situ berkata, dia masuk dari pintu yang digunakan oleh kumpulan itu, berdekatan dengan kedai John Lewis dan New Look.

Katanya, dia masuk kira-kira 10 minit sebelum rompakan itu berlaku dan mendengar seorang lelaki di belakangnya berkata, “Mari mulakan keseronokan.”

Tidak lama selepas itu, Michelle berkata, keadaan di dalam pusat beli-belah itu menjadi tegang.

“Seorang lelaki berlari ke arah kami dan menjerit supaya semua orang keluar. Waktu itu saya terfikir mungkin ada bom dan saya mula teringatkan anak saya dan keluarga. Saya mula ketakutan dan orang ramai mula berlari keluar dalam keadaan panik,” katanya.

Michelle berkata, orang ramai mula berlari ke arahnya dan cuba menjauhkan diri daripada tempat rompakan itu.

“Di sekitar kami, kedai mula ditutup dan barulah kami sedar sesuatu yang serius telah berlaku. Seorang lelaki memberitahu saya ada perompak bermotosikal di bahagian atas memecah kedai emas dengan kapak,” katanya.

Seorang jurugambar, Rick Treister yang dalam perjalanan ke kedai Apple di Brent Cross mendengar suara orang berteriak dan kaca pecah.

Beberapa saat kemudian, tigag motosikal dipecut dengan laju ke arahnya melepasi kedai kasut Clarks. 

Katanya, “Saya tidak sempat untuk merasa takut, kejadian itu seperti mimpi.”

“Ia seperti filem James Bond dan anda tidak percaya kejadian seperti ini berlaku dalam pusat beli-belah Brent Cross,” katanya.

Rick terus mengeluarkan telefon bimbit dan berjaya merakam satu gambar.

“Lelaki yang menunggang motosikal di hadapan menjerit sesuatu kepada saya ketika dia melintas di hadapan saya,” katanya.

Katanya, keadaan menjadi huru hara. Wanita yang bekerja di kedai John Lewis menjerit manakala lelaki yang bekerja di kedai emas itu menjerit mengeluarkan kata-kata kesat ke arah perompak. - Daily Mail


Monday, November 5, 2012

Replika Taj Mahal bernilai RM56j

Replika Taj Mahal bernilai RM56j
Replika Taj Mahal bernilai RM56j

Seramai 35 pekerja mahir di Bhopal, India menghabiskan masa selama 18 bulan untuk menyiapkan model Taj Mahal setinggi satu meter dihasilkan daripada 20 kilogram emas, 400 kg perak dan lapan butir berlian. Mereka turut membuat ukiran dan tulisan kaligrafi sebenar seperti terdapat pada binaan yang disenaraikan sebagai tujuh keajaiban dunia itu.

Replika Taj Mahal bernilai 11.5 juta pound (RM56 juta) itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.  - MailOnline


Bangkai tikus dalam bijirin sarapan

TIKUS yang ditemui Hunter dalam bijirin Rice Krispies.
TIKUS yang ditemui Hunter dalam bijirin Rice Krispies.


LONDON: Seorang lelaki yang kelaparan terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila bijirin Rice Krispies yang ingin disuapnya untuk kali kedua mengandungi tikus mati.

Mark Hunter, 42, bapa kepada dua anak dari Maida Vale, London, terkejut apabila menyudu kepala tikus daripada bijirin Rice Krispies yang dimakan bersama susu. Dia kemudian mengeluarkan bangkai haiwan itu, mengeringkannya sebelum menghubungi pengilang makanan itu, Kellog’s.


“Saya sangat bimbang kerana saya sudah pun makan sesudu bijirin itu dan ingin menyuap makanan itu lagi.

“Namun, saya terlihat benda hitam dalam susu, tetapi tidak menyedarinya hingga saya mencedoknya dengan susu,” katanya.


Kellog’s mengakui mereka bimbang dengan apa yang berlaku dan akan pergi ke kediaman Hunter untuk mengambil tikus itu dan menyelidik dari mana ia datang.


Pakar daripada Universiti Liverpool percaya mereka dapat mencari puncanya. Ia bukan kali pertama tikus atau benda lain yang menjijikkan ditemui dalam makanan. - TS



Sunday, November 4, 2012

Bangunan paling ‘hodoh’ dibuka tahun depan


Pyongyang's 105-storey Ryugyong Hotel (file photo)

PYONGYANG: Hotel berbentuk piramid setinggi 105 tingkat yang dibina di ibu negara Korea Utara ini sejak lebih 20 tahun lalu, akhirnya akan dibuka.

Sebahagian Hotel Ryugyong diharap dapat dibuka pertengahan tahun depan, 26 tahun selepas pembinaannya bermula.

Ia adalah bangunan ke-47 paling tinggi di dunia dengan ketinggan 335 meter dan mempunyai jumlah aras kelima paling banyak.

Reto Wittwer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kempinski AG, syarikat pengendali hotel antarabangsa berkata, hanya 150 bilik di tingkat paling atas akan digunakan untuk hotel berbanding 3,000 yang dicadangkan sebelum ini.

Baki ruang bangunan berkenaan akan digunakan untuk kedai, pejabat, dewan majlis dan restoran. Struktur bangunan yang amat besar itu yang digelar ‘Hotel Kiamat’ sebelum ini menjadi sumber tarikan dan cemuhan di seluruh dunia serta memalukan pihak berkuasa negara itu yang diketuai Parti Pekerja Korea.

Korea Utara mula membina Ryugyong pada 1980-an tetapi menghentikannya apabila negara itu dilanda krisis ekonomi dan kehabisan pembiayaan pada 1990-an.

Ia diundi sebagai ‘Bangunan Terburuk dalam Sejarah Peradaban Manusia’ oleh majalah Esquire pada 2008 yang menyifatkan Ryugyong sebagai ‘sangat hodoh walaupun pada standard komunis.’ Pembinaan luaran bagaimanapun disambung semula pada 2009 apabila syarikat Mesir, Orascom Telecom, mengambil alih. Beberapa laporan baru-baru ini berkata, hotel itu akhirnya sudah siap untuk dibuka.

Orascom Telecom melancarkan rangkaian telefon bimbit di negara itu pada 2008 dan dilapor membelanjakan RM660 juta untuk menyiapkan permukaan bangunan berkenaan. Pada September lalu, sebuah agensi pelancongan yang berpejabat di Beijing dibenar melihat bahagian dalam bangunan itu dan menyiarkan gambar lobi yang masih berlantai dan berdinding konkrit. - DM


Friday, November 2, 2012

Ibu tikam dua anak 150 kali halau 'iblis'

Elzbieta Plackowska



NAPERVILLE - Seorang wanita berusia 40 tahun menikam anak lelakinya 100 kali manakala anak perempuan pula 50 kali atas alasan untuk menghalau "iblis" dalam diri kedua-dua kanak-kanak itu.
Elzbieta Plackowska dibawa ke mahkamah semalam dan dikenakan bon.

Pendakwa raya DuPae County, Robert Berlin berkata, "dia memberitahu bahawa dalam diri anak-anaknya ada iblis dan dia cuba mengeluarkan iblis keluar dari badan mereka."

Laporan nbcnews.com memetik polis berkata, Plackowska dengan kejam menikam anak lelakinya, Justin 100 kali dan Olivia Dworakowski 50 kali.

Ketika kejadian, yang berlaku Selasa lalu, wanita itu menjaga kedua-dua kanak-kanak berkenaan di rumah mereka yang terletak di Naperville, kira-kira 50 kilometer ke barat Chicago.

Dia didakwa meminta kedua-dua kanak-kanak itu melutut dan berdoa sebelum menikam mereka, lapor nbcchicago.com.

Malah, dia juga didakwa memberitahu anak lelakinya bahawa dia akan pergi ke syurga.
Menurut pendakwa raya, leher kedua-dua kanak-kanak itu dikelar.

Selepas membunuh, Plackowska telah pergi ke gereja di Naperville tetapi apabila mendapati ia tutup, dia meninggalkan mesej mengatakan telah melakukan sesuatu yang buruk dan memerlukan bantuan.
Dia kemudian telah pergi ke rumah kawannya, di mana anak lelaki sulung tinggal dan memberitahu mereka dia telah dirompak.

Tribune melaporkan bahawa Plackowska memberitahu polis kononnya rumah dia telah dipecah masuk dan penjenayah terbabit melakukan pembunuhan itu.

Kemudian, menurut laporan nbcchicago.com, wanita itu memaklumkan polis bahawa dia menikam anak lelakinya untuk menyinggung suaminya yang tidak menghargai dia.

Plackowska juga berkata bahawa dia membunuh anak perempuan dan dua ekor anjingnya kerana menyaksikan pembunuhan.

Thursday, November 1, 2012

Wanita tewaskan jerung

MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.
MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.

JERUNG harimau.
JERUNG harimau. 

HAWAII: Seorang penyelam wanita terselamat daripada serangan jerung sepanjang empat meter di sini selepas menggunakan gerakan seni mempertahankan diri.

Pemegang tali pinggang hitam taekwondo, Mariko Haugen sedang berenang bersama suaminya di pantai Maui apabila mendapati dirinya berdepan dengan seekor jerung harimau.

Apabila diserang, Mariko menggunakan kemahirannya dan menumbuk hidung haiwan pemakan manusia itu.

“Keadaan tiba-tiba menjadi seperti filem Hollywood. Anda melihat rahang besar ikan itu menerkam anda. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana takutnya saya ketika itu.

“Taekwondo yang saya pelajar membolehkan saya bersedia untuk menumbuk,” kata Mariko.

Menyedari ia berdepan dengan orang yang setanding dengannya, jerung berkenaan meninggalkan tempat itu, sekali gus membolehkan Mariko dan suami, Don berenang ke pantai.

Mariko yang berasal dari Folsom, California, tidak dibaham, tetapi memerlukan 60 hingga 70 jahitan pada tangan kirinya yang cedera kerana terkena gigi ikan itu ketika menumbuknya.

Sementara itu, Don berkata, mereka sungguh bernasib baik.

Bagaimanapun, pengalaman ngeri itu tidak akan menyebabkan dia berhenti berenang di laut.

“Saya sentiasa memberitahu anak saya, tidak ada alasan untuk takut kepada jerung kerana apa yang lebih menakutkan ialah barah payu dara. Satu daripada lapan orang menghidapnya.

“Tetapi hanya satu daripada empat juta pelancong ke Hawaii dibaham jerung. Kerana itu kita tidak perlu takut langsung,” kata Don. - DM