Monday, June 13, 2011

Harga ikan naik angkara mogok


HARGA ikan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur semalam kekal tinggi dipercayai berpunca
 daripada tindakan 500 nelayan mogok ke laut.

KUALA LUMPUR - Jika kenaikan harga ikan sepanjang dua minggu lepas dikaitkan dengan faktor musim cuti sekolah tetapi kini, mogok pula dikatakan punca harganya tidak turun-turun.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar utama di sini semalam mendapati, rata-rata harga yang ditawarkan bagi sekilogram ikan segar tidak banyak beza berbanding sepanjang musim cuti persekolahan.
Malah, ada harga ikan tertentu seperti kembung, sardin dan pelaling didapati naik di antara RM1 hingga RM6 sekilogram.
Seorang penjual ikan Pasar Chow Kit, Maslan Md. Nin, 48, berkata, walaupun mogok tidak menyebabkan bekalan ikan terputus namun, ia akan menyebabkan harga naik jika bekalan diimport dari luar negara.
"Kami sedar kesan mogok oleh persatuan nelayan di Johor, Perlis dan Pahang punca kenaikan harga ikan tetapi kami masih boleh mendapat bekalan dari Indonesia dan Thailand.
"Bagaimanapun, kini kami sukar mendapat bekalan ikan kembung sejak tiga hari lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Friday, June 10, 2011

Sejumlah kereta jutaan dolar rosak

SEBUAH kereta Ferrari (kiri) dan Lamborghini (kanan) turut terjejas akibat banjir kilat yang melanda tempat
 letak kereta apartmen St. Regis di Singapura pada Ahad lalu.

SINGAPURA - Sejumlah kereta sport bernilai jutaan dolar seperti Ferrari rosak selepas tempat letak kereta bawah tanah di sebuah apartmen mewah di sini dilanda banjir, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Tempat letak kereta di apartmen itu, St. Regis yang bernilai AS$16.27 juta (RM49.15 juta) menempatkan sejumlah kenderaan mewah semasa banjir kilat berlaku pada Ahad lalu.
Kereta-kereta mewah seperti Ferrari yang bernilai AS$894,979 (RM2.7 juta) rosak teruk akibat ditenggelami air banjir.
Para pemilik kereta tersebut yang menginap di apartmen berkenaan gagal mengalihkan kenderaan mereka dengan segera kerana maklumat mengenai banjir itu gagal diberitahu disebabkan sistem amaran banjir gagal berfungsi.
Pemilik-pemilik kereta itu perlu membayar cukai yang amat tinggi semasa mengimport kenderaan tersebut di Singapura.
Ekoran itu, harga kenderaan mewah amat tinggi di Singapura seperti kereta Rolls-Royce Phantom yang berharga AS$1.43 juta (RM4.3 juta) iaitu AS$813,019 (RM2.45 juta) lebih tinggi daripada yang dijual di United Kingdom.
Antara kereta mewah lain yang turut rosak akibat banjir itu di tempat letak kereta berkenaan ialah Aston Martin yang berharga AS$731,755 (RM2.21 juta) dan Porsche 911 yang berharga AS$406,530 (RM1.22 juta).
Kos bagi membaiki kereta mewah itu akibat banjir kilat dianggarkan melibatkan ratusan ribu dolar jika ruang dalaman dan sistem elektrik kenderaan berkenaan rosak.
Seorang penduduk yang merupakan pekerja pelaburan, Matthew Song, 33, berkata, kereta BMW M3 miliknya juga ditenggelami banjir.
Menurutnya, dia membeli kereta itu dua bulan lalu dengan harga AS$284,012 (RM858,142).
Kereta itu dihantar untuk dibaiki dengan menggunakan sebuah trak tunda pada Rabu lalu.
Seorang penduduk di apartmen itu, John Waggot, 50, yang merupakan seorang jurutera berkata, banjir kilat melanda apartmen tersebut buat kali pertama pada pertengahan Jun lalu.
Menurutnya, banjir kilat kali kedua berlaku dua minggu selepas kejadian pertama berlaku dan yang berlaku pada Ahad lalu merupakan bencana alam yang ketiga. - Agensi



Thursday, June 9, 2011

Kek buah campur arak


KUALA LUMPUR: Penggemar kek buah-buahan dan tiramisu yang dijual di restoran terkemuka di negara ini dinasihatkan lebih berhati-hati memilih sajian pemanis mulut itu kerana dikhuatiri dicampur arak sebagai penambah perisa.

Arak jenis rum biasanya digunakan sebagai bahan tambahan untuk menguatkan tekstur kek berkenaan selain menambah perisa menyebabkan ia menjadi satu daripada sajian digemari ramai.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Piawaian dan Pembangunan Sistem International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance), Azudin Khalid, berkata pengguna Islam boleh merasai perbezaan makanan itu sama ada ia menggunakan arak sebagai bahan tambahan atau tidak.

“Kek buah-buahan yang menggunakan rum biasanya mempunyai tekstur yang kuat dan tidak mudah pecah apabila dipotong manakala tiramisu atau kek keju terasa sejuk bila dimakan, makanan Cina pula ada yang menggunakan wain merah sebagai penambah perisa.

“Sehubungan itu, pengguna Islam perlu lebih peka dan bertanya jika was-was ketika memesan makanan di restoran. Jika membeli biskut atau coklat kandungan di pembalut perlu diteliti bagi memastikan sama ada terdapat bahan berkod E471 yang merujuk kepada lelemak haiwan dan tumbuhan,” katanya ketika ditemui, semalam. Beliau berkata, walaupun restoran terutama dari luar negara seperti makanan Barat, Korea atau Jepun mempunyai logo halal, namun pemesongan masih boleh berlaku jika pengguna Islam tidak memainkan peranan penting atau ambil kisah terhadap apa dimakan mereka.

“Pengusaha boleh mengambil kesempatan mencampurkan bahan yang halal dan haram kerana sikap tidak peka pengguna Islam selain Akta Perihal Dagangan 1972 (APD) sekarang yang terlalu umum berhubung pelaksanaan undang-undang halal.

“Bagaimanapun, penggubalan Akta Halal tidak lama lagi yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengambil tindakan terhadap pemilik restoran atau syarikat yang tidak menggunakan sijil dan logo halal dikeluarkan jabatan itu boleh mengatasi masalah dari sudut undang-undang, namun selagi pengguna tidak peka, isu ini sukar diatasi,” katanya.

Menurutnya, pengusaha biasanya menggunakan alasan Jakim mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan sijil halal menyebabkan mereka memilih syarikat swasta yang tidak diiktiraf.

“Perkara menyebabkan sijil halal lambat dikeluarkan Jakim mungkin berpunca daripada dokumentasi yang dilampirkan tidak lengkap atau sumber atau status halal bahan mentah yang digunakan mereka tidak jelas diperoleh daripada mana.

“Di sini boleh berlaku pemesongan, pengusaha sesuka hati mencampur aduk bahan halal dengan haram. Kita selaku pengguna boleh memainkan peranan dengan ‘memaksa’ pengusaha mengikut saluran betul jika bersikap tegas tidak membeli makanan di restoran yang dicurigai status halalnya,” katanya.

Azudin berkata, IHI Alliance selaku agensi yang bekerjasama dengan Jakim menerusi pemantauan sistem dan piawaian halal termasuk di peringkat antarabangsa daripada semasa ke semasa mengadakan seminar panduan kepada pengusaha restoran halal.


sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...cle/index_html

Monday, June 6, 2011

Lelaki menyamar wanita untuk berkahwin didakwa

RAHMAT SULISTYO (kiri) yang menyamar sebagai wanita berkahwin dengan Muhammad Umar 
di Kampung Bojongsari, Indonesia pada 19 September 2010.

BEKASI - Seorang lelaki, Rahmat Sulistyo yang menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan lelaki lain didakwa di sebuah mahkamah semalam, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.
Dia didakwa menggunakan identiti palsu dan menyamar sebagai wanita bernama Friska Anatasya Oktaviany semasa berkahwin dengan seorang lelaki, Muhammad Umar pada tahun lalu.
Lelaki itu berkahwin dengan Muhammad di rumahnya di Kampung Bojongsari, Kelurahan Jatisari, Kecamatan Jatiasih, Kota Bekasi pada 19 September 2010 selepas mereka berkenalan menerusi Facebook.
Dalam pendakwaan semalam yang merupakan hari pertama perbicaraan, Rahmat didakwa memalsukan keterangan dalam dokumen pernikahan dan menggunakan dokumen palsu.
Jika disabitkan kesalahan, dia akan dihukum penjara tujuh tahun.
Semasa pernikahan itu, penghulu di kampung tersebut tidak mengetahui bahawa Rahmat menyamar sebagai seorang wanita.
Identiti sebenar Rahmat terbongkar enam bulan selepas dia bernikah setelah suaminya memeriksa tubuh 'isterinya' itu ekoran rungutan jiran-jiran mereka bahawa kelakuannya seperti lelaki. - Agensi




Friday, June 3, 2011

E. coli bakteria paling bahaya

GAMBAR menunjukkan bakteria E.coli baharu yang dilihat menerusi mikroskop di Institut 
Penyelidikan Jangkitan di Brunswick, Jerman.

BERLIN/LONDON - Dilaporkan lebih 1,600 orang mangsa telah dijangkiti oleh bakteria E. coli yang telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang dan mungkin menjadi wabak paling bahaya setakat ini dalam sejarah manusia.
Jerman dikatakan menjadi pusat kepada wabak tersebut. Dengan punca sebenar masih kekal misteri, para pengguna di seluruh dunia kini berada dalam kebimbangan.
Dianggarkan seramai 1,624 orang di negara Eropah seperti Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan sudah jatuh sakit, kemungkinan selepas memakan salad dan sayur-sayuran yang tercemar dari Jerman.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia merupakan bakteria E. coli yang baharu.
Angka kematian juga dijangka meningkat apabila Jerman mengemaskini jumlah pesakit.
Bakteria E. coli normal yang menjadi punca kepada masalah keracunan makanan sebenarnya tidak terlalu berbahaya.
Namun, bakteria jenis E. coli yang menyerang di Eropah mempunyai kemampuan untuk kekal pada dinding usus manusia dan mengeluarkan toksin yang dikenali sebagai Shiga (STEC).
Ia kemudian akan mengakibatkan cirit-birit berdarah yang teruk, komplikasi lain seperti kerosakan ginjal dan boleh membawa maut.
Seorang pakar, Robert Tauxe dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS yang telah bekerjasama dengan pegawai kesihatan Jerman sejak minggu lalu mengakui E. coli itu sebagai jenis yang paling berbahaya jika dinilai daripada jumlah kematian.
Di Berlin, Canselor Jerman, Angela Markel telah mengarahkan satu satu pasukan khas untuk mengesan punca E. coli ditubuhkan.
Para saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti punca pencemaran, sama ada tahap kebersihan yang teruk di ladang, transit atau di kedai di Jerman sebagai punca kewujudan bakteria baharu itu.
Mengulangi amaran supaya rakyatnya tidak memakan sayur-sayuran mentah, para pegawai kesihatan Jerman menyatakan mereka telah merekodkan 199 kes terbaharu wabak tersebut dalam tempoh dua hari.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti kepada 1,733 orang.
Wabak itu juga membuatkan hubungan perdagangan antara negara Eropah menjadi tegang.
Rusia mengundang kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) selepas mengharamkan import sayur-sayuran mentah dari Eropah dengan mendakwa Belgium gagal menangani krisis tersebut.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa bakteria itu berpunca daripada timun yang tercemar dari Sepanyol sebelum puncanya yang sebenar dari Jerman diketahui. - Agensi



Wednesday, June 1, 2011

Badan dunia dakwa telefon bimbit penyebab kanser


PARIS – Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit.
Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia,” kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin.
Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak,” kata Presiden IARC, Jonathan Samet.
Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon.
Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun.
“Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka,” kata Samet.
Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan. – AFP


Larangan import produk Taiwan dicemari kimia

UNI-PRESIDENT ASPARAGUS JUICE


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara produk yang dilarang daripada diimport ialah Uni-President Asparagus Juice keluaran syarikat Uni-President Enterprises Corp. Taiwan.

“Bagi produk makanan lain yang diimport dari Taiwan seperti jus buah-buahan, jeli, jem, yogurt dan minuman sukan, tindakan pemantauan dijalankan di pasaran dan pintu masuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

DEHP dan DINP adalah bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut.

Bahan itu dipercayai dipindahkan ke dalam makanan semasa proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan serta boleh menyebabkan kecelaruan hormon dan barah.

Tiong Lai berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Taiwan Food and Drug Administration (FDA) mengenai beberapa produk makanan dari negara itu yang disahkan tercemar dengan DEHP dan telah dieksport ke Malaysia.-Kosmo