Saturday, July 16, 2011

Ubah suai Ford jadi Bugatti Veyron

KERETA Ford Cougar yang diubah suai menjadi Bugatti Veyron.
(gambar kecil) KERETA Ford Cougar.

MIAMI - Seorang peminat kereta, Mike Duke mengubah suai kereta Ford Cougar miliknya yang berharga AS$1,600 (RM4,812) menjadi kereta sport Bugatti Veyron, lapor sebuah akhbar semalam. Dia menghabiskan masa selama sembilan bulan untuk mengubah suai kereta itu.
Duke kini menjual kereta seperti Bugatti Veyron itu pada harga AS$89,000 (RM267,667.49). Harga sebenar kereta Bugatti Veyron ialah AS$1.6 juta (RM4.81 juta).
Namun, kereta Ford yang diubah suai menjadi Bugatti Veyron itu menggunakan enjin 2.5 liter V6. Bugatti Veyron menggunakan enjin lapan liter yang boleh memecut sehingga 407.16 kilometer sejam. - Agensi



Thursday, July 14, 2011

pix_middle

TOKYO: ‘Tali leher Nemuri’ yang bermakna ‘Tali Leher Tidur’ dalam bahasa Jepun adalah peralatan unik yang membolehkan pekerja yang keletihan tidur dalam keadaan selesa dan bergaya di meja mereka.
Ia kelihatan seperti tali leher biasa tetapi mempunyai lubang udara kecil yang tersembunyi di belakangnya. Ia akan menggelembung seperti bantal apabila ditiup.


Tali leher itu diperbuat daripada sutera dan mempunyai fiber mikro khas yang akan membantu menyejukkan kulit ketika cuaca panas, menurut akhbar Asahi.
Tali Leher Tidur itu, yang dicipta oleh KTM Co, mensasarkan pekerja pejabat yang suka tidur sekejap di meja mereka dan buat masa ini ia dijual dengan harga 2,500 yen (RM100).


Jepun terkenal dengan budaya korporat yang menyaksikan rakyatnya bekerja untuk tempoh masa yang panjang dan satu daripada segelintir tempat di dunia di mana perkataan ‘mati akibat terlalu kuat bekerja’ dicipta. - Agensi

Monday, July 11, 2011

Tidak pernah minum kopi

Saad (tengah) diraikan sanak saudara di rumahnya di Kampung Paya Guring, Pauh, Arau, Perlis semalam.

ARAU - Seorang warga emas di sini yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 bukan sahaja masih kuat bekerja malah mampu berjalan kaki sejauh lima kilometer sehari mengalahkan orang muda.
Saad Jasin memiliki rahsia tersendiri untuk kekal sihat walaupun usia sudah lanjut iaitu dia tidak mengambil makanan bergoreng dan tidak minum kopi.
Kelmarin insan istimewa itu diraikan oleh anggota keluarganya seramai 76 orang di rumahnya di Kampung Paya Guring dekat sini.
Majlis berlangsung cukup meriah termasuk acara memotong kek dan pulut kuning oleh insan berkenaan.
"Saya tidak pernah makan makanan bergoreng dan minum kopi kerana ia melemahkan anggota badan dan tulang.
"Saya hanya makan nasi berlauk dan minum air kosong dan teh sahaja setiap hari.
"Bagi mengelak badan jadi bongkok, saya bangun pagi dengan duduk perlahan-lahan sebelum berjalan.
"Elak bangun dengan keadaan tergesa-gesa yang boleh mengejutkan tulang kita," katanya pada pemberita di sini semalam.


Fesyen guna model terlalu kurus dikritik

SEORANG wanita terlalu kurus digunakan sebagai model dalam laman web jenama pakaian Topshop.com.

LOS ANGELES - Jenama fesyen Topshop dikecam apabila ia menggunakan seorang model wanita yang mempunyai bentuk badan terlalu kurus di laman webnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Wajah model muda yang kelihatan pucat itu memakai pakaian bersaiz kecil.
Imej yang dipaparkan menimbulkan bantahan dalam kalangan penghidap anoreksia.
Salah seorang ahli sebuah persatuan kebajikan anoreksia, Halen Davies memberitahu: "Gadis-gadis yang melihat gambar model berbadan kurus ini menyatakan dia cantik tetapi sebenarnya tidak. Imej itu bukan yang kita mahu lihat di dalam majalah dan internet.
"Topshop perlu bertanggungjawab dan perlu menggunakan model yang sihat," jelasnya. - Agensi



Thursday, July 7, 2011

Facebook lancar panggilan video

MARK ZUCKERBERG (kiri) melihat perbualan video Facebook di ibu pejabat 
parti itu di Palo Alto, California kelmarin.

NEW YORK Amerika Syarikat (AS) - Pihak pengurusan Facebook kelmarin mengumumkan 750 juta penggunanya kini boleh menggunakan laman jaringan sosial berkenaan untuk membuat panggilan video.
Ciri terbaru itu menggunakan perkhidmatan telefon Internet, Skype.
Facebook juga mengubah susun atur aplikasi laman sembang itu supaya ia lebih mesra pengguna.
Bagi membuat panggilan video, para pengguna Facebook yang menggunakan komputer dilengkapi kamera web, perlu terlebih dahulu memilih rakan sembang mereka.
Selepas satu tetingkap sembang akan tertera pada skrin, para pengguna perlu mengklik ikon video kecil berwarna biru untuk menggunakan aplikasi berkenaan.
Kemunculan produk terbaru itu seiring dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, 27, yang menjanjikan beberapa pelancaran baharu untuk tahun ini. - Agensi




Wednesday, July 6, 2011

Peminat hiasi kereta dengan lambang Man City

MIKE RADCLIFFE (kiri) dan Shaun Donohoe dengan kereta mereka yang dihiasi dengan lambang kelab Manchester City.

MANCHESTER - Dua peminat kelab bola sepak Manchester City (Man City) menghiasi sebuah kereta Chevrolet yang dibeli di Amerika Syarikat (AS) dengan logo dan wajah bintang kelab tersebut.
Mike Radcliffe dan Shaun Donohoe membeli kereta buatan 1975 itu pada harga £15,000 (RM72,262) di Carolina, AS dan membayar sebanyak £5,000 (RM24,087) untuk kos penghantaran ke Britain.
Kos menghiasi kereta itu dengan gambar pemilik kelab tersebut, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan dan wajah beberapa pemain di badan kereta selain kerusi dan bonet dihiasi lambang kelab berkenaan ialah £50,000 (RM240,874). - Agensi


Kereta Bugatti Veyron Edisi Khas berharga RM6.73 juta

PORSELIN digunakan sebagai material utama untuk kemasan dalaman dan luaran Bugatti Veyron ini.

BERLIN - Pengeluar kereta supersport mewah, Bugatti baru-baru ini memperkenalkan model Veyron terbarunya yang menggunakan kemasan porselin dan dijual pada harga AS$2.24 juta (RM6.73 juta) seunit.
Kereta yang turut dikenali sebagai Grand Sport L'Or Blanc tersebut dilancarkan di luar kilang porselin milik syarikat Koenigliche-Porzellan-Manufaktur (KPM) di Berlin, Jerman. Ia dihasilkan sebagai meraikan permulaan kerjasama antara KPM dan Bugatti.
Menjadi kereta pertama yang menggunakan material porselin pada bahagian dalaman dan luarannya, hanya sebuah Veyron sebegini dihasilkan.
Bugatti Veyron dengan spesifikasi biasa dijual pada harga AS$1.6 juta (RM4.81 juta) seunit. Ia dilengkapi dengan sebuah enjin V8 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 407 kilometer sejam (km/j).
Pemilik KPM, Jorg Woltman memberitahu idea untuk bekerjasama dengan Bugatti sebenarnya diinspirasikan oleh Rembrandt Bugatti yang merupakan seorang pembuat arca terkenal. "Sekarang, kami telah menghasilkan porselin paling laju di dunia," kata Woltman. - Agensi