Wednesday, June 15, 2011

Portal kerajaan digodam penjahat Dragon Force

SEBUAH kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai Anonymous turut memberi 
amaran untuk menggodam laman web kerajaan.

KUALA LUMPUR - Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di sini awal pagi semalam.
Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.
"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi.
"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.
Bagaimanapun, kedua-dua portal yang digodam selama 13 jam bermula tengah malam kelmarin sehingga kira-kira pukul 1 petang itu boleh diakses semula setelah dibaik pulih oleh pentadbir portal berkenaan.
Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Pengajian Politeknik mengesahkan kejadian tersebut dan sedang menunggu laporan penuh pembekal perkhidmatan laman webnya.
"Kami mempunyai dua portal iaitu www.politeknik.edu.my dan politeknik.gov.my. Yang telah diserang ialah politeknik.gov.my sementara portal yang satu lagi tidak digodam.
"Buat masa sekarang, memang tiada sebarang kerosakan serius dan semua kerosakan itu sudah dibaiki. Selepas pihak kami mendapat laporan penuh daripada pembekal, kami akan buat laporan terus kepada pihak atasan mengenainya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaituwww.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama.


Tuesday, June 14, 2011

Tulang dinosaur 'bermusuh' dilelong

Sepasang tulang dinasour yang 'bermusuh', Allosaurus dan Stegasaurus dijual kepada sebuah muzium 
pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).


DALLAS - Tulang dua ekor dinasour yang lengkap dan berkualiti tinggi telah dilelong, sebelum berjaya dijual kepada sebuah muzium pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).
Dilelong oleh rumah lelongan Heritage Auctions, tulang dua ekor dinasour yang setinggi 5.79 meter itu adalah daripada keluarga dinasour triceratops.
Diperoleh daripada seorang pengumpul pada harga AS$657,250 (RM1.9 juta), dinasour Allosaurus dan Stegasaurus dikatakan bermusuh kerana rahang Allosaurus ditemui di bahagian kaki Stegasaurus, sekali gus membawa teori dua pemangsa itu terlibat dalam pergaduhan.
Lelongan yang berlangsung di Dallas tersebut melibatkan lebih 200 barangan. Antaranya batu meteorit, mineral dan fosil-fosil.
Heritage Auctions enggan mendedahkan muzium mana yang membeli tulang dinasour itu. Ia bagaimanapun menyatakan muzium tersebut terletak di luar Amerika Syarikat (AS).
"Saya gembira kerana pasangan dinasour ini mendapat 'rumah' yang baru. Ia merupakan spesimen era Jurassic yang ikonik dan penting. Kini, ia akan pergi ke destinasi terakhir dan orang ramai berpeluang melihatnya secara dekat," kata pengarah sejarah semula jadi Heritage Auctions, David Herskowitz. - Agensi


RM30,329 untuk bergambar bersama Wanita Pertama AS

Michelle Obama berucap pada satu majlis amal di Beverly Hills, California kelmarin.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Wanita Pertama AS, Michelle Obama mengenakan bayaran AS$10,000 (RM30,329) setiap seorang kepada sekumpulan pembida kaya untuk bergambar bersamanya dalam satu majlis makan tengah hari di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Majlis tersebut yang dihadiri oleh 500 pembida itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu kempen politik suaminya, Presiden Barack Obama menjelang pilihan raya Presiden 2012.
Wanita pertama AS berkenaan dilaporkan berjaya mengumpul sebanyak AS$5 juta (RM15.1 juta) dengan hanya mempamerkan senyumannya dalam sesi bergambar bersama pembida-pembida terbabit.
Obama pula dijadual berucap di Pusat Arsht di Pantai Miami semalam, sebelum menghadiri satu majlis makan malam tertutup di lokasi sama.
Majlis makan malam di sebuah kediaman peribadi itu turut diadakan untuk mengumpul dana kempen politik Obama.
Presiden AS berusia 49 itu mengumumkan hasratnya mentadbir AS untuk penggal kedua pada Februari lalu.
Setiap tetamu dikenakan bayaran sebanyak AS$35,800 (RM108,529) untuk makan malam bersama presiden AS berkenaan. - Agensi


Facebook semakin lesu

KEBANYAKAN pengguna Facebook menutup akaun mereka kerana bimbang data dan maklumat
peribadi diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab.

BRITAIN - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.
Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.
"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.
Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.
Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.
Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.
Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. - Agensi




BLAIR...anggap Islam agama yang indah.


LAUREN..adik ipar Blair yang memeluk Islam tahun lalu.


LONDON: Walaupun pernah menolak perbincangan mengenai agama ketika mentadbir Britain, Tony Blair kini dilaporkan membaca al-Quran setiap hari sejak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

Blair juga semakin kerap membincangkan secara terbuka mengenai kepentingan agama kepada manusia.

Media melaporkan, beberapa bulan selepas meninggalkan No 10 Downing Street pada 2007, Blair mengikut fahaman Katolik dan kini rajin menelaah al-Quran.

Bekas pemimpin Parti Buruh itu berkata, hasil pembacaan al-Quran beliau dapat memastikan dirinya sentiasa celik agama.

Dalam temu bual dengan majalah Observer dan diterbitkan semalam, Blair berkata, dia percaya celik agama sangat penting dalam era globalisasi.

“Saya membaca al-Quran setiap hari, antaranya untuk memahami sesetengah perkara yang berlaku di dunia, tetapi lebih penting, ia bersifat sangat instruktif,” katanya.

Blair berkata, pengetahuan mengenai Islam membantunya melaksanakan tugas sebagai duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Russia ke Timur Tengah.

Blair diutus dalam usaha kuartet terbabit menyelesaikan konflik Israel - Palestin.

Sebelum ini, Blair pernah memuji Islam sebagai agama “indah” dan Nabi Muhammad sebagai tokoh membawa “kekuatan sangat bertamadun.”

 Pada 2006, Blair berkata, al-Quran adalah “buku perubahan yang bersifat inklusif, meletakkan sains dan pengetahuan di tempat tinggi serta membenci tahyul.” Adik ipar Blair, Lauren Booth, memeluk Islam pada September tahun lalu dan membuat pengumuman terbuka mengenainya kira-kira sebulan kemudian. - DM



Monday, June 13, 2011

Harga ikan naik angkara mogok


HARGA ikan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur semalam kekal tinggi dipercayai berpunca
 daripada tindakan 500 nelayan mogok ke laut.

KUALA LUMPUR - Jika kenaikan harga ikan sepanjang dua minggu lepas dikaitkan dengan faktor musim cuti sekolah tetapi kini, mogok pula dikatakan punca harganya tidak turun-turun.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar utama di sini semalam mendapati, rata-rata harga yang ditawarkan bagi sekilogram ikan segar tidak banyak beza berbanding sepanjang musim cuti persekolahan.
Malah, ada harga ikan tertentu seperti kembung, sardin dan pelaling didapati naik di antara RM1 hingga RM6 sekilogram.
Seorang penjual ikan Pasar Chow Kit, Maslan Md. Nin, 48, berkata, walaupun mogok tidak menyebabkan bekalan ikan terputus namun, ia akan menyebabkan harga naik jika bekalan diimport dari luar negara.
"Kami sedar kesan mogok oleh persatuan nelayan di Johor, Perlis dan Pahang punca kenaikan harga ikan tetapi kami masih boleh mendapat bekalan dari Indonesia dan Thailand.
"Bagaimanapun, kini kami sukar mendapat bekalan ikan kembung sejak tiga hari lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Friday, June 10, 2011

Sejumlah kereta jutaan dolar rosak

SEBUAH kereta Ferrari (kiri) dan Lamborghini (kanan) turut terjejas akibat banjir kilat yang melanda tempat
 letak kereta apartmen St. Regis di Singapura pada Ahad lalu.

SINGAPURA - Sejumlah kereta sport bernilai jutaan dolar seperti Ferrari rosak selepas tempat letak kereta bawah tanah di sebuah apartmen mewah di sini dilanda banjir, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Tempat letak kereta di apartmen itu, St. Regis yang bernilai AS$16.27 juta (RM49.15 juta) menempatkan sejumlah kenderaan mewah semasa banjir kilat berlaku pada Ahad lalu.
Kereta-kereta mewah seperti Ferrari yang bernilai AS$894,979 (RM2.7 juta) rosak teruk akibat ditenggelami air banjir.
Para pemilik kereta tersebut yang menginap di apartmen berkenaan gagal mengalihkan kenderaan mereka dengan segera kerana maklumat mengenai banjir itu gagal diberitahu disebabkan sistem amaran banjir gagal berfungsi.
Pemilik-pemilik kereta itu perlu membayar cukai yang amat tinggi semasa mengimport kenderaan tersebut di Singapura.
Ekoran itu, harga kenderaan mewah amat tinggi di Singapura seperti kereta Rolls-Royce Phantom yang berharga AS$1.43 juta (RM4.3 juta) iaitu AS$813,019 (RM2.45 juta) lebih tinggi daripada yang dijual di United Kingdom.
Antara kereta mewah lain yang turut rosak akibat banjir itu di tempat letak kereta berkenaan ialah Aston Martin yang berharga AS$731,755 (RM2.21 juta) dan Porsche 911 yang berharga AS$406,530 (RM1.22 juta).
Kos bagi membaiki kereta mewah itu akibat banjir kilat dianggarkan melibatkan ratusan ribu dolar jika ruang dalaman dan sistem elektrik kenderaan berkenaan rosak.
Seorang penduduk yang merupakan pekerja pelaburan, Matthew Song, 33, berkata, kereta BMW M3 miliknya juga ditenggelami banjir.
Menurutnya, dia membeli kereta itu dua bulan lalu dengan harga AS$284,012 (RM858,142).
Kereta itu dihantar untuk dibaiki dengan menggunakan sebuah trak tunda pada Rabu lalu.
Seorang penduduk di apartmen itu, John Waggot, 50, yang merupakan seorang jurutera berkata, banjir kilat melanda apartmen tersebut buat kali pertama pada pertengahan Jun lalu.
Menurutnya, banjir kilat kali kedua berlaku dua minggu selepas kejadian pertama berlaku dan yang berlaku pada Ahad lalu merupakan bencana alam yang ketiga. - Agensi