Thursday, March 31, 2011

Terselamat selepas terjatuh dari tingkat lapan

ANGELO NICOTRA dan gambar sinar-X menunjukkan tulang tangannya yang patah (kanan).

BIRMINGHAM, Britain - Seorang lelaki, Angelo Nicotra bernasib baik dapat berjalan semula setelah hampir semua tulangnya patah akibat terjatuh dari tingkat sembilan flatnya pada ketinggian 30.48 meter, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebanyak 14 tulang lelaki berusia 22 tahun itu patah, manakala beberapa lagi tulangnya retak apabila dia menghempap laluan konkrit di laman flat berkenaan.
Dia telah mengambil pil tidur dan tidak dapat mengingati insiden terjatuh dari tingkap bilik tidurnya pda Disember tahun lalu.
Doktor-doktor yang merawatnya kagum kerana dia tidak mati dalam kejadian tersebut.
Namun, Nicotra terpaksa menjalani lapan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
"Doktor-doktor cuma memberi saya peluang 20 peratus untuk hidup. Mereka terkejut saya sembuh dengan begitu cepat dan kini boleh berjalan semula," katanya di sebuah hospital di sini kelmarin.
Mengulas kejadian itu pakar ortopedik Hospital Heartlands, tempat dia dirawat, Dr. Andreas Sambatakasis berkata: "Saya belum pernah melihat seseorang terselamat selepas terjatuh dari tempat begitu tinggi,". -




Wednesday, March 30, 2011

Ritz-Carlton hotel tertinggi di dunia

HOTEL Ritz-Carlton Hong Kong menawarkan penginapan mewah kepada pengunjungnya.

HONG KONG - Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi hotel paling tinggi dan bangunan keempat tertinggi di dunia selepas dibuka kepada orang awam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.


Hotel yang berada di tingkat 102 ke-118 di Pusat Perdagangan Antarabangsa (ICC) itu mempunyai 312 buah bilik. Ia menawarkan pemandangan bandar dan pelabuhan, selain menyediakan kemudahan seperti pusat beli-belah seluas 93,000 meter persegi, enam buah restoran, spa dan kolam renang.
Menurut Presiden rangkaian hotel mewah itu, Herve Humler, Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi sebuah mercu tanda kepada kemuncak kejayaan selepas kerja keras selama bertahun-tahun.
"Kami mampu merealisasi sebuah hotel yang betul-betul hebat. Jadi kami mengalu-alukan tetamu bukan sahaja ke hotel yang tertinggi di dunia, malah hotel yang terbaik," katanya.
Selain itu, Ritz-Carlton telah meletakkan rasa mewah ke tahap yang baru dalam semua aspek. Menara hotel itu juga kelihatan jauh lebih tinggi daripada bangunan sekelilingnya. - Agensi

Malaysia 'mangsa' gempa jiran


KUALA LUMPUR – Kajian mendapati Malaysia akan turut berisiko menerima tempias gegaran dari semasa ke semasa sekiranya bencana alam yang teruk berlaku di Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina.


Walaupun negara ini tidak termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik namun fenomena itu diakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains sendiri melalui kajian yang dilakukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, jika gempa bumi melanda Sumatera, sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia akan terasa gegaran manakala Sabah dan Sarawak pula menerima kesan sama jika bencana itu berlaku di Filipina.


“Kepingan tektonik bumi dan titik gempa di negara ini dalam keadaan solid (kukuh) berbanding negara lain yang sentiasa aktif.


“Namun negara ini tidak akan terlepas merasai gegaran sama ada kuat atau sedikit akibat tempias daripada kedua-kedua negara itu dan ia bergantung kepada skala di mana titik gempa di dua negara itu sama ada cetek atau dalam,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam

Tentera generasi baru Singapura manja

SEORANG pembaca melihat gambar anggota tentera di negara itu yang mengarah pembantu rumahnya 
menggalas beg sandang kepunyaannya.

SINGAPURA - Penyebaran sekeping gambar yang menunjukkan seorang pembantu rumah mengangkat beg seorang anggota tentera di negara itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang beranggapan pasukan tentera terlalu dimanjakan, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar yang disiarkan oleh media Singapura dan laman-laman maya pada minggu ini menunjukkan seorang anggota tentera lelaki Singapura berpakaian seragam lengkap dan memakai but berjalan di depan tidak jauh dari pembantu rumah wanitanya.
Sementara pembantu rumah itu yang mengikut di belakang dilihat menggalas beg tersebut di bahu kirinya.
Tindakan tentera itu menerima banyak komen negatif terutama kredibiliti generasi baru Angkatan Tentera Singapura (SAF).
Mereka disifatkan sebagai lembik oleh warga Singapura dan negara lain menerusi laman Twitter dan pelbagai forum di Internet.
"Ini cuma satu insiden. Kesimpulan umum yang dapat saya buat adalah tentera itu secara luarannya nampak sedikit lembut dan dimanjakan," kata penganalisis ketenteraan di Singapura, Bernard Loo dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam.
Kementerian Pertahanan difahamkan sedang menyiasat insiden tersebut. Selain ingin mengesahkan semula keaslian gambar yang mencetus pertikaian umum sejak beberapa hari lalu.
Terdapat kajian yang menunjukkan 22 daripada 23 anggota tentera mendapatkan khidmat pembantu rumah untuk membasuh dan menggosok pakaian seragam masing-masing. Sementara 17 daripada jumlah sama mendapatkan pertolongan pembantu bagi membersihkan bilik. - AFP