Friday, December 30, 2011

40 buah kenderaan berlanggar

SEJUMLAH kenderaan yang terlibat dalam nahas di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans kelmarin.
 
 NEW ORLEANS, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.

Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.

Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.

"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.

Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.

Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.

Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.

Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.

Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.

"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV. - Agensi

Thursday, December 29, 2011

Video pemuda Malaysia sentuh perasaan selebriti AS

TIMOTHY TIAH (kanan) dan Audrey Ooi. 


KUALA LUMPUR, Malaysia - Satu klip video yang menunjukkan seorang rakyat Malaysia, Timothy Tiah melamar teman wanitanya telah memenangi hati ramai selebriti Amerika Syarikat (AS) termasuk hos rancangan pertandingan nyanyian American Idol, Ryan Seacrest dan penyanyi Christina Perri.

Seacrest memuji klip video berkenaan sebagai menyentuh perasaan manakala Perri, 27, yang popular dengan lagu Jar of Hearts mengaku ia membuatkan dia menangis.

"Saya menangis dan tersenyum pada masa yang sama!" kata Perri dalam komen di akaun Twitter miliknya.

Perri menyatakan bahawa dia menganggap lagunya, A Thousand Years yang digunakan dalam klip video berkenaan sebagai satu penghormatan buat dirinya.

Pujian dua selebriti itu membantu klip video berkenaan ditonton hampir empat juta kali dalam tempoh seminggu klip video itu dimuatkan di laman sosial termasuk YouTube sekali gus menjadikan Tiah dan kini tunangnya, Audrey Ooi, 26, sebagai contoh kepada pasangan kekasih di seluruh dunia.

Memiliki kerjaya sebagai usahawan Internet, Tiah yang berusia 27 tahun berkata, dia sebelum ini tidak berminat untuk berkahwin selepas banyak mendengar kisah keruntuhan rumah tangga rakan-rakannya.

"Namun, saya menyedari tiada gadis lain yang menawan hati saya seperti yang dilakukan Ooi. Tidak ada gadis lain yang saya pernah terfikir dalam pertimbangan untuk dikahwini," kata Tiah kelmarin.

Klip video berkenaan memainkan lagu balad popular Perri, A Thousand Years dan dirakam oleh sebuah syarikat pengurusan perkahwinan.

Video itu menunjukkan Tiah membuat kejutan semasa Ooi makan malam bersama dengan rakan-rakan di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Ia menunjukkan Tiah dengan gementar berjalan memasuki pintu berkaca restoran itu dam melambaikan tangan untuk mendapatkan perhatian Ooi di restoran.

Ooi kelihatan bingung semasa Tiah yang tersenyum memegang beberapa poster yang mengandungi mesej dan kini menjadi popular di online.

Salah satu poster itu menyatakan: "Jika anda sukakannya, kenapa anda tidak menyarungkan sebentuk cincin."

Sebelum poster itu ditunjukkan, Tiah menunjukkan Ooi sekeping gambar watak animasi Puss in Boots dengan mata seperti merayu dengan ayat: "Sudikah anda berkahwin dengan saya."

Klip video lima minit itu berakhir dengan Tiah melutut dan menawarkan Ooi sebentuk cincin dan bunga.

Ooi sebak dan menawarkan lamaran itu.

Mereka berkenalan selama tiga tahun selepas bertemu pada majlis ulang tahun kelahiran Ooi.

Pemilik-pemilik laman blog mula menyiarkan klip video berkenaan selepas Seacrest menghebahkannya di Facebook dan Twitter pada 23 Disember lalu. - Agensi

Wednesday, December 28, 2011

Tidak tahan diganggu hantu Kak Limah


 MARANG – Berambut panjang dan kadangkala menutup kepala dengan kain batik, rupanya persis watak hantu Kak Limah dalam filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mencetus fenomena dalam dunia perfileman negara.

Kak Limah muncul di Marang. Itulah yang diperkatakan sebuah keluarga di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan, apabila lima sekeluarga tertekan dan ketakutan akibat diganggu lembaga wanita tua berambut panjang itu sejak lebih seminggu lalu.

Wanita misteri itu dikatakan sering menjelma dan dilihat merayau-rayau sekitar kawasan rumah di situ. Malah, kelibat menyeramkan itu dapat dirakam secara kebetulan oleh salah seorang ahli keluarga terbabit.

Ketua keluarga, Mazlan Ali, 55, mendakwa, lembaga itu berpakaian batik lusuh dengan rambut mencecah paras pinggang, sering merayau sekitar rumah anaknya dari waktu malam hingga ke subuh, sebelum menghilangkan diri.


Hantu Kak Limah minta tolong

Menurutnya, kesemua lima keluarga yang tinggal di kawasan itu adalah anaknya dan tinggal secara berasingan di rumah masing-masing kerana sudah berumah tangga.

“Ada antara mereka juga pernah melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berdiri berdekatan paip air dan sekitar rumah sebelum menghilangkan diri.

“Boleh dikatakan setiap hari pasti ada anak saya yang melihat kelibat wanita itu. Bukan itu saja, malah semalam, (kelmarin) saya sendiri terdengar lembaga itu menjerit meminta tolong,” katanya.

Dua bulan sebelum ini, katanya, kejadian menyeramkan itu tidak pernah dialami ahli keluarganya. Kemunculan lembaga wanita berambut panjang itu dikatakan bermula selepas dia membawa balik beberapa keping papan serta tiang rumah ke rumahnya.

Menurutnya, kepingan papan dan tiang rumah itu diperoleh dari rumah pusaka ayahnya di Jerangau, Dungun, untuk dijadikan dinding rumah anaknya, Mohd Syawal, 22.


Diganggu selepas bawa balik papan

“Saya membawa pulang beberapa papan dan tiang itu ke rumah ini pada November lalu dan sejak itu gangguan lembaga misteri itu, bermula dan kami kerap diganggu dan kini kami sudah tidak tahan lagi dengan gangguan ini dan perlukan bantuan,” katanya.

Menguatkan lagi dakwaan itu, Mohd Syawal turut me-nunjukkan imej lembaga misteri wanita tua seperti bertongkat yang dirakam secara tidak sengaja oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, kata Mohd Syawal, dia sendiri belum pernah melihat kelibat wanita misteri itu tetapi sering diganggu bunyi yang pelik dan menakutkan sehingga menyebabkan dua anaknya tidak dapat tidur serta asyik menangis.

“Bunyi seperti orang mencakar dinding kerap kedengaran di luar rumahnya pada sebelah malam, apabila saya turun tiada sesiapa di bawah. Kami buntu memikirkan cara untuk mengatasi gangguan ini,” katanya.
Imam nasihat buat solat Hajat

Sementara itu, Sinar Harian turut menemui beberapa penduduk berdekatan kawasan itu namun rata-rata memberitahu kelibat wanita misteri itu tidak pernah menggangu mereka.

Manakala, imam Mohamad Razak, 57, menasihatkan agar keluarga itu mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun bagi mengelak diganggu selain mengadakan solat Hajat bersama penduduk setempat.

Berikutan itu, kesemua keluarga terbabit berharap ada pihak yang dapat membantu mereka menangkap atau mengusir lembaga menyerupai wanita itu kerana mereka tidak tahu cara menangani gangguan tersebut.

Orang minyak mengganas


GOMBAK – Gara-gara trauma akibat diganggu orang minyak, sebuah keluarga di Kampung Laksamana dekat sini terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu bermula Sabtu lalu.

Mangsa, Kamal Bahari Satar, 36, berkata, keputusan itu diambil selepas keluarga diganggu orang minyak selama lima hari berturut-turut.

“Adik ipar yang datang ke sini tidak tahan selepas diganggu oleh orang minyak yang muncul beberapa kali di dalam dan luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Anehnya kemunculan orang minyak itu hanya boleh dilihat oleh ahli keluarga perempuan sahaja.

Menurutnya, kejadian kemuncak berlaku awal pagi Sabtu lalu apabila orang minyak tersebut bertindak mengunci pintu rumah dari dalam sewaktu ahli keluarganya berada di dalam rumah.

“Apa yang pasti, lembaga itu yang bersembunyi di bawah meja makan dicucuk dengan buluh runcing oleh orang kampung dan terdapat kesan darah pada buluh tersebut. Makhluk itu kemudiannya masuk ke rumah sebelah dan kelibatnya disaksikan oleh isteri jiran saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui kesan tapak tangan berminyak di tembok dan tapak kaki sewaktu kelibat itu muncul di luar rumah dan kesan ini ditemui oleh anggota polis sewaktu melakukan pemeriksaan.

Kamal Bahari berkata, adik iparnya yang dicalit minyak hitam oleh makhluk itu juga terpaksa dibawa menjalani rawatan alternatif selepas terdengar bunyi bisikan memanggilnya keluar dari rumah selepas itu.

“Syukur adik ipar saya kini sudah sembuh sepenuhnya daripada gangguan tersebut, namun keluarga masih trauma dengan keadaan itu terutama adik perempuan saya yang berumur 22 tahun,” katanya.
 

1,055 buah kereta Honda dimusnahkan

SEJUMLAH kereta Honda yang rosak akibat banjir menunggu untuk dimusnahkan di sebuah loji kereta syarikat tersebut di wilayah Ayutthaya, tengah Thailand semalam. 
 
 

BANGKOK - Pembuat kereta No.1 Jepun, Honda mula memusnahkan sebanyak 1,055 buah kereta buatannya di Thailand semalam.

Tindakan itu dilakukan bagi meyakinkan para pelanggan bahawa tiada kenderaan yang rosak akibat banjir di negara berkenaan dijual kepada mereka.

Honda dalam satu kenyataan memberitahu, proses memusnahkan semua kenderaan di kilang Honda di tengah wilayah Ayutthaya itu dijangka mengambil masa selama sebulan.

Kilang Honda terletak di Taman Industri Rojanam yang merupakan kawasan yang ditenggelami air pada awal Oktober lalu.

Bencana berkenaan menyebabkan pengeluaran kilang tersebut terpaksa dihentikan manakala gambar-gambar dari udara menunjukkan ratusan buah kereta Honda digenangi air berselut.

"Walaupun kami dapat memindahkan banyak kereta baharu ke kawasan selamat, sejumlah kereta yang ada di kilang ini rosak akibat banjir," kata Timbalan Presiden Eksekutif Honda Automobile Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

"Kami tidak menjual kereta yang rosak ini kepada pelanggan, menjual atau mengguna semula sebarang bahagian kenderaan tersebut," tambahnya.

Kebanyakan kereta yang akan dimusnahkan merupakan model kereta sedan saiz pertengahan seperti Honda City, Honda Brio dan Honda Jazz.

Lebih 700 orang terkorban dalam banjir yang menjejaskan 65 daripada 77 wilayah yang terletak di kawasan rendah di Thailand sejak beberapa bulan lalu.

Banjir tersebut turut menyebabkan tujuh taman industri utama terpaksa ditutup sekali gus mengganggu rangkaian bekalan global. - AFP