Friday, April 29, 2011

Penyelam temui harta karun jutaan dolar

SEBAHAGIAN duit syiling dan harta karun yang ditemui oleh 
kumpulan penyelam Deep Blue Marine.

SANTO DOMINGO - Kira-kira 700 duit syiling perak, batu cermin dan barang kemas penduduk Mayan pada era tahun 1500-an ditemui di dasar laut di luar pantai Republik Dominica, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia ditemui oleh satu pasukan dari kumpulan pencari harta karun, Deep Blue Marine selepas mereka melakukan tinjauan 67.59 kilometer dari pantai dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.
Semasa membuat tinjauan itu, seorang nelayan tempatan menjual kepada mereka satu syiling lama yang ditemuinya semasa menyelam.
Anggota-anggota pasukan pencari harta karun itu mendapati ia merupakan antara duit syiling yang paling lama pernah ditemui.
"Kami bercakap kepada lelaki itu jika dia menunjukkan lokasi duit syiling tersebut ditemui, anda boleh bekerja dengan saya," kata Naib Presiden Deep Blue Marin, Randy Champion.
Kebanyakan duit syiling itu tidak mempunyai tarikh menyebabkan anggota-anggota kumpulan tersebut membuat rujukan dengan mencari maklumat menerusi sejumlah buku untuk mengetahui tahun duit berkenaan.
Menurut Champion, pasukan itu menyelam pada musim luruh yang lalu dan akan pergi ke lokasi tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.
Bangkai kapal itu kini dipenuhi pasir dan terumbu karang. - Agensi




Thursday, April 28, 2011

Tiga juta pemain video Sony digesa batal kad kredit

GAMBAR fail menunjukkan permainan video 
PlayStation di Hanover, Jerman pada 15 Mac 2007.


LONDON - Sejumlah tiga juta pemain permainan video yang menjadi mangsa penggodam melibatkan rangkaian permainan Sony PlayStation di Britain digesa agar membatalkan kad kredit mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Nasihat itu diberikan selepas Sony berdepan kemarahan 77 juta pengguna Sony PlayStation di seluruh dunia yang kini berisiko menjadi mangsa kumpulan penipu yang mencuri nama, maklumat, data bank serta kata laluan mereka.
"Ia merupakan antara kes menggodam data yang terbesar pernah direkodkan. Jika kad kredit saya hilang semasa saya menaiki teksi, saya akan membatalkannya. Namun, ia lebih teruk jika Sony menghilangkan maklumat kredit kad anda," kata seorang pakar keselamatan komputer, Graham Cluley.
"Pencerobohan internet ini bukan sahaja menjatuhkan imej Sony tetapi turut mendatangkan bahaya kepada para penggunanya," tambah pakar berkenaan.
Para pemain berang kerana Sony hanya mendedahkan perkara itu pada Selasa lepas iaitu seminggu selepas akses dalam talian melibatkan Rangkaian PlayStation digantung.
"Anda (Sony) menunggu hingga seminggu untuk memberitahu kami bahawa data peribadi kami telah digodam," kata seorang pengguna Rangkaian PlayStation.
Mengulas mengenai ketidakpuasan hati pengguna, Sony bagaimanapun menyatakan, ia lambat mendedahkan perkara tersebut kerana pada awalnya tidak menyedari bahawa pencerobohan maklumat itu berlaku pada skala besar.
Dalam perkembangan terkini, Sony memberitahu, ia telah menukarkan maklumat peribadi yang dicuri penggodam ke dalam bentuk kod rahsia sekali gus mengurangkan risiko maklumat tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.
Ia turut menyatakan bahawa tidak ada bukti bahawa data maklumat kad kredit tersebut sudah dicuri.
Menurut Sony, data kad kredit itu telah diasingkan daripada maklumat yang terdapat dalam kad berkenaan.


Wednesday, April 27, 2011

Berpelukan elak dihanyutkan ombak gergasi

DUA orang gadis memeluk erat sebatang tiang lampu (dalam bulatan) ketika 
ombak gergasi melanda sebuah jeti di Castlerock, Ireland Utara.

CASTLEROCK, Ireland Utara - Seorang jurugambar, Tam Mullen berjaya merakamkan sekeping gambar yang menunjukkan dua orang gadis memeluk erat sebatang tiang lampu bagi mengelak daripada dihanyutkan ombak besar yang muncul secara tiba-tiba dari laut di sebuah jeti di sini pada Isnin lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Mullen yang kebetulan berada berhampiran kawasan jeti itu sempat merakamkan aksi dua gadis yang ketakutan dan berpeluk di sebatang tiang lampu ketika ombak besar menghampiri mereka.
Dua gadis itu bernasib baik kerana mereka tidak dihanyutkan ke laut.
Mereka kemudian dilihat bergegas meninggalkan jeti tersebut dalam keadaan gembira kerana terselamat. - Agensi


Pengguna Playstation terkejut, kecewa

GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki bermain permainan
 Sony PlayStation 3 di Tokyo, Jepun pada 9 November 2006.

TOKYO – Syarikat Sony Corp memberi amaran bahawa penggodam mencuri nama, alamat dan kemungkinan kad kredit daripada 77 juta pengguna akaun rangkaian permainan video dalam talian Playstation.
Pendedahan itu merupakan salah satu daripada pencerobohan maklumat keselamatan di internet yang paling besar pernah berlaku.
Syarikat gergasi elektronik dari Jepun itu tidak memberitahu mengenai kecurian maklumat tersebut sehingga kelmarin, beberapa jam selepas ia mempamerkan komputer tablet pertama keluarannya.
Tindakan Sony menangguhkan pengumuman mengenai penggodaman itu mencetuskan kemarahan pengguna-pengguna gajet tersebut, hampir 90 peratus daripadanya di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Perasaan marah dalam kalangan pengguna permainan itu diluahkan di laman forum PS3news.com.
“Jangan membeli apa-apa pun yang berkaitan dengan Sony.
“Saya perlu menukar semua akaun manakala kad kredit dikeluarkan semula untuk melindungi diri saya daripada kegagalan Sony,” kata seorang anggota forum tersebut, Jarvis.
Para pembeli-belah di London menyatakan mereka akan keluar dari rangkaian Playstation yang membolehkan mereka bermain permainan bersama 77 juta pengguna.
Salah seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Albert berkata, dia terpaksa menimbang semula sama ada untuk menggunakan permainan tersebut. – Agensi


Monday, April 25, 2011

Serangan siber terus meningkat

PENGGUNA dan perniagaan di Malaysia harus mengambil langkah proaktif dalam
melindungi maklumat dan data mereka di dunia siber. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Laporan Ancaman Keselamatan Internet Jilid 16 Symantec Corp. (Symantec) bagi tahun lalu menunjukkan ancaman baharu besar-besaran berjumlah lebih 286 juta di seluruh dunia.
Ini termasuk kes kecurian harta intelek, memancing data dan serangan malware beserta dengan beberapa perubahan besar-besaran dalam landskap ancaman siber.
Naib Presiden Symantec bagi Rantau Asia Selatan, Eric Hoh berkata, bilangan ini akan terus meningkat.
"Ini akan mendorong penjenayah siber memperhalusi teknik serangan mereka untuk mencuri data-data dan harta intelek berharga, yang boleh mereka jual pada harga lumayan dalam ekonomi gelap," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan hasil laporan itu di sini semalam.
Tahun lalu, terdapat beberapa bentuk serangan yang menyasarkan syarikat dagangan awam, badan-badan korporat multinasional dan agensi kerajaan, di samping beberapa syarikat kecil.
Laporan itu juga menarik perhatian kepada pertumbuhan berterusan laman rangkaian sosial sebagai platform tebaran serangan.
"Kebanyakannya menyerang individu bagi mendapatkan maklumat peribadi mereka, manakala serangan sasaran berprofil tinggi, cuba untuk mencuri harta intelek atau menyebabkan kerosakan fizikal.
"Satu daripada teknik serangan utama yang digunakan di laman-laman rangkaian sosial melibatkan penggunaan pelokasi sumber seragam (URL)," katanya.
Tahun lalu ujarnya, penyerang memuatkan berjuta-juta pautan URL ini di laman rangkaian sosial untuk memperdaya mangsa agar terjebak dengan serangan memancing data dan malware ini, sekali gus meningkatkan kadar jangkitan.
"Pengguna dan perniagaan di Malaysia perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi dan menguruskan maklumat mereka daripada risiko keselamatan yang amat banyak ekoran percambahan peranti mudah alih dan perangkaian sosial," tegas Hoh. - Bernama

Serangan siber terus meningkat

PENGGUNA dan perniagaan di Malaysia harus mengambil langkah proaktif dalam
melindungi maklumat dan data mereka di dunia siber. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Laporan Ancaman Keselamatan Internet Jilid 16 Symantec Corp. (Symantec) bagi tahun lalu menunjukkan ancaman baharu besar-besaran berjumlah lebih 286 juta di seluruh dunia.
Ini termasuk kes kecurian harta intelek, memancing data dan serangan malware beserta dengan beberapa perubahan besar-besaran dalam landskap ancaman siber.
Naib Presiden Symantec bagi Rantau Asia Selatan, Eric Hoh berkata, bilangan ini akan terus meningkat.
"Ini akan mendorong penjenayah siber memperhalusi teknik serangan mereka untuk mencuri data-data dan harta intelek berharga, yang boleh mereka jual pada harga lumayan dalam ekonomi gelap," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan hasil laporan itu di sini semalam.
Tahun lalu, terdapat beberapa bentuk serangan yang menyasarkan syarikat dagangan awam, badan-badan korporat multinasional dan agensi kerajaan, di samping beberapa syarikat kecil.
Laporan itu juga menarik perhatian kepada pertumbuhan berterusan laman rangkaian sosial sebagai platform tebaran serangan.
"Kebanyakannya menyerang individu bagi mendapatkan maklumat peribadi mereka, manakala serangan sasaran berprofil tinggi, cuba untuk mencuri harta intelek atau menyebabkan kerosakan fizikal.
"Satu daripada teknik serangan utama yang digunakan di laman-laman rangkaian sosial melibatkan penggunaan pelokasi sumber seragam (URL)," katanya.
Tahun lalu ujarnya, penyerang memuatkan berjuta-juta pautan URL ini di laman rangkaian sosial untuk memperdaya mangsa agar terjebak dengan serangan memancing data dan malware ini, sekali gus meningkatkan kadar jangkitan.
"Pengguna dan perniagaan di Malaysia perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi dan menguruskan maklumat mereka daripada risiko keselamatan yang amat banyak ekoran percambahan peranti mudah alih dan perangkaian sosial," tegas Hoh. - Bernama

15 jenis makanan larangan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyenaraikan 15 jenis makanan dan minuman yang dilarang untuk dijual di kantin sekolah bagi menjamin kesihatan murid selain mengelakkan berlakunya masalah obesiti di kalangan mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara makanan termasuk dalam kategori itu adalah mee segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan ringan yang berperisa dan mempunyai pewarna tiruan serta makanan yang diproses seperti daging burger, sosej dan nuget.



“Pada Mei nanti, kita akan berkongsi garis panduan ini dengan orang ramai dan mengedarkan kepada pengusaha kantin selepas mendapat pengesahan kerana ia masih di peringkat cadangan oleh kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama Persatuan Pegawai Sains Kementerian Kesihatan (Asomh).


Bagaimanapun, kementeri katanya tidak menafikan selepas mengeluarkan larangan jualan makanan ini, kemungkinan pengusaha kantin akan membantah, tetapi apa yang perlu diberi penekanan adalah kesihatan kanak-kanak berbanding keuntungan yang dikaut.



Beliau berkata, senarai yang dilarang itu hanya tertumpu kepada jualan di kantin sekolah dan tidak meliputi jualan oleh penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah.




Namun katanya, garis panduan kepada penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah juga akan dicadangkan dalam masa terdekat.


Menurut Rosnah, jenis minuman yang dilarang pula adalah minuman yang mengandungi alkohol, teh dan kopi, minuman berkarbonat, minuman yang mempunyai bahan pewarna serta minuman berperisa kecuali susu berperisa.



“Walaupun isu nasi lemak hangat diperkatakan, namun di dalam garis panduan yang bakal dilancarkan bulan depan, nasi lemak termasuk dalam 60 menu makanan yang boleh diambil, namun perlu disediakan dengan cara yang lebih sihat seperti mengurangkan santan dalam nasi dan minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan bilis,” katanya.



Lima lagi yang dilarang adalah makanan ringan yang berupa mainan, semua makanan yang disertakan dengan permainan, makanan jeruk, makanan dan minuman yang melepasi tarikh luput serta semua jenis makanan dan minuman yang melanggar Peraturan Makanan 1985.



Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Rosnah turut menyatakan untuk menuju ke arah menjayakan inovasi baru dan melahirkan paten yang canggih berkaitan perubatan dan kesihatan, insentif sebanyak RM15,500 akan diberikan kepada penyelidik sains yang berjaya menghasilkan paten dan akan dibayar royalti sebanyak 80 peratus.-metro




Perut bengkak cuba pelangsing

KECEWA...mangsa penipuan ubat kecantikan menunjukkan kesan parut di perut.

KUALA LUMPUR: Akibat termakan pujuk rayu seorang kenalan untuk meraih keuntungan dengan menjadi ejen produk pelangsingan badan, seorang lelaki yang yang mencuba produk itu terlebih dulu untuk melihat keberkesanannya menerima padah apabila terpaksa menanggung kesakitan lebih enam bulan

Tindakannya mencuba dulu cecair produk pelangsingan badan itu menyebabkan dia mengalami bengkak di perut dan menyakitkan setiap kali bergerak.

Lebih teruk lagi, bahagian yang bengkak itu mengeluarkan nanah serta cecair berbau busuk.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Chen, 30-an, berkata pada mulanya dia enggan menjadi ejen produk terbabit kerana kurang percaya akan memberi pulangan lumayan tetapi selepas dipujuk berkali-kali, dia mengambil keputusan mencuba produk bakal dijualnya itu bagi melihat kesannya-metro



Sunday, April 24, 2011

Ibu bapa punca anak obes

TABIAT pemakanan yang sihat serta aktiviti di luar rumah boleh mengelakkan 
gejala obesiti khususnya di kalangan kanak-kanak. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sikap ibu bapa yang memandang remeh amalan pemakanan sihat seperti membiarkan anak-anak kerap menikmati sajian makanan segera yang banyak kalori didakwa punca utama masalah obesiti pelajar di negara ini.
Pakar Perunding Makanan Persatuan Pakar Diet Makanan Malaysia, Indra Balaratnam berkata, amalan pemakanan yang sihat bermula daripada sesi sarapan di rumah tetapi hakikatnya ia jarang diberi perhatian.
"Disebabkan sibuk dengan kerja, ibu bapa terlepas pandang aspek pemakanan sihat dan menyebabkan anak-anak terdorong menikmati makanan segera dan tidak berkhasiat yang mempunyai tahap kolesterol dan kalori tinggi," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Kosmo! Ahad semalam mengenai punca utama obesiti di kalangan murid bukan semata-mata kerana nasi lemak.
Indra mengingatkan bahawa sikap ibu bapa tidak memandang berat amalan pemakanan yang sihat itu akan memberi kesan buruk kepada proses pembesaran anak-anak mereka kelak.
"Lebih memburukkan, ibu bapa sendiri tidak mengamalkan tabiat pemakanan seimbang di rumah dan ini mempengaruhi anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa sepatutnya prihatin mengenai pemakanan kanak-kanak sama seperti mereka mengambil berat terhadap pencapaian akademik.


Saturday, April 23, 2011

Tipu hamil kerana projek sekolah

GABY RODRIGUEZ membuang bantal pada perutnya selepas 
berpura-pura hamil selama enam bulan.



YAKIMA, Washington - Setelah mengharungi kehidupan sebagai pelajar sebuah sekolah tinggi dengan kandungan yang semakin membesar, Gaby Rodriguez akhirnya membuat pengakuan mengejutkan - dia sebenarnya tidak pernah hamil.
Rodriguez, 17, membuat pendedahan itu minggu ini semasa menghadiri perhimpunan pagi Sekolah Tinggi Toppenish di sini selepas guru dan rakan sekolahnya menyangka dia telah enam bulan mengandungkan anak luar nikah.
Pelajar berkenaan yang mendapat semua A dalam mata pelajarannya sebaliknya memberitahu, dia berpura-pura hamil untuk menyiapkan projek tahun akhirnya yang bertajuk:Stereotaip, Khabar Angin dan Statistik.
Sebagai bukti dia berkata benar, Rodriguez mengeluarkan bantal yang diikat dengan menggunakan wayar pada perutnya di hadapan para pelajar lain.
Seterusnya, dia memberitahu, kajian sosial itu dirahsiakan dan hanya diketahui oleh seorang rakannya, ibunya, teman lelakinya dan pengetua sekolah berkenaan serta segelintir yang lain.
"Saya mahu membuang bantal ini dan tidak mahu lagi meneruskannya," katanya kepada akhbarYakima Herald-Republic selepas mendedahkan berita tersebut.
Selepas Rodriguez membuang 'perut palsunya', ramai antara 700 pelajar sekolah itu, pada mulanya terkejut, namun mereka lantas bangun memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
Mengulas mengenai tindakan pelajarnya itu, pengetua sekolah berkenaan, Trevor Green berkata, Rodriguez patut dipuji kerana komitmennya meneruskan projek tersebut.
"Dia mengorbankan tahun akhirnya semata-mata untuk mengetahui bagaimana perasaannya menjadi seorang ibu pada usia remaja. Saya mengagumi keberaniannya," kata pengetua tersebut.
Kisah pelajar berkenaan mendapat liputan meluas di AS dengan Rodriguez diundang ke rancangan bicara pagi popular, Today kelmarin untuk menceritakan pengalamannya. 


Nasi lemak bukan punca obesiti

KEGAGALAN ibu bapa mendidik anak-anak mengenai pengambilan makanan yang betul 
menjadi punca anak-anak mereka mengalami obesiti. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Nasi lemak bukan punca utama masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah kerana ia juga boleh berlaku menerusi pengambilan makanan harian lain yang berkalori tinggi secara tidak terkawal, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr. Tee E Siong .
"Kita tidak boleh menyalahkan nasi lemak sahaja sebagai punca utama (obesiti), sebenarnya banyak masalah atau faktor lain yang menyebabkan masalah ini berlaku.
"Salah satu faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah mengambil makanan yang banyak kalori setiap hari.
"Seperti yang kita tahu, setiap makanan mempunyai kalori. Jadi kita perlu bijak mengawal makanan harian yang diambil," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) 2011 bertemakan Kanak-Kanak Sihat, Negara Lebih Sihat - Mulakan Awal di sini semalam.

Thursday, April 21, 2011

Hanya mulut dara dibenar petik daun teh

SEORANG gadis yang masih dara memetik daun teh China dengan
 menggunakan mulutnya di Ladang Jiuhua, Gushi, baru-baru ini.

GUSHI - Sebuah ladang teh di China hanya akan mengupah perawan untuk mengutip daun teh di ladang mereka kerana mahu mengekalkan kualiti daun itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Gadis-gadis itu juga tidak dibenarkan mengutip daun teh dengan tangan tetapi perlu menggunakan mulut mereka untuk melakukan tugas tersebut.
Daun teh yang sudah dipetik itu perlu dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang diikat di leher mereka.
Dalam satu iklan untuk mencari pemungut teh sepenuh masa, pihak pengurusan Ladang Jiuhua yang terletak di sini, wilayah Henan menyatakan, pemohon mesti seorang perawan dengan saiz payu dara yang agak besar.
"Mereka perlu membersihkan diri setiap kali sebelum mula bekerja dan melakukan senaman khas untuk menguatkan leher dan bibir," kata jurucakap ladang berkenaan, Li Yong.
Menurutnya, ladang itu menawarkan gaji £50 (RM249) sehari yang dianggap lumayan di China kepada gadis-gadis terbabit.
Legenda tempatan menyatakan, daun teh itu dipungut oleh pari-pari dengan menggunakan mulutnya dan minuman herba tersebut didakwa dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.-metro


Wednesday, April 20, 2011

Wanita guna tangan kanan milik penderma organ

EMILY FENNEL sebelum dia menerima tangan kanan milik penderma organ.


LOS ANGELES - Seorang wanita, Emily Fennel buat kali pertama kelmarin menunjukkan tangan kanan milik orang lain yang disambung menerusi satu pembedahan pemindahan transplan.
Sebelum ini, tangan kanannya kudung selepas dia terlibat dalam satu kemalangan kereta pada 2006.

Pada 5 Mac lalu, satu pasukan terdiri daripada 20 doktor, jururawat dan kakitangan sokongan melakukan pembedahan selama 14 jam 30 minit di Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA di sini bagi menyambung tangan tersebut.
"Saya berasa seperti ia tangan saya sendiri," katanya yang berusia 26 tahun.
Pembedahan itu diketuai Dr. Kodi Azari.
Fennell berharap dia akan kembali ke bandar Yuba pada bulan depan untuk bersama dengan seorang anak perempuannya yang berusia enam tahun dan meneruskan pemulihan di rumahnya.-kosmo


Replika cincin tunang Putera William laris

CINCIN sebenar Kate Middleton.

LONDON - Replika cincin pertunangan Kate Middleton yang akan berkahwin dengan pewaris kedua takhta Britain, Putera William mendapat permintaan tinggi dengan dijual pada harga £6 (RM29.67), lapor sebuah akhbar semalam.
Harga sebenar cincin pertunangan batu nilam 18 karat dan berlian itu kini bernilai £250,000 (RM1.23 juta) berbanding harga asalnya £28,000 (RM138,462) pada 1983 semasa bapa William, Putera Charles memberikan ia kepada bakal isterinya, Puteri Diana yang juga ibu William.
Replika cincin itu dikeluarkan oleh syarikat Debenhams ekoran permintaan tinggi daripada pelanggan dan ia menyatakan tidak mampu menghasilkan stok untuk simpanan peniaga dalam tempoh yang singkat.
William dan Middleton akan akan berkahwin pada 29 April ini.- kosmo


Tuesday, April 19, 2011

Mangkuk tandas dilengkapi sistem bunyi

MANGKUK tandas yang dilengkapi dengan sistem bunyi dijual pada harga RM19,316.


NEW YORK - Sebuah mangkuk tandas yang dilengkapi sistem bunyi dan skrin sesentuh akan dijual pada harga AS$6,390 (RM19,316), lapor sebuah akhbar semalam.
Tandas itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS), Kohler yang diberi nama Numi.
Naib Presiden Pemasaran Kohler, Jim Lewis berkata: "Ia merupakan satu produk penciptaan yang tulen. Kami membayangkan sebuah tandas yang mewujudkan satu kategori dalam kualiti yang tersendiri."
Skrin sesentuh itu bertindak sebagai alat kawalan jauh dan mengawal ketinggian bunyi muzik dan dilengkapi alat pemain muzik MP3 serta pembunuh kuman.
Ia turut membolehkan pengguna mengawal suhu di bahagian tempat duduk mangkuk tersebut selain tekanan air dan mengandungi kemudahan memanaskan kaki.- kosmo


Penjaja jual rokok di luar sekolah

BEBERAPA orang pelajar membeli makanan ringan yang dijual oleh
 seorang penjaja di tepi pagar sebuah sekolah di Jalan Mariam, Muar semalam




MUAR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta berbuat sesuatu terhadap penjaja-penjaja yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah di Jalan Ibrahim di sini yang didapati turut menjual rokok kepada pelajar.
Walaupun dijual secara tersembunyi, kegiatan tersebut difahamkan telah lama berlaku dan pihak sekolah tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan penjaja tersebut beroperasi di luar kawasan sekolah.
Menurut seorang bapa pelajar sekolah berkenaan yang enggan dikenali, beliau berharap PBT dapat menguatkuasakan larangan kepada penjaja di kawasan berhampiran sekolah tersebut.
"Saya memang terkejut apabila melihat beberapa penjaja di luar kawasan sekolah itu menjual rokok kepada pelajar dan saya harap, pihak terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya nampak beberapa pelajar membeli rokok daripada penjaja-penjaja ini dan terus menghisap tanpa ada rasa bersalah selepas waktu persekolahan," katanya..- kosmo

Pencuri terdesak gali kubur



kubur mendiang Ah Chow di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua,
 Kajang yang digali pencuri semalam.

KAJANG – Bagaikan sudah terdesak, ada penjenayah sanggup masuk ke tanah perkuburan dan menggali kubur untuk mencuri barang-barang berharga yang ditanam bersama si mati.
Kejadian tersebut berlaku di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua di sini apabila sebuah kubur di situ menjadi sasaran penjenayah.
Jurucakap polis berkata, kejadian itu disedari penjaga tanah perkuburan itu pada pukul 8 pagi semalam apabila dia yang baru sampai ke situ untuk melakukan kerja-kerja rutinnya ternampak sebuah kubur di situ telah digali.
“Keranda Liew Ah Chow, 64, yang dikebumi pada 8 April lalu diselongkar tetapi mayat si mati tidak diusik,” kata beliau.
Menurut beliau, penjaga kubur itu kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada ahli keluarga si mati.
“Keluarga si mati yang memeriksa keranda itu mendapati semua barang berharga yang dimasukkan dalam keranda itu lesap.
“Antara barang-barang yang hilang seperti telefon bimbit, jam tangan, dua bentuk cincin dan wang tunai kira-kira RM101,” kata beliau.





Gadis Turki Islam pertama berbogel untuk Playboy

KULIT depan majalah Palyboy yang menunjukkan Sila Sahin berbogel.

BERLIN - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.
Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.
Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.
"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.
"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.
Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.
"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.
Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.
Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.
Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.
Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.
Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.
Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.
"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.
"Tolonglah terima saya semula," tambahnya.- kosmo


Monday, April 18, 2011

Kaji semula hadkan nasi lemak

PERATURAN mengehadkan jualan nasi lemak di kantin sekolah dikatakan 
tidak akan membantu menyelesaikan masalah obesiti di kalangan pelajar

KUALA LUMPUR - Beberapa pertubuhan meminta kerajaan mengkaji semula arahan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah kerana langkah itu kurang sesuai dan tidak menyelesaikan masalah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, sekatan penjualan nasi lemak kepada sekali seminggu tidak akan menangani isu obesiti di kalangan pelajar jika kesedaran mengenai pemakanan berkhasiat di kalangan ibu bapa masih rendah.
Sebaliknya, kata beliau, ibu bapa sendiri harus memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak mereka melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta menekankan pemakanan seimbang.
"Tidak wajar penjualan nasi lemak dihadkan kerana ia makanan yang sinonim dengan masyarakat negara ini selain murah dan mengenyangkan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan semalam yang menguatkuasakan serta-merta larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat khususnya yang mengandungi gula serta garam berlebihan di kantin sekolah bagi membendung masalah pelajar mengalami obesiti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu juga mahu pengusaha kantin hanya menjual nasi lemak sehari dalam seminggu.


Sunday, April 17, 2011

Menu baru cegah obesiti

PENGUSAHA kantin bukan sahaja perlu mengurangkan kekerapan menjual nasi lemak 
tetapi juga makanan ringan yang digoreng seperti nugget. - Gambar hiasan


SUBANG JAYA - Kerajaan menguatkuasakan serta-merta larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat khususnya yang mengandungi gula serta garam berlebihan di kantin sekolah di seluruh negara bagi membendung risiko semakin ramai pelajar mengalami masalah obesiti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu semalam menegaskan, pengusaha kantin juga hanya dibenarkan menjual nasi lemak sehari dalam seminggu.
Walaupun beliau menganggap nasi lemak mempunyai khasiatnya sendiri, pengambilan makanan itu secara kerap dan berlebihan akan mendorong seseorang itu mengalami obesiti.
"Peraturan melarang penjualan makanan tidak berkhasiat ini termasuk air bikarbonat bukan sahaja melibatkan pengusaha kantin tetapi juga penjaja lain di sekitar kawasan sekolah,'' katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan peringkat kebangsaan ke-5 2011 di sini semalam.