Thursday, August 25, 2011

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengharamkan pembekalan dan penjualan bebola agar-agar (seeds growing kits) yang banyak digunakan untuk tanaman pokok hiasan di dalam rumah.

Pengharaman dibuat selepas kerajaan menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengendalikan pembedahan ‘laparatomy' terhadap lapan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun kerana usus tersumbat akibat tertelan agar-agar berkenaan.
Agar-agar itu turut dikenali dengan pelbagai nama iaitu Seven Colour Crystal Ball, Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata agar-agar berbentuk guli berwarna-warni yang digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau hiasan pasu dijual dalam bentuk bebola kecil bersaiz kurang 0.5 sentimeter yang jika direndam dalam air boleh mengembang sehingga 290 hingga 444 peratus daripada saiz asal dan bersifat kenyal.


"Kanak-kanak mungkin menganggapnya sebagai makanan dan menelannya, manakala sifatnya yang menghakis serta mudah mengembang menyebabkannya tersumbat dalam usus.


"Kanak-kanak yang tertelan agar-agar itu akan mengalami kesan seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat atau usus bocor," katanya pada sidang media khas untuk mengumumkan keputusan itu di sini, semalam.

Berikutan keputusan itu, katanya, penjualan, pembekalan dan menyimpan bahan berkenaan diharamkan mulai hari ini.

Tuesday, August 23, 2011

Awas Kurma Tiruan

kurma tiruan (kiri), kurma asli (kanan)

GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.

Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.

Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.

Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.

“Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.

“Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan,” ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut.

Friday, August 19, 2011

HP Souce dan Tabasco ada DNA Babi

 

 IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bertindak menghantar notis pemberitahuan kepada Persatuan Hotel Malaysia dan syarikat makanan segera berhubung penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam sos jenama HP Souce dan Tabasco, sejak bulan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, yang dihubungi wartawan Harian Metro berkata, pihaknya sudah menghantar notis peringatan memaklumkan kepada pengamal industri makanan yang menggunakan sos jenama berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, aspek penguat kuasaan belum dijalankan berikutan pihaknya sedang melakukan beberapa siasatan terakhir sebelum menguatkuasakan larangan penggunaan dua jenis sos jenama terkenal itu.

“Kami belum memuktamadkan penguat kuasaan larangan itu, namun surat makluman mengenai penemuan DNA babi itu sudah diedar kepada pihak terbabit termasuk rangkaian hotel dan restoran makanan segera.

“Kami sedang menunggu arahan pihak atasan Jakim mengenai tindakan selanjutnya bakal diambil terutama dalam menguat kuasakan larangan itu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas sebaik segala siasatan berhubung larangan penggunaan sos jenama berkenaan selesai kelak.

Difahamkan, Jakim sudah mengambil sampel produk berkenaan untuk dihantar sebanyak dua kali ke Jabatan Kimia Malaysia sebelum ia disahkan terdapat DNA babi di dalamnya.

Persoalan timbul apabila pemilik jenama HP Sauce and Tabasco, HJ Heinz and Mclhenny Company, menyangkal dakwaan kedua-dua jenama itu tidak disahkan halal.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, kedua-dua jenama itu mematuhi sepenuhnya garis panduan kawal selia oleh badan pensijilan masing-masing.

HP Sauce disahkan halal oleh HAC (Halal Audit Company), iaitu pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, di mana terletaknya kilang itu.

Manakala, Tabasco disahkan halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi dan Makanan Islam Amerika) yang juga pihak berkuasa Islam di Amerika Syarikat dan mendapat akreditasi Jakim bagi mengesahkan produk itu bagi pihaknya.