Monday, July 30, 2012

Di mana ikon keamanan dunia ketika kaum Islam minoriti ditindas?

Kaum Rohingya melarikan diri ke Bangladesh menaiki bot akibat konflik di Myanmar. Gambar: AP
Kaum Rohingya melarikan diri ke Bangladesh menaiki bot akibat konflik di Myanmar. Gambar: AP


Seorang sami menunjukkan slogan anti-Rohingya pada tapak tangannya. - Gambar AP
Seorang sami menunjukkan slogan anti-Rohingya pada tapak tangannya. - Gambar AP

Presiden Myanmar, Thein Sein
Presiden Myanmar, Thein Sein

Aung San Suu Kyi ini
Aung San Suu Kyi ini


Dia dijulang sebagai wanita kental yang tidak pernah lelah memperjuang keadilan dan keamanan, sehingga terpaksa menghabiskan hampir 20 tahun hidupnya di bawah tahanan.

Bukan sahaja dunia Barat, pemimpin Islam seluruh dunia juga memandang tinggi kepada wanita bernama Aung San Suu Kyi ini.

Keazamannya dalam menentang penindasan kerajaan tentera Myanmar membuahkan hasil selepas dia akhirnya dibebaskan daripada tahanan rumah pada 2010 dan kini menjadi ketua pembangkang di Parlimen negara itu.

Tetapi apabila timbul isu keganasan terhadap etnik Rohingya, iaitu penduduk minoriti beragama Islam di Myanmar, kelantangan suara Suu Kyi hilang ditenggelami bunyi jeritan dan tangisan kaum itu yang diseksa dan dibunuh oleh etnik Rakhine beragama Buddha.

Keganasan yang kini telah berlarutan lebih lapan minggu di negeri Rakhine, berhampiran sempadan Bangladesh itu dipandang sepi oleh Suu Kyi.

Keengganan beliau untuk bersuara, menimbulkan banyak kritikan dan juga kekecewaan aktivis hak asasi manusia yang selama ini memuja wanita berumur 67 tahun itu.

Suu Kyi tidak mengkritik Presiden Myanmar, Thein Sein yang secara terang-terangan berkata 800,000 penduduk Rohingya itu ‘tidak diingini di Myanmar’ dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa mereka keluar dari negara itu.

Mungkin ramai yang bagai tidak percaya dengan kenyataan Thein Sein sebagai seorang ketua negara, tetapi apa yang lebih membingungkan adalah pendirian Suu Kyi sendiri.

“Ini mengecewakan. Dia berada dalam kedudukan yang sukar, tetapi ramai orang kecewa dia tidak bercakap apa-apa mengenai isu ini,” menurut pengarah eksekutif Kempen Burma Britain, Anna Roberts.

Pengarah badan hak asasi manusia Human Rights Watch di rantau Asia, Brad Adams pula mempersoalkan adakah Suu Kyi turut berkongsi kebencian mendalam penganut Buddha di negara itu terhadap orang Islam Rohingya, iaitu kaum minoriti berkulit gelap yang berpindah dari Bengal ke Myanmar ratusan tahun lalu.

“Keganasan ini tercetus semasa Suu Kyi dalam rangka lawatan ke Eropah tetapi dia langsung tidak menyentuh mengenai hal ini.

“Ini menimbulkan syak wasangka terhadap pendirian sebenar beliau mengenai hal ini,” katanya.

Suu Kyi pernah ditanya mengenai isu Rohingya, tetapi hanya menjawab secara kabur bahawa Myanmar memerlukan undang-undang migrasi yang jelas.

Tetapi jawapannya itu hanya menunjukkan bahawa dia menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang dan bukannya rakyat negara itu.

Minggu lalu, Suu Kyi dalam kenyataan di Parlimen negaranya menggesa undang-undang melindungi hak etnik minoriti diwujudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada hak kumpulan-kumpulan etnik berbeza di Myanmar, dan bukannya mengenai penindasan yang berlaku terhadap etnik Rohingya.

Awal bulan ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggesa Suu Kyi membantu menamatkan keganasan terhadap etnik Rohingya.

“Sebagai penerima Nobel Keamanan, kami yakin langkah pertama anda perlu lakukan untuk memastikan keamanan di seluruh dunia bermula dengan negara anda sendiri,” menurut Pengerusi OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dalam suratnya kepada Suu Kyi.

Menurut penganalisis politik, keganasan kaum yang melanda Myanmar meletakkan Suu Kyi di bawah tekanan kerana perpecahan yang sedia wujud antara agama dan etnik di negara itu.

Dan Suu Kyi, sebagai ahli politik, tentu tidak mahu tersilap langkah hingga terpijak ‘periuk api’ yang akan memusnahkan karier politiknya yang baru hendak bercambah selepas puluhan tahun diletakkan di bawah tahanan rumah oleh kerajaan tentera Myanmar sebelum ini.

“Kami merayu kepada PBB, negara luar, kerajaan Myanmar dan paling utama sekali, kepada Suu Kyi (untuk bantu tamatkan keganasan),” kata Mohammad Islam, ketua pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian bandar Teknaf, Bangladesh.

“Suu Kyi belum pernah mempertahan atau berbuat apa-apa untuk kami, tetapi kaum Rohingya, termasuk ibu bapa saya, berkempen untuknya semasa pilihan raya 1990,” tambah Mohammad.

Adakah Suu Kyi akan menyahut rayuan  Rohingya ini?





Sunday, July 29, 2012

Olimpik 2012 kemuncak teori konspirasi?

Maskot Wenlock (kiri) dan Mandeville ini juga dikatakan menyerupai dajjal.
Maskot Wenlock (kiri) dan Mandeville ini juga dikatakan menyerupai dajjal


Logo 2012 ini jika disusun semula akan menjadi perkataan Zion (Zionis).
Logo 2012 ini jika disusun semula akan menjadi perkataan Zion (Zionis).




Salah satu kad, Combined Disasters (gabungan bencana) dalam permainan Illuminati
Salah satu kad, Combined Disasters (gabungan bencana) dalam permainan Illuminati ini dikatakan bakal menjadi kemuncak teori konspirasi.




Binaan segi tiga di sekeliling Stadium Olimpik juga didakwa menyerupai piramid dalam logo Illuminati



Binaan segi tiga di sekeliling Stadium Olimpik juga didakwa menyerupai piramid dalam logo Illuminati.




Sukan Olimpik London 2012 baru sahaja membuka tirai Jumaat lalu, di mana Britain sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan temasya berprestij itu.

Majlis pembukaan turut diadakan dengan gilang-gemilang dan disaksikan lebih satu bilion penonton di seluruh dunia.

Penganjur memilih untuk mengetengahkan majlis perasmian yang penuh dengan kejutan termasuk kemunculan Ratu Elizabeth II diiringi oleh James Bond (aktor Daniel Craig).

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, beberapa maklumat yang boleh diperoleh menerusi YouTube berpendapat Sukan Olimpik 2012 tersebut adalah kemuncak bagi segala teori konspirasi yang direncanakan oleh Illuminati (pertubuhan Yahudi terbesar di dunia yang bergerak secara rahsia tanpa diketahui siapa menganggotainya).

Illuminati dikatakan bergerak secara terancang dan telah menguasai hampir 80 peratus pelosok dunia.

Pertubuhan rahsia itu juga telah menguasai pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik dan pendidikan dengan menerapkan pemikiran Illuminati yang dirancang sejak lebih 300 tahun lalu.

Sebagai contoh logo 2012 yang diperkenalkan pada Jun 2007 didakwa menelan kos sehingga 400,000 pound (RM2 juta) itu turut memaparkan maksud tersembunyi yang menjadi perkataan Zion (Zionis) serta lambang swastika (Nazi) jika ia disusun semula.

Petunjuk dan maksud tersembunyi tersebut dikaitkan dengan Freemason, sebuah lagi pertubuhan rahsia Yahudi mempunyai matlamat sama seperti Illuminati.

Aspek lain dalam Olimpik London yang mempunyai pengaruh Illuminati adalah dua maskot bermata satu diperbuat daripada logam digelar Wenlock dan Mandeville.

Sesetengah pihak mungkin menganggap kedua-dua maskot tersebut seperti watak animasi filem Monsters, Inc. tetapi jika diamati dengan teliti ia sebenarnya menyerupai dajjal yang diketahui sebagai makhkluk bermata satu.

Kedudukan mata maskot tersebut turut dikaitkan dengan lambang mata satu (all seeing eye) iaitu mata yang melihat semua  yang terdapat dalam puncak segi tiga simbol Illuminati.

Sebagai contoh, pada bahagian atas kepala Wenlock yang kononnya direka sebagai teksi di London juga sebenarnya menunjukkan lambang segi tiga piramid dalam logo Illuminati.

Selain itu, beberapa pemerhati turut mempertikaikan reka bentuk Stadium Olimpik London yang telah meraih Anugerah Institut Arkitek Diraja Britain 2012 (Riba).

Mereka mendakwa binaan segi tiga di sekeliling stadium itu menyerupai piramid separuh siap lambang Illuminati walaupun arkitek firma Populous itu, Philip Johnson menyatakan idea reka bentuknya menandakan era baru dalam acara sukan.

Seperti apa yang dipaparkan menerusi YouTube, mungkinkah akan berlaku satu lagi kejadian dahsyat seperti serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat?

Ini kerana, ada beberapa peristiwa yang terdapat pada 330 kad permainan Illuminati tersebut telah benar-benar berlaku sebelum ini, sekali gus membuktikan teori konspirasi sememangnya sudah lama wujud walaupun kad tersebut dikeluarkan pada 1995.

Ada pengguna YouTube membuat kajian mereka sendiri berdasarkan fakta yang boleh diterima akal.

Dan, mereka menganggap salah satu kad tertera perkataan Combined Disasters (gabungan bencana) adalah kemuncak bagi teori konspirasi ini.

Rancangan jahat yang didalangi oleh agen Illuminati dan Freemason ini sebenarnya bertujuan untuk mencapai matlamat One World Government (satu kerajaan dunia) dengan melaksanakan dasar Novus Ordo Seclorum (Pemerintahan Dunia Baru).

Pertubuhan itu kini bertapak dengan kukuh di Amerika Syarikat (AS) dan melaksanakan pelbagai konspirasi yang berlindung di sebalik undang-undang serta hanya memberi keuntungan kepada sekutunya.

Situasi ini dapat dilihat dengan jelas dalam Kongres AS, yang mana kebanyakan ahlinya terdiri daripada bangsa Yahudi dan keseluruhan dasar negara Barat itu turut menyokong sepenuhnya segala keputusan Israel terutamanya jika ia berbentuk penindasan terhadap orang Islam.

Adakah ia hanya kebetulan? Atau sememangnya telah dirancang dengan teliti oleh pertubuhan rahsia Yahudi ini?

ALLAH telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 120;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad SAW) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya petunjuk ALLAH (Islam) itulah petunjuk yang benar.”







Sunday, July 8, 2012

Derita budak berbulu berakhir

Derita budak berbulu berakhir
Jiangli dilahirkan dengan setompok lapisan rambut hitam pada mukanya kemudian merebak sehingga ke 60 peratus badan.

SHANGHAI - Kisah pilu seorang kanak-kanak berumur enam tahun yang menghidap sejenis penyakit kulit pelik iaitu 60 peratus badannya ditumbuhi bulu hitam, di China bakal berakhir.

Gadis comel, Liu Jiangli telah ditawarkan rawatan oleh pakar-pakar di Shanghai yang akan cuba memulihkan keadaan kulitnya yang ditumbuhi bulu atau rambut di bahagian
muka dan badan sejak dilahirkan.

Lebih menyedihkan, semasa berumur dua tahun ibu bapa Jiangli bertindak meninggalkannya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak sehingga memaksa pusat berkenaan menyiarkan berita meminta saudara terdekat tampil menuntutnya dan enam bulan kemudian, Jiangli dituntut sepupu datuknya.

Sehingga kini, Liu Mingying menggalas tanggungjawab memelihara dan menjaga Jiangli di kediamannya di bandar Guiyang, wilayah Guizhou.

Namun sepanjang tempoh membesar, kanak-kanak ini dibuli rakan-rakan sepermainan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap Mingying kerana anak kecil itu akan sentiasa dicemuh tambahan pula Jiangli kini agak sukar dirapati teman-teman sepermainan yang takut dengan rupanya itu.

Pakar mendedahkan keadaan kulit Jiangli dikenali sebagai sindrom Hypertrichosis Universalis yang mana menyebabkan kulit seseorang itu diliputi sepenuhnya dengan rerambut dan hanya terjadi kepada satu dalam sejuta manusia.



Saturday, July 7, 2012

Padah terlampau aktif di Facebook

Remaja yang terlalu asyik melayari laman sosial berdepan risiko menghadapi tekanan perasaan.
Remaja yang terlalu asyik melayari laman sosial berdepan risiko menghadapi tekanan perasaan.


Canberra: Gadis remaja yang aktif menggunakan media sosial lebih berkemungkinan berdepan masalah kemurungan dan rendah diri, menurut kajian baru. 

Data baru mendedahkan remaja perempuan yang memperuntukkan masa panjang di laman web seperti Facebook, Twitter atau MySpace lebih tidak menyenangi bentuk badan dan berat mereka.

Penyelidikan di universiti, yang meninjau pendapat 1,096 gadis berusia antara 12 dan 16 tahun, mendapati 40 peratus tidak berpuas hati dengan bentuk tubuh dan separuh daripada mereka bimbang dengan kenaikan berat badan. 
Ia juga mendapati ramai gadis menggunakan internet dan media sosial lebih berkemungkinan mengalah dengan perasaan itu. 

Saintis Sekolah Psikologi di Universiti Flinders, Australia, Dr Amy Slater dan Profesor Tiggemann, berkata hasil kajian menunjukkan kaitan membimbangkan. 

“Kami menyiasat peranan media dalam menentukan imej diri gadis remaja. Kami tertarik mendapati bagaimana remaja perempuan memperuntukkan masa lapang dan bagaimana aktiviti berbeza berkaitan dengan apa mereka rasa mengenai diri dan tubuh mereka. 

“Kajian kami menunjukkan kaitan membimbangkan antara penggunaan media keterlaluan, terutama media sosial dan internet, dan rendah diri, tidak puas hati dengan bentuk tubuh dan semangat jati diri dan kemurungan,” kata mereka. 
Kajian juga mendedahkan daripada 96 peratus gadis yang mempunyai capaian internet di rumah, 72 peratus memuat naik gambar sendiri dan 12 peratus memuat naik video. 

Daripada gadis ini, yang purata masa menggunakan internet sehingga tiga jam setengah setiap hari, cuma 35 peratus daripada ibu bapa mereka menetapkan bila dan apa yang boleh dilihat anak perempuan mereka di internet. 

Dr Slater berkata, penyelidikan lanjut yang menganalisis kandungan lebih 600 iklan mendapati 14 daripada laman web paling popular yang mensasarkan gadis remaja memaparkan kosmetik dan produk kecantikan. 

Beliau juga menyatakan, model yang digunakan dalam iklan, kerap mempromosikan keluaran seperti produk menghilang berat dan laman web temujanji yang disifatkan tidak sesuai dengan golongan yang melayarinya – secara umumnya adalah wanita, muda, kurus dan menarik. - Agensi




Wednesday, July 4, 2012

Tumor 23kg dalam perut wanita

GAMBAR menunjukkan tumor yang dikeluarkan dari dalam perut Evelyn.

NEW YORK - Tumor seberat 23 kilogram (kg) telah dikeluarkan dari dalam perut seorang wanita berusia 65 tahun, kata seorang doktor, David Dupree kelmarin.

"Dia merupakan seorang wanita yang kurus dengan mempunyai perut yang besar. Maksud saya ialah dia kelihatan seperti hamil kembar tiga," katanya yang mengetuai pembedahan untuk mengeluarkan tumor tersebut.

Pembedahan selama lima jam itu dilakukan di Pusat Perubatan Riverview di Red Bank, New Jersey.

Wanita yang berasal dari Union Beach, New Jersey itu hanya mahu dikenali sebagai Evelyn.

Kira-kira enam hingga lapan minggu sebelum dirawat di hospital, wanita itu berasa tidak selesa dengan perutnya.

Dr. Dupree berkata, Evelyn mendapatkan bantuan perubatan pada 4 Jun lalu beberapa hari selepas hari ulang tahun kelahirannya yang ke-65.

Menurutnya, wanita itu sebelum ini menangguhkan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana dia tidak mempunyai insurans kesihatan.

Dia kemudian memperoleh insurans menerusi program penjagaan kesihatan yang dilaksanakan pemerintah Amerika Syarikat secara automatik kerana umurnya mencecah 65 tahun.

Ketika dia mendapatkan rawatan perubatan, berat badannya lebih 77kg.

Evelyn dibedah selepas dia mengalami kesukaran pernafasan pada Ahad lalu.

Sebelum dibedah, kedua-dua kakinya bengkak kerana aliran darahnya terperangkap dan tubuhnya kekurangan air.

Imbasan X-ray menunjukkan tumor itu dikenali sebagai malignant sarcoma yang menghimpit saluran yang mengalirkan darah ke jantung. - Reuters