Wednesday, April 30, 2014

Saintis temui antibodi Mers

Antibodi Mers ditemui
Penyelidik antarabangsa mendakwa antibodi semula jadi dalam tubuh manusia mampu merawat Mers.


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Saintis menemui antibodi semula jadi dalam tubuh manusia didakwa mampu merawat virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers).

Kajian dilakukan penyelidik Amerika Syarikat (AS), China dan Hong Kong mendapati, beberapa antibodi mampu mencegah virus itu daripada menjangkiti manusia.

Menurut mereka, antibodi itu adalah protein dalam sistem imun manusia berfungsi sebagai pelindung kepada bakteria dan virus asing.

Hasil penyelidikan saintis China pula mendapati, antibodi Mers-4 dan Mers-27 mampu menghalang sel dalam piring makmal dari dijangkiti.

Sementara itu, kajian saintis AS menunjukkan, tujuh antibodi manusia boleh menjadi vaksin virus tersebut.

Dalam perkembangan lain, tiga lagi maut akibat Mers dilaporkan Kementerian Kesihatan Saudi, sekali gus menjadikan angka korban 105 orang.  - Al-Arabiya

Monday, April 28, 2014

Kegilaan selfie nyaris ragut nyawa

Kegilaan selfie nyaris ragut nyawa
Danny Bowman


KETIKA berada di sekolah tinggi, Danny Bowman, 19, pernah menghabiskan masa sehingga 10 jam untuk mengambil lebih 200 selfie semata-mata mahu menarik perhatian rakan perempuannya.

Kegilaan remaja ini berselfie bermula seawal usia 15 tahun akhirnya memakan diri hingga menyebabkannya terpaksa berhenti sekolah selain kehilangan berat badan secara mendadak.

"Saya pernah tidak keluar dari rumah selama enam bulan hanya kerana gagal mengambil gambar selfie yang sempurna. Saya menjadikan aktor Leonardo Di Caprio sebagai idola dan ketaksuban itu hampir meragut nyawa saya," katanya.

Bagaimanapun, Bowman kini semakin pulih selepas menjalani terapi untuk merawat ketagihannya yang berpunca daripada masalah kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan dismorfia (kebimbangan melampau terhadap penampilan diri sendiri).

Menurutnya, dia sudah tidak lagi mengambil selfie sejak lebih tujuh bulan lalu.

"Saya mula sedar untuk mencapai kesempurnaan adalah satu perkara mustahil," katanya yang dipetik DailyMail

Remaja tersebut kini terlibat dengan Fixers yang merupakan sebuah badan amal bertujuan untuk membantu golongan remaja menyelesaikan masalah dihadapi oleh mereka.

Thursday, April 17, 2014

Motosikal dari bahan terpakai

Motosikal dari bahan terpakai
Mat Te menunjukkan motosikal buatan sendiri yang dihasilkannya dan diberi nama 'Mat Tie'.



GUA MUSANG - Ilmu yang diperoleh semasa mengikuti kursus di Pusat Giat Mara Chiku 5, empat tahun lalu tidak disia-siakan seorang peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, apabila berjaya menghasilkan sebuah motosikal buatan sendiri.

Mat Te Mat Sin, 46, berjaya menyiapkan motosikal berkenaan dalam masa hampir sebulan dengan menggunakan pelbagai komponen terbuang di samping membelanjakan RM2,500 untuk membeli alat ganti bersesuaian.

Ketika ditemui di RKT Kesedar, Mat Te berkata, idea untuk menghasilkan motosikal itu timbul apabila dia melihat banyak komponen dibuang begitu sahaja di sekitar tanah rancangan berkenaan lalu berusaha mengumpulnya.

"Saya ingin buktikan ilmu diperoleh daripada kursus di Pusat Giat Mara pada 2010 lalu mampu membawa perubahan diri saya ke arah lebih kreatif dengan menghasilkan sebuah motosikal yang ada nilai kreativiti tersendiri.

"Apa yang saya lakukan ini bukan untuk kebanggaan diri, tetapi lebih kepada ilmu, berikutan pengajian di Pusat Giat Mara boleh dikatakan berada pada tahap membanggakan," katanya.

Menurutnya, hampir keseluruhan rangka motosikal dibuat menggunakan batang paip besi, manakala tangkinya dibuat daripada zink manakala enjin motosikal pula diambil daripada motosikal jenis Honda C70 yang tidak boleh digunakan lagi.

Mat Te mengakui, bukan perkara mudah untuk menghasilkan sebuah motosikal yang lengkap dan sepanjang menyiapkan motosikal tersebut, dia sentiasa memikirkan untuk membuktikan kemampuan dirinya.

"Syukur kepada ALLAH SWT kerana apa yang saya lakukan ini sudah berjaya dan motosikal tersebut adalah untuk kegunaan sendiri di sekitar tanah rancangan ini kerana memang sukar untuk didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan cukai jalan.

"Motosikal ini saya namakan 'Mat Tie'. Sekarang, sudah ramai penduduk sekitar tanah rancangan ini telah cuba menunggangnya untuk mengelilingi kampung dan mereka dapati tiada masalah termasuk kerosakan," katanya.





Kanta sentuh berkamera







NEW YORK 16 April - Peneraju enjin carian global, Google Inc dilapor telah memfailkan paten untuk sistem kanta sentuh pintar yang dilengkapi kamera sekali gus mampu mengecilkan saiz teknologi sebelum ini yang dipanggil Google Glass.

Menerusi kanta sentuh pintar itu, pengguna hanya perlu menggunakan 'satu sistem canggih yang menggunakan corak kerlipan', berdasarkan kajian syarikat Patent Bolt berbeza dengan gajet Google Glass yang memerlukan pemakai kaca mata pintar berkenaan menggunakan suara mereka untuk mendapat maklumat daripada laman web atau merakam gambar.

Malah, pemakai kanta sentuh pintar itu akan kelihatan berbeza berbanding orang ramai yang menggunakan Google Glass.

Berita tentang tindakan Google memfailkan paten kanta sentuh itu muncul beberapa bulan lalu selepas syarikat berkenaan memperkenalkan satu prototaip kanta sentuh yang mampu mengawal paras glukosa dalam badan.

Ciptaan itu yang dihasilkan syarikat Google X Labs boleh memberi sumbangan terbesar kepada jutaan penghidap penyakit kencing manis yang perlu mengukur kandungan gula dalam darah mereka dengan mengeluarkan sedikit darah daripada jari mereka.

Menurut Patent Bolt, teknologi kanta sentuh pintar itu boleh membantu golongan buta untuk 'melihat' sesetengah objek.

“Sebagai contoh, orang buta yang memakai kanta sentuh pintar Google yang dilengkapi kamera boleh berjalan di laluan kaki lima yang hampir dengan persimpangan. Komponen analisis kanta sentuh itu boleh memproses data imej dari kamera untuk menentukan sekiranya terdapat kereta yang menghampiri persimpangan itu," katanya sebagaimana lapor laman Yahoo.com.

Wednesday, April 16, 2014

Terbeli harum manis palsu?

Terbeli harum manis palsu?
Ahmad Puad menunjukkan mempelam harum manis yang kini dijual di Perlis.


Penguatkuasa PPDNKK Perlis memeriksa buah mempelam harum manis yang dijual di GBBS di Ulu Pauh.
< 1 / 2 >
ARAU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan jenama mempelam harum manis yang dijual di tepi-tepi jalan sekitar negeri ini.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis, Zulkarnain Kamis berkata, sejak mempelam harum manis dijual minggu lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang mendakwa mereka ditipu oleh penjual.

Menurutnya, mengikut aduan yang diterima, penjual mempamerkan harga dan nama mempelam harum manis namun apabila dibawa pulang dan dimakan pembeli mendakwa buah yang dibeli bukan mempelam harum manis.

“Kita tak mahu peniaga mengambil kesempatan menjual buah manga lain namun harga dan namanya adalah buah mempelam Harum Manis hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Sekiranya terdapat penjual yang menipu mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu sama ada mereka boleh
dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) Ulu Pauh, dekat sini, semalam.

Pemeriksaan tersebut dilakukan bersama Jabatan Pertanian Negeri selepas PPDNKK menerima aduan orang ramai bahawa terdapat peniaga menipu menjual mempelam harum manis.

Zulkarnain berkata, semasa pemeriksaan tersebut, Jabatan Pertanian mendapati mempelam harum manis yang dijual di gerai tersebut adalah asli dan tiada tindakan dikenakan terhadap peniaga di situ.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kanan Seksyen Buah-buahan Jabatan Pertanian Perlis, Ahmad Puad Kasim berkata, pihaknya menyarankan orang ramai membeli buah tersebut di ladang Bukit Bintang Batu Pahat, Kangar atau di gerai GBBS di sekitar negeri ini.

Menurutnya, untuk mengenali keaslian buah tersebut kulitnya kini ditambah nilai kosmetik menjadi warna kuning serta ia berbentuk montok bulat tirus di bahagian bawah serta isinya kekuningan dan oren.

“Harganya kini dijual antara RM20 hingga RM25 sekilogram mengikut gred dan buah itu dijangka dapat diperoleh dengan lebih banyak pada hujung bulan ini,” katanya.



Karpal Singh, PA maut kemalangan







IPOH - Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan pembantu peribadinya maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Ng Kong Soon berkata Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.

Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya. - Bernama

Sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan dijangka dilaksana 1 Mei


MELAKA 16 April - Sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan dijangka dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Mei, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.


Beliau berkata, melalui sistem itu, pembeli kenderaan boleh mendapatkan nombor pendaftaran mengikut negeri yang dikehendaki tanpa perlu pergi ke negeri terbabit.

Sebagai contoh, katanya pembeli kenderaan di negeri Melaka yang ingin mendapatkan nombor pendaftaran Johor boleh memohon di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

``Sistem ini bagi menampung kehendak pelanggan kerana ada pengguna jalan raya yang meminati nombor pendaftaran tertentu, jadi bagi memudahkan pelanggan maka kerajaan memudahkan pendaftaran di mana-mana negeri,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan kursus asas pegawai penguatkuasa gred N41 dan pembantu penguatkuasa gred N17 di Akademi Pengangkutan Jalan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.

Ditanya sama ada perkhidmatan pengkomputeran mySIKAP JPJ mampu menampung sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan berkenaan, Ab Aziz berkata sistem mySIKAP kini semakin lancar.

Sistem mySIKAP diperkenal November tahun lepas sebelum ini mengalami beberapa gangguan menyebabkan proses urus niaga menjadi perlahan sehingga mengakibatkan pelanggan menunggu lama ketika berurusan di pejabat-pejabat JPJ.

Dalam pada itu, Ab. Aziz berkata, pertukaran hak milik kenderaan menggunakan sistem biometrik bagi syarikat akan dilaksanakan pada 1 Jun.

Katanya, pertukaran hak milik kenderaan menggunakan sistem biometrik bagi individu telah bermula pada 1 April lepas bertujuan mengelak kes pemalsuan dokumen.

Melalui sistem biometrik berkenaan, pemilik asal dan bakal pemilik harus hadir sendiri ke kaunter JPJ berhampiran untuk mendaftarkan cap jari masing-masing sebelum memulakan transaksi jual beli. - BERNAMA



Tuesday, April 15, 2014

Pengguna Facebook, waspada pepijat Heartbleed


Facebook



KUALA LUMPUR - Pengguna laman sosial Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat 'Heartbleed', iaitu sejenis penggodam akaun pengguna.

Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.

Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan melalui pepijat Heartbleed.

Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz, berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media sosial kerana laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang banyak.

"Negara kita merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke tahap mereka boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan, gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna berkenaan.

"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan akaun anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang disertakan di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.

Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung kehidupan mereka di laman itu.

"Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan peribadi anda," katanya.

Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed awal minggu lalu.

Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat Heartbleed.

Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas dan telahpun memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan sistem keselamatan masing-masing dengan segera.

SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.

Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. - Bernama

Sunday, April 13, 2014

Kereta ‘terbang’ dari curam setinggi 25 meter

Brighton cliff fall

High spirits: The driver was well enough to joke with rescuers after his ordel

Lifted: The car was plucked from the beach and taken away on a flat-bed truck



London: Seorang pemandu bernasib baik apabila hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya ‘terbang’ dari curam setinggi 25 meter dan terhempas di kawasan berbatu di baawah.

Malah, dia juga sempat berseloroh bahawa minuman tenaga diambilnya sejurus sebelum kejadian membuatkannya terbang.

Dalam kejadian tengah malam di Roedean, Sussex, itu, lelaki yang tidak dinamakan itu dipercayai memandu laju menyebabkan dia gagal mengawal apabila sampai di selekoh tajam.

Lebih menakjubkan, lelaki itu hanya mengalami cedera ringan dan dapat keluar sendiri dari keretanya sebelum berjalan beberapa meter untuk mendapatkan bantuan.

Pasukan keselamatan bagaimanapun membawa lelaki itu naik menggunakan tandu dan tangga sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


MH370: CIA tahu hal sebenar

MH370
Seorang tentera Australia melakukan misi pencarian melalui udara menggunakan helikopter Tiger 75, S-70B-2 Seahawk. Foto EPA


WASHINGTON - Seorang penulis berasal dari Amerika Syarikat (AS) yang juga penyiar radio tempatan, Dr Kevin Barrett mempercayai bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS mengetahui perihal sebenar apa yang terjadi kepada pesawat MH370.

Dr Kevin, pemegang Doktor Falsafah Arab-Islamoligi dan pengkritik Perang dan Keganasan terkenal Amerika menyatakan pendapat itu menerusi saluran Press TV, semalam.

“Kehilangan pesawat itu tidak masuk akal. Ia tidak mungkin hilang begitu saja,” katanya.

Menurutnya, beberapa individu di pangkalan CIA di Alice Springs, Australia tahu mengenai perihal sebenar mengenai pesawat itu.

“Maka itu kerajaan Malaysia meminta mereka untuk membantu, namun sehingga kini Malaysia tidak mendapat sebarang respons,” katanya.

Beliau juga bertegas bahawa terdapat individu yang menutup perkara sebenar dalam kejadian ini.

“Sesuatu tidak logik apabila timbul maklumat mengenai pesawat terbabit mengubah haluan, terbang ke arah yang salah dengan beberapa penduduk terlihat ianya terbang rendah di sekitar Kepulauan Maldives lalu menuju ke Diego Garcia dan hilang begitu sahaja.

“Perkara ini sangat aneh dan tidak masuk akal,” katanya menurut laporan Mirror.


Tuesday, February 4, 2014

Semakan Keputusan dan Status Permohonan BR1M 3.0 Online 2014



Semakan keputusan BR1M 3.0 secara online 2014 dan status permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia. Menerusi makluman rasmi Bahagian Bilik Operasi BRIM, semakan keputusan kelayakan BR1M 3.0 boleh diketahui mulai awal bulan Februari 2014. Pembayaran BR1M akan dibuat menerusi akaun bank pemohon. Berikut adalah cara semak Keputusan BR1M 3.0 Online 2014.

Semakan Keputusan BR1M 3.0 Online 2014

1. Menggunakan Talian Hotline BR1M 3.0

Status kelayakan  BR1M 2014 hanya boleh disemak dengan menghubungi talian BR1M : 1-800-88-2716 yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang,
ISNIN HINGGA JUMAAT Mulai FEBRUARI 2014.

2. Emel BR1M 3.0

Status kelayakan BR1M 3.0 juga boleh disemak menerusi emel ke br1m3@treasury.gov.my atau br1m2@treasury.gov.my Mulai bulan FEBRUARI 2014.

Sila nyatakan Nama penuh dan Nombor Kad Pengenalan anda dalam pertanyaan ke alamat emel tersebut.

Perhatian : Setiap pertanyaan menerusi emel akan dibalas dalam masa 2-3 hari bekerja.

Sedikit info Cara Pembayaran BR1M 3.0 Online 2014

Maklumat akaun bank diperlukan dalam permohonan BR1M 2014 kerana pembayaran akan dimasukkan ke dalam akaun. Pemohon dinasihatkan supaya membuka akaun simpanan atas nama pemohon (jika belum mempunyai akaun simpanan) di mana-mana cawangan bank tempatan (BSN/Maybank/CIMB/PBB dan sebagainya). Akaun Tabung Haji dan ASB tidak dibenarkan.



Monday, January 27, 2014

Dr Aafia Siddiqui mangsa fitnah AS

Dr Aafia Siddiqui


Dr Aafia Siddiqui
< 1 / 1 >
DR Aafia Siddiqui, ibu kepada tiga anak dari Pakistan ini diculik dan diseksa di penjara Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Bagram selama beberapa tahun sebelum dipindahkan secara rahsia ke Amerika Syarikat (AS).

Ahli neurologi tersebut menjadi mangsa ketidakadilan AS selepas dijatuhi hukuman penjara 86 tahun pada 2010. Kes terhadap Dr Aafia Siddiqui dipalsukan oleh rejim bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hukuman ke atasnya dirancang Mossad dan turut dibantu rejim bekas Presiden Pakistan Pervez Musharraf.

Kehidupan Awal Dr Aafia Siddiqui dilahirkan pada 2 Mac 1972 di Karachi, Pakistan merupakananak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan Mohammad Siddiqui dan Ismet.

Beliau berpindah ke Texas sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada 1990. Ketika di MIT, Aafia menyertai Persatuan Pelajar Muslim (MSA) dan turut bergiat aktif dalam program memberi penjelasan mengenai keindahan agama Islam kepada penuntut bukan Islam serta memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang.

Selepas tamat pengajian pada 1995, Aafia mengahwini pelajar perubatan, Mohammed Amjad Khan dan menyambung pengajian di Universiti Brandeis dalam bidang neurosains kognitif.

Akibat daripada kesukaran bagi orang Islam untuk terus tinggal di AS selepas insiden 9/11 menyebabkan Aafia dan suaminya memutuskan untuk kembali semula ke Pakistan.

Bagaimanapun, Aafia dan suaminya bercerai ketika beliau sedang hamil anak ketiga yang ketika itu kandungannya mencecah lapan bulan.

Pada Disember 2002, Aafia kembali semula ke AS tanpa membawa anakanaknya untuk mencari pekerjaan di kawasan Baltimore.

Tidak lama selepas itu beliau bersama anaknya dilaporkan hilang selepas pihak berkuasa Pakistan menahan dalang serangan 9/11, Khalid Sheikh Mohammed.


Misteri kehilangan

Menurut ibu Aafia, wanita itu hilang tanpa khabar berita selepas meninggalkan rumah dengan menaiki teksi Metro pada 28 Mac 2003 untuk ke lapangan terbang.

Ketika berita kehilangannya dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri Pakistan membuat pengesahan berhubung penahanan seorang wanita yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Media turut melaporkan, Aafia diberkas agensi risikan di Karachi dan dihantar ke lokasi rahsia untuk disoal siasat.

Setahun selepas itu, jurucakap telah diserahkan kepada pihak berkuasa AS tanpa alasan kukuh.

Aafia dilaporkan hilang lebih setahun selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memuat naik gambarnya dalam laman rasmi mereka kononnya sebagai cara untuk mengaburi mata masyarakat.

Bagaimanapun, pada Februari 2010, anak sulung Aafia yang dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa tampil membuat pendedahan bagaimana dia bersama ibu dan adiknya ditahan kira-kira 15 hingga 20 orang menaiki empat kenderaan yang kemudiannya bertindak menculik mereka.

Ditahan selama lima tahun Aafia mendakwa beliau bersama anaknya diculik perkhidmatan risikan Pakistan sebelum dipindahkan ke pusat tahanan AS.

Wanita itu ditahan di beberapa lokasi rahsia selama lima tahun dan Aafia didera serta turut dirogol dengan kejam ketika beliau dipenjarakan di Bagram sebagai banduan 650.

Ketika itu, Aafia terpaksa menanggung derita kerana menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal selama beberapa tahun.

Pada 4 Ogos 2008, pendakwa raya persekutuan AS mengesahkan Aafia dihantar ke AS dari Afghanistan.


Perbicaraan berat sebelah

Perbicaraan ke atas Aafia berlangsung pada 19 Januari 2010 di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Beliau didakwa merancang melancarkan serangan ke atas Empire State, Brooklyn Bridge dan Wall Street serta cuba untuk menyerang pihak berkuasa AS.

Difahamkan, sepanjang dua minggu perbicaraan berlangsung, kebanyakan saksi dilaporkan turut memberi keterangan bercanggah hingga menyebabkan kes tersebut menjadi semakin rumit.

Pada 3 Februari, Aafia didapati bersalah di atas semua pertuduhan walaupun tiada bukti kukuh dan beliau ditahan sekali lagi di Pusat Tahanan Metropolitan di New York.

Pada April 2010, anak perempuan Aafia, Maryam dipulangkan semula kepada rumah keluarganya di Karachi oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketika dalam satu sidang media, Senator Talha Mehmood memaklumkan, Maryam Siddiqui ditemui di pangkalan tentera udara Bagram.

Menurutnya, budak malang itu dikurung tanpa perikemanusiaan dalam sebuah bilik gelap selama tujuh tahun.

Selepas beberapa kali perbicaraan ditangguhkan, Aafia akhirnya dijatuhi hukuman penjara 86 tahun selepas disabit bersalah di atas lima pertuduhan pada 23 September 2010.


Trivia

Aafia memiliki 144 sijil dan ijazah kepujian dalam bidang neurologi dari pelbagai institut pengajian tinggi di seluruh dunia.

Merupakan satu-satunya ahli neurologi di dunia yang dianugerahkan Doktor Falsafah oleh Universiti Harvard.

Enam bulan selepas bercerai, Aafia didakwa mengahwini Ammar al-Baluchi, sepupu kepada Khalid Sheikh Mohammed tetapi laporan itu dinafikan keluarganya.

- Beliau adalah Hafizah al-Quran. Kini dilaporkan hilang ingatan akibat penderaan fizikal, seksual dan psikologi ke atasnya. Ditahan dalam kurungan seorang diri di Penjara Carswell di Texas.

- Digelar Daughter of Nation.

- Pergerakan Aafia ditubuhkan ketika ulang tahun ke-10 insiden penculikan beliau bersama tiga anaknya pada akhir Mac lalu.

- Kehilangan anak bongsu Aafia, Suleman masih menjadi tanda tanya hingga kini.





Tuesday, January 21, 2014

Ferrari antik dibida RM54 juta

An incredibly rare Ferrari racing car which won a string of famous races in the 1950s has been tipped to set a world record by selling for £10 million



London: Sebuah kereta lumba Ferrari yang pernah memenangi beberapa perlumbaan terkenal pada 1950-an dijangka mencatat rekod dunia dengan bidaan jualan pada harga 10 juta pound (RM54 juta).

Ferrari 375 Plus berkenaan antara kereta lumba yang terpantas dan paling berkuasa pada zamannya, dengan mencatat kemenangan di Le Mans dan Silverstone pada 1954.

Hanya empat versi kereta lumba itu pernah dibuat, manakala satu model kegunaan di jalan raya dibina khas untuk Raja Belgium. Kenderaan merah yang mempunyai enjin V12 dengan 4.9 liter 330bhp itu dan berkelajuan 281 kilometer sejam hanya dikhaskan untuk pemandu yang terbaik dan paling berani zaman berkenaan. Kejayaan terkenalnya ialah ketika perlumbaan Carrera Pan-Americana merentasi Mexico yang dipandu oleh Umberto Maglioli.

Bintang Itali itu memandu 2,000 batu pada kelajuan purata 281 kilometer sejam dan dalam tempoh seperlima daripada tempoh akhir dia memandu dengan kelajuan 241 kilometer sejam. Selepas berpindah milik daripada beberapa pengumpul, ia dibeli oleh pengimport Ferrari, Jacques Swaters kawan rapat Enzo Ferrari pada 1990-an yang mengembalikan zaman kegemilangan kenderaan itu. - AFP

Wednesday, January 15, 2014

Nelayan ‘kesal’ tangkap sotong gergasi

Foto



Tokyo: Sekumpulan nelayan Jepun yang menangkap seekor sotong gergasi semalam mengaku kesal dengan cara mereka menangani hidupan berkenaan.

Ketua nelayan terbabit, Shigenori Goto berkata, dia tidak menyangka tangkapan itu menjadi perhatian ramai, termasuk daripada pihak media. 


“Saya sepatutnya mengaturkan supaya sotong itu lebih dihormati,” katanya. 

Sotong berkenaan ditangkap Goto dan kru kapalnya di Niigata, utara Jepun.

Mereka keluar ke laut dengan harapan dapat menangkap ikan besar.


Kata Goto, mereka sudah berada di laut selama 30 minit ketika haiwan besar merah kecoklatan muncul dari dasar laut. 

“Saya sangat terkejut dan tidak dapat berkata-kata. 

“Kemudian kami mula menjerit serentak ‘sotong gergasi, sotong gergasi,” katanya. 

Sotong jantan seberat 163 kilogram itu bagaimanapun mati sejurus selepas ditarik ke permukaan Rabu minggu lalu. 

Pakar berkata, sotong yang sudah kehilangan sesungut panjangnya ketika ditangkap mungkin berukuran 8 meter secara keseluruhan. 

Bagaimanapun, ia masih dianggap kecil menurut standard sotong gergasi. 

Sotong terbesar pernah ditangkap berukuran sepanjang 18 meter. 

Sotong gergasi yang juga makhluk misteri yang diinspirasikan daripada kisah mitos julung kali muncul berhampiran kepulauan Jepun. - Reuters





Tuesday, January 14, 2014

Gajet boleh jadi racun


GAYA ibu bapa menghadiahkan telefon dan tablet berinternet kepada anak mungkin dianggap bersesuaian dengan zaman teknologi, namun ia sebenarnya mampu mempengaruhi si anak kepada masalah sosial, terutama aktiviti seksual luar nikah.


Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPSA) Sabri Rahman berkata budaya menghadiahkan gajet kepada anak sebagai pengganti kesibukan ibu bapa perlu dihentikan kerana ia akan menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial termasuk kes rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Mereka (ibu bapa) menyedari kesibukan itu, malangnya mereka tidak mencari jalan untuk meluangkan masa bersama sebaliknya menghadiahkan gajet untuk menggembirakan anak-anak dan menebus waktu kesibukan mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas mengenai laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendedahkan kes rogol membabitkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini berpunca daripada penyalahgunaan internet membabitkan pelaku yang masih bersekolah.

Siasatan mendapati punca utama mereka terlibat dalam jenayah itu selepas terpengaruh dengan media sosial seperti Facebook dan laman sesawang yang memaparkan video dan bahan-bahan lucah di internet.

Agensi berita di London melaporkan kajian terbaharu 'The Journal of Pediatrics' mendapati perbuatan mengirim pesanan serta gambar lucah secara elektronik atau 'sexting' berkemungkinan mendorong aktiviti seksual membabitkan bukan sahaja pelajar sekolah tinggi tetapi juga pelajar sekolah rendah berusia 12 hingga 14 tahun.

Jurnal berkenaan mendedahkan kajian yang dijalankan ke atas 420 responden gred tujuh di lima sekolah rendah awam di bandar Rhode Island, Amerika Syarikat mendapati pelajar cenderung untuk bercium, melakukan seks oral atau hubungan seks berbanding rakan sebaya yang tidak menghantar mesej lucah.

Asas kebimbangan Sabri dikukuhkan lagi apabila gajet yang diberikan kepada anak tidak dipantau sebaliknya dibiarkan menjadi 'sahabat' yang boleh merosakkan minda terutama untuk golongan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

"Lebih mengecewakan apabila masih ramai ibu bapa yang tidak 'IT savvy', mereka sendiri pun tidak tahu menggunakan gajet canggih apa lagi untuk memantau gajet yang digunakan anak-anak," katanya.

Malah agensi turut melaporkan hasil kajian itu saintis mendapati, 'sexting' dikaitkan dengan kecenderungan perlakuan seksual seperti menyentuh alat sulit, seks oral dan seks vagina.

Menurut pengkaji, kumpulan ini empat hingga tujuh kali lebih cenderung melakukan perlakuan seksual lain.

Penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula berkata gajet berinternet ibarat lautan tanpa sempadan mampu memberi masyarakat pelbagai ilmu namun bagi golongan kanak-kanak dan remaja, yang dipenuhi perasaan ingin tahu penerokaan laman sesawang tanpa kawalan pastinya mengundang impak negatif.

"Memang kanak-kanak dan remaja lebih pantas menguasai dunia digital berbanding ibu bapa, sifat kurang matang dan tidak sedar akan membawa kepada akibat negatif yang serius," katanya.

Antara cadangan lain, Wan Akashah turut meminta agar filem dan drama yang menayangkan adegan mesra suami isteri seperti berpeluk dan bercium tidak disiarkan di kaca televisyen.

Beliau berkata penerbit drama dan filem perlu memberi perhatian isu berkenaan kerana adegan seperti itu yang dianggap biasa bagi golongan dewasa tetapi sebenarnya sesuatu yang baharu bagi kanak-kanak yang mendorong mereka untuk menirunya.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Fadhil Che Din berkata senario kini menyaksikan banyak kes-kes rangsangan seksual yang ditonton dan dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung melalui media sosial dan persekitaran.

Justeru beliau berkata untuk membendung kes seumpama itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan pembentukan sahsiah diri generasi masa hadapan. - Bernama




Amaran sinar UV dicipta

Amaran sinar UV dicipta



BAGI wanita yang mementingkan penjagaan kulit dari sinaran cahaya matahari, kini pemakaian gelang June mampu menghalang mereka daripada terus terdedah kepada sinaran UV itu.

Berfungsi dengan cara disambungkan kepada telefon pintar, aplikasi ini akan memberi panduan berdasarkan kelakuan pemakai dan jenis kulit termasuk tip mengekalkan kulit sihat.

Setelah itu, pemakai akan dimaklum jika mereka perlu menggunakan krim pelindung matahari, topi atau pun cermin mata hitam.

"Diperbuat daripada logam aloi, ia turut mempunyai sensor permata yang didatangkan dengan tiga warna iaitu emas, platinum dan logam.

Ia juga boleh dipakai sebagai aksesori seperti kerongsang selepas mendapat sentuhan pakar barang kemas," menurut syarikat yang menciptanya dalam laman sesawang menurut laporan Daily Mail.

Sunday, January 12, 2014

Aplikasi sosial paling digemari

Aplikasi sosial paling digemari

PENINGKATAN penggunaan telefon pintar dan internet telah mengubah trend pengguna hari ini, pemilik telefon pintar lebih berminat menggunakan aplikasi sosial media sebagai alat komunikasi untuk terus berhubung dengan rakan-rakan mahupun keluarga.


Apatah lagi, kemudahan itu tersedia secara percuma dengan melanggan mana-mana syarikat penyedia internet dalam negara.


WeeChat
Timbalan Presiden Kumpulan Perniagaan Antarabangsa Tencent, Poshu Yeung

WeChat, peneraju aplikasi mudah alih sosial inovatif direka khusus untuk pengguna telefon pintar. WeChat boleh dimuat turun percuma daripada storan aplikasi menerusi sistem operasi Android, Blackberry, iOS, Symbian dan Windows Phone.

Aplikasi itu mencatatkan muat turun paling banyak dengan lebih daripada 100 juta akaun berdaftar di pasaran antarabangsa.

Baru-baru ini, WeChat dan laman sesawangnya diperakui syarikat peneraju Global Pengurusan Data Peribadi (DPM), Truste yang menawarkan penilaian peribadi, pensijilan, alat pemantauan dan kawalan pematuhan.

Pengumuman itu sebahagian komitmen berterusan WeChat untuk privasi dalam talian, ketelusan dan pilihan pengguna. WeChat, aplikasi sosial telekomunikasi mudah alih paling popular di dunia yang menerima sijil ini.

"Kami mempunyai lebih 100 juta akaun berdaftar peringkat global dan merevolusikan cara orang ramai berkomunikasi dalam kehidupan harian dengan menyediakan pengalaman unik.

"Menerusi pensijilan itu, pengguna WeChat lebih yakin menggunakan aplikasi ini apabila mengetahui data mereka dilindungi dengan baik ketika berhubung dengan rakan-rakan." katanya.

Viber
Ketua Pegawai Operasi Viber, Talmon Marco
Viber dibangunkan oleh Viber Media, syarikat peneroka pesanan mudah alih dan VoIP. Ia membolehkan sesiapa sahaja berhubung percuma menerusi pesanan teks, pelekat, foto, video, berkongsi lokasi seluruh dunia, membuat panggilan bermutu definisi tinggi, berkomunikasi melalui Push To Talk pada iPhone, telefon dan tablet Android, telefon Windows, Blackberry, Windows, Windows 8,Mac, Linux, Symbian, Nokia S40 dan peranti Bada melalui
sambungan 3G/4G atau WiFi.

Kini pengguna boleh membuat panggilan kadar rendah ke mana-mana nombor telefon seluruh dunia kepada lebih 200 juta pengguna di 193 negara. Bagi meningkatkan kepuasan pengguna, Viber sentiasa membuat pembaharuan dengan memperkenalkan platform dan menambah ciri baharu yang menyeronokkan.

Baru-baru ini, Viber melancarkan versi Windows 8 bagi membolehkan platform mesej dan VoIP terkemuka itu kepada peranti tablet dan desktop yang menggunakan Windows OS.

“Windows 8 ialah platform menarik untuk diikuti dan buat pertama kalinya membawakan set elemen UI baharu dan mempunyai fungsi yang unik.

"Pengguna kini boleh menggunakan Viber melalui Windows 8 dan ia adalah sebahagian komitmen kami terhadap tahap ketersediaan kepada platform yang luas," katanya.


Waze
Pengarah Kanan Komunikasi Waze Julie Mossler

Waze adalah peneraju sosial navigasi, teknologi mudah alih. Waze kini menjadi laman utama kepada rangkaian terbesar dunia kepada pemandu yang berhadapan dengan trafik setiap hari serta menjimatkan masa dan wang.

Selain itu, Waze juga akan menyarankan laluan paling pantas berdasarkan pemanduan nyata daripada jutaan penggunanya. Baru-baru ini, ketika lawatan ke negara ini, Waze mengumumkan bahawa Malaysia berada di kedudukan kelima dunia dengan 1.5 juta pengguna menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding 700,000 pengguna pada Februari tahun lalu.

“Kedudukan itu meletakkan Malaysia di kalangan 15 negara dari 200 negara berasaskan komuniti terbesar dunia penggunaan aplikasi itu.

“Sehingga kini, terdapat 50 juta pengguna aktif seluruh dunia dan menjangkakan jumlah peningkatan itu meningkat tahun depan," katanya.

Menariknya, Waze mempunyai 3,300 laluan disediakan bagi panduan jalan raya di Malaysia. Ia boleh dimuat turun pengguna Andriod dan IOS tetapi boleh dilayari menerusi komputer dengan aplikasi Windows.

Thursday, January 9, 2014

Karat cacatkan badan kereta

Karat cacatkan badan kereta

MASALAH karat boleh mencacatkan badan kereta. Ia boleh berlaku melalui pelbagai cara; kesan calar kecil akibat tergores dengan basikal anak, troli pasar raya hingga pada kesan tebuk kecil yang menembusi badan kereta.


Tahukah anda, hatta tahi lembu yang lembap pun, jika terlanggar dan melekat pada badan kereta juga boleh menyebabkan bahagian kereta berkarat jika dibiarkan dalam jangka panjang!

Kebiasaannya, logam digunakan untuk membina badan kereta adalah teguh serta kuat dan tahan sepanjang hayat jika dilindungi dengan betul. Tapi, jika membiarkan bahagian ini terdedah pada unsur pencemaran alam, ia boleh membentuk kesan karat serius.

Kesan karat yang tidak dikawal akan merebak, malah jika tidak diambil peduli, kos membaik pulih kesan karat menjadi mahal.

Karat berlaku apabila ada kesan kelembapan pada logam binaan kereta. Walaupun bahagian logam binaan kereta dilindungi lapisan cat dasar dan lapisan cat metalik, dalam jangka panjang kesan calar akibat goresan atau pergeselan batu kecil boleh menyebabkan lubang kecil dan merosakkan bahagian permukaan cat kereta.

Lubang kecil ini membolehkan air menembusi bahagian logam berkenaan dan berlaku karat.

Antara tanda karat adalah terbentuknya kesan gelembung kecil di bawah lapisan cat kereta dan pemilik kenderaan seharusnya tidak biarkan masalah itu berlaku.

Semua kenderaan terdedah kepada elemen yang boleh menyebabkan karat terutama di bahagian bawah kereta.

Bahagian bawah ini akan mengalami goresan, bercalar dan berlanggar dengan pelbagai objek yang melaluinya. Namun, ada kenderaan yang kurang mengalami masalah berkarat kerana ia dilindungi lapisan cat dasar. Lapisan perlindungan ini dapat melindungi bahagian ini dalam jangka waktu satu hingga tiga tahun.

Pemandu tak bertanggungjawab akan memandu dengan kasar dan tidak pedulikan komponen penting pada kereta. Jika bahagian bawah kereta kerap berlanggar dengan lubang atau bonggol jalan, ia akan menyebabkan komponen bawah seperti ekzos serta bawah enjin alami perlanggaran yang kerap.

Ia boleh menyebabkan kesan bocor dan akan bermula dari lubang kecil hingga jadi lebih besar.

Baiki sebelum jadi teruk

Apabila beberapa bahagian kenderaan berkarat, kereta perlu dibaiki sebelum ia menjadi lebih teruk. Antara tipnya, jika mengesan tanda karat, buang dengan pisau kecil. Kikis kesan karat itu bersama lapisan cat. Lakukan dengan cermat supaya tidak kena bahagian lain.

Bersihkan bahagian itu menggunakan air suam dan sabun pencuci khas kereta untuk menanggalkan kesan ‘wax’ dan daki kotoran. Tutup sebarang lubang yang terjadi menggunakan ‘filler (bahan tampalan) berwarna putih atau warna tanah untuk diratakan di permukaan ini.

Apabila kering, gunakan kertas pasir untuk digosokkan pada permukaan yang ditampal tadi untuk merata serta melicinkannya. Bila telah rata dan bersih, sapukan cat asas bertujuan melindungi logam. Ia boleh memberi perlindungan berpanjangan bagi mencegah karat dari berulang.

Setelah cat asas betul-betul kering, barulah boleh disapu cat kereta. Gunakan berus yang disertakan atau berus halus supaya dapat mengawal dan mengecat bahagian itu dengan teliti.

Biarkan lapisan pertama ini kering sebelum diulangi sehingga lapisan permukaan kelihatan rata.

Untuk penjagaan secara umum, langkah berikut boleh dilakukan:
a) Periksa selalu lubang saliran pada rangka, lantai dan bahagian bawah kereta supaya lembapan tidak terperangkap.
b) Pastikan bahagian bawah kereta disembur dengan pancuran air yang kuat, sebulan sekali.
c) Buangkan objek yang menyerap lembapan dari bahagian dalam kereta untuk elak berkarat.

Sumber: http://mytipsbox.wordpress.com/

Wednesday, January 1, 2014

Gergaji kaki sendiri kerana miskin

Gergaji kaki sendiri kerana miskin
Zheng memotong kaki sendiri pada tahun 2012 kerana beliau tidak mampu untuk membayar kos perubatan hospital. 



HEBEI - CHINA. Seorang petani di China memotong sendiri kakinya yang telah dijangkiti kerana tidak mampu menampung rawatan di hospital.

Jangkitan kaki Zheng Yanliang dari provinsi Hebei di utara China itu bermula tahun lalu sehingga dia berdepan kegagalan aliran darah.

Ketika menemui doktor sebelum itu, Zheng, 47 tahun mula sedar bahawa dia bakal kehilangan kaki apabila doktor memberitahu dia perlu menjalani pembedahan.

“Saya bertanya berapa kos pembedahan tersebut dan doktor memberitahu satu kaki mencecah RM 162,000 dan lebih RM 541,000 bagi kedua-dua kaki.

“Saya tak mampu. Saya hanya ada RM 10,000,” katanya yang dipetik dari BBC.

Kes Zheng ini menunjukkan kelemahan dalam sistem penjagaan kesihatan China terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Mereka dilindungi bagi beberapa rawatan perubatan di bawah skim insurans kesihatan luar bandar kerajaan tetapi mereka terpaksa membayar kos pendahuluan dan hanya boleh menuntut kembali sebahagian daripada kos tersebut.

“Saya terbaring di tempat tidur lebih daripada tiga bulan. Kaki saya bertukar hitam. Kulit dan daging semua jadi hitam.

“Ada ulat dalam daging. Saya boleh nampak tulang kaki kanan saya. Setiap kali tengok, saya rasa sakit,” katanya.

Jelasnya, perkara itu dilakukan tanpa persetujuan isterinya.

“Saya memberitahu isteri bahawa saya mahu memotong kaki saya menggunakan gergaji dan dia tidak gembira dengan perkara itu lalu kami bertengkar sebelum dia keluar dari rumah.

“Saya jumpa gergaji besi di bawah tempat tidur dan pisau kecil...saya terus gergaji kaki dan ia ambil masa 20 minit,” katanya.