Tuesday, May 24, 2011

Awas!Sindiket penjualan telefon bimbit tiruan China


KOTA BHARU: Satu sindiket penjualan telefon bimbit tiruan buatan China dikesan mengadakan ‘siri jelajah’ ke seluruh negara dengan menyertai aktiviti perniagaan seperti karnival teknologi maklumat (IT) dan jualan gudang bagi memasarkan telefon berkenaan.

Sindiket berpusat di Kuala Lumpur itu dikesan bergiat aktif di beberapa lokasi, malah pernah dikenakan tindakan di negeri ini seperti di Tanah Merah dan Kok Lanas, di sini, namun tetap menjalankan operasi haram itu.

Siasatan mendapati, sindiket itu menggunakan modus operandi meletakkan sampel telefon bimbit asli di atas meja pameran, manakala telefon bimbit tiruan disembunyikan di tempat lain.

Sebaik pelanggan ‘dipancing’ jurujual, anggota sindiket yang berada di tempat lain akan dihubungi menerusi telefon dan membawa telefon bimbit tiruan untuk ditunjukkan kepada pelanggan.

Taktik itu berjaya dikesan selepas seorang lelaki berusia 30-an dipercayai ketua sindiket ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, pada satu operasi di Karnival IT dekat Wakaf Bharu, Tumpat, Ahad lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Fauzi Haron, berkata penahanan lelaki dipercayai ketua sindiket berkenaan dilakukan hasil intipan dan pemerhatian terhadap aktiviti kumpulannya selama hampir satu jam di lokasi perniagaan di gerai sementara di karnival itu.

“Menyedari aktivitinya berjaya dikesan pihak kami, lelaki terbabit cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kami yang mengekorinya hampir dua jam menahannya di hadapan sebuah hotel di Kampung Lembah Sireh, di sini. Hasil pemeriksaan, didapati dia menyimpan stok telefon bimbit tiruan di dalam keretanya dan hanya membekalkannya kepada pembeli apabila dikehendaki berbuat demikian,” katanya, semalam.

Menurut Fauzi, hasil soal siasat turut mendapati lelaki itu mengakui dari Kuala Lumpur dan menjelajah ke seluruh negara dengan menyertai pelbagai aktiviti perniagaan seperti karnival IT dan jualan gudang.

“Kami turut mendapati ahli kumpulannya pernah ditahan di Tanah Merah dan Kok Lanas dan dikenakan tindakan, namun sindiket itu masih berdegil apabila tetap meneruskan kegiatan mereka.

“Kita memandang serius aktiviti itu kerana membabitkan penipuan barangan tiruan selain perlu menjaga kepentingan umum dan kita akan terus mengesan mereka yang terbabit,” katanya. Fauzi berkata, sebanyak 86 unit telefon bimbit tiruan berjenama terkenal buatan China dan sebuah Proton Iswara dengan nilai sebanyak RM46,000 dirampas daripada lelaki itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 18(1), Akta yang sama yang boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.-metro


No comments:

Post a Comment