Thursday, February 21, 2013

Pemandu pelancong diserang biawak Komodo


BOLEH SERANG MANUSIA: Biawak Komodo bebas berkeliaran di Taman Negara Komodo di Pulau Rinca, Indonesia.



JAKARTA: Seekor biawak Komodo telah menyerang seorang pemandu pelancong di sebuah taman negara di Indonesia, kelmarin.

Ini serangan kedua oleh biawak Komodo di Taman Negara Komodo dalam tempoh dua minggu.

Dalam kejadian kelmarin, seekor biawak Komodo sepanjang dua meter tiba-tiba muncul apabila seorang pemandu pelancong sedang merentas hutan bersama empat pengunjung di Pulau Rinca.

"Beliau cuba melindungi dirinya dengan sebatang kayu tetapi biawak Komodo itu lebih kuat dan pantas. Beliau digigit di betis kanannya," kata seorang pegawai pentadbiran Taman Negara Komodo, Encik Heru Rudiharto.

Pemandu pelancong itu, Encik Abdurahman, 25 tahun, kemudian dibawa ke sebuah hospital di Pulau Flores yang berdekatan.

Betis kanannya terpaksa dijahit ekoran daripada gigitan biawak tersebut.

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati gigitan biawak Komodo mengandungi racun yang boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh serta mengalami kekejangan dan kejutan ekoran daripada pendarahan.

Lazimnya, biawak Komodo boleh membesar hingga tiga meter dan seberat 70 kilogram.

Awal bulan ini, seekor biawak Komodo di taman negara yang sama telah menyerang dua pekerja di situ.

Kedua-dua mangsa tersebut terpaksa dirawat inap di hospital kerana mengalami kecederaan serius.

Salah seorang mangsa adalah pegawai renjer berusia 50 tahun dan sedang duduk di pejabat apabila biawak Komodo itu menyelinap masuk dan menyerangnya.

Rakan sekerjanya, 35 tahun, terdengar jeritan renjer itu dan cuba membantu.

Namun, beliau juga diserang dan digigit. - AFP.


No comments:

Post a Comment