Monday, December 23, 2013

Salji di Timur Tengah evolusi alam atau balasan?

Salji di Timur Tengah Evolusi alam atau balasan?

KEHADIRAN salji di beberapa negara di Timur Tengah baru-baru ini menimbulkan pelbagai andaian termasuk ramai masyarakat menganggapnya sebagai petanda kiamat dan pembalasan dari ALLAH SWT terhadap kezaliman di Mesir dan Palestin.

Namun, tidak terkecuali juga apabila beberapa teori sains menyatakan, kejadian itu  merupakan sebahagian daripada evolusi alam taat kala proses pemanasan global semakin aktif di Kutub Utara dan Selatan.

Kira-kira 60 tahun lalu, Palestin yang merupakan sebuah negara di bawah cengkaman Zionis, dilaporkan pernah dilanda salji.

Minggu lalu, negara itu sekali lagi dilanda ribut salji sehingga melumpuhkan seluruh Israel dan Tebing Barat serta menenggelamkan kawasan di Genting Gaza.

Kira-kira 30,000 isi rumah di seluruh negara terputus bekalan elektrik di mana hampir 9,000 daripada mereka merupakan penduduk di Baitulmuqaddis.

Dua lebuh raya utama ke bandar itu ditutup di kedua-dua arah dan salji setebal antara 45 hingga 60 sentimeter dengan suhu 2 Celsius meliputi kawasan di kota suci itu.

Semua jalan menuju ke Tel Aviv, Golan Heights dan Lapangan Terbang Ben-Gurion terpaksa ditutup.

Ribut salji terburuk sejak 1953  bukan sahaja mencetuskan huru hara di wilayah Palestin, malah keadaan itu turut memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Syria.

Di Lembah Lubnan Bekaa sahaja, hampir 1 juta pelarian Syria terpaksa berasak di dalam 250 khemah untuk menunggu ban-tuan pakaian panas dan selimut.

Salji di Mesir

Ribut salji yang melanda sebahagian besar Asia Barat makin gempar apabila Mesir turut menerima kehadiran salji buat pertama kali selepas 112 tahun.

Minggu lalu, penduduk di negara panas dan berdebu itu berpeluang melihat salji dari tingkap kediaman.

Kejadian berlaku apabila bumi Mesir ditimpa hujan selama dua hari dan keesokan harinya, salji didapati menyelimuti pinggir Kaherah hingga melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan.

Semenanjung Sinai yang biasanya merupakan kawasan padang pasir tandus turut ditimpa salji tebal.

 Keadaan itu memaksa pihak berkuasa menutup pelabuhan pantai Iskandariah walaupun menerima sedikit salji selepas cuaca buruk dan angin kencang melanda kawasan itu selama tiga hari berturut-turut.

Jurucakap pusat meteorologi, Ali Qutb berkata, cuaca sejuk yang sama pernah melanda Mesir beberapa tahun dahulu tetapi tidak menyebabkan salji.

“Penurunan suhu antara 5 dan 11 Celsius bukan perkara biasa di sini. Apa yang menyebabkan turunnya hujan disertai salji di sesetengah kawasan adalah kerana suhu yang jatuh terlalu mendadak,” katanya kepada agensi berita Al Arabiya.

Agensi berita Mena turut melaporkan, pelabuhan utama di Laut Mediterranian dan Laut Merah ditutup selama tiga harisebagai langkah berwaspada.

"Ribut dikenal sebagai Alexa pada awalnya melanda Turki dan kemudiannya membawa ke Mesir," menurut laporan.

Seloka salji

Dalam pada rakyat tempatan dan dunia masih terkejut dengan perubahan cuaca itu, segelintir penduduk Mesir sempat berjenaka dengan memuat naik gambar cuaca sejuk berserta komen menarik.

‘Mesir mempunyai iklim seperti Eropah...ekonomi Somalia’ dan ‘gambar hari ini: unta di dalam salji, seperti beruang kutub di padang pasir’ merupakan antara kata-kata di tweet pada laman Twitter.

Tidak kurang juga terdapat tweet sinis, apabila menyifatkan perubahan cuaca itu adalah era baru sejak penggulingan Presiden Mohamed Mursi Julai lalu.

Seorang pengguna Twitter dengan  penuh sinis mengucapkan 'terima kasih' kepada Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah As-Sisi gara-gara fenomena itu.

'Salji telah turun di Mesir buat pertama kali dalam sejarah era pemerintahan As-Sisi. Tunduk hormat kepada beliau kerana dalam hanya beberapa bulan, beliau berjaya membuat Mesir kelihatan seperti negara Eropah dengan adanya salji'.

Walaupun ramai pengguna media sosial mengatakan bahawa musim sejuk itu merupakan paling sejuk sejak 112 tahun, namun ia dinafikan Pihak Berkuasa Meteorologi Mesir.

No comments:

Post a Comment