Mohd Sabron Jamil bersama ular tedung
TANGGAL 3 Mac 2012, Mohd Sabron Jamil, 24, yang juga kakitangan Zoo Teruntum, Kuantan, koma apabila dipatuk ular tedung selar betina sepanjang 14 kaki ketika membersihkan kandang ular berkenaan.
Taring ular berkenaan terbenam selama 20 saat di lengan kirinya mengakibatkan anak muda ini terlantar lebih sebulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Doktor mencadangkan agar lengannya dipotong namun cadangan ini ditentang keras oleh keluarganya.
Kini, selepas lebih tiga bulan, meski pun sudah sihat namun tangan kirinya disahkan tidak berfungsi sepenuhnya. MW berkongsi kisah anak muda ini tatkala bertandang ke rumahnya di Sungai Karang Darat, Beserah, Kuantan.
Tangan kiri Mohd Sabron Jamil atau mesra disapa Jamil masih membengkak. Penulis sempat meminta izin untuk memegangnya. Ketika ditanya adakah ia sakit, pantas kata Jamil, “bakar pun tak terasa kak.”
Ternyata patukan ular tedung selar yang dipanggilnya Hana mengubah keseluruhan perjalanan hidup anak muda ini. Jika suatu ketika dahulu, pengunjung Zoo Teruntum dapat melihat pelbagai aksinya bersama haiwan itu termasuk aksi mencium, memasukkan Hana ke dalam mulut namun segalanya kini berubah.
Jamil lebih banyak duduk di rumah menanti tangannya pulih dan ada kalanya dia menjadi pengacara bagi acara-acara persembahan binatang yang dilakukan kawan-kawannya.
Bercerita lebih lanjut tentang hari kejadian kata Jamil ia berlaku selepas dia cuba membersihkan kandang Hana, ular tedung selar yang ditangkap sendiri di kawasan rumahnya. Secara tiba-tiba ular yang masih punya bisa itu mematuk tangannya sekali gus membenamkan taring di lengan kirinya.
“Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang. Tanpa sedar taring Hana sudah membenam di tangan kiri. Saya tak menjerit atau terasa sakit sebelum adik sepupu dan seorang kawan Nasarudin segera menerpa ke arah saya.
“ Sebelum itu saya cuba membuka mulutnya namun gagal sebelum dibantu. Lebih kurang 20 saat lamanya taring Hana terbenam di lengan saya.
Sebaik berjaya membuka mulut Hana, Nasarudin dan adik sepupu bergilir menyedut bisa ular dan kemudian terus menghantar saya ke hospital.
“Semasa sampai di hospital, saya segera menelefon ayah dan memberitahu saya dipatuk ular. Semasa di wad kecemasan, keadaan saya mula lemah kerana suntikan antivenom tiada di HTAA dan perlu menunggu stok dari Kuala Lumpur yang memakan masa lebih lima jam. “Ketika ini juga saya berkata pada diri sendiri, saya tak mahu mati begini dan saya harus kuat.
Meskipun tidak sedarkan diri lagi selepas itu, tapi syukur kerana Allah masih memanjangkan usia saya lagi,” katanya yang kemudian memberitahu Nasarudin dan adik sepupunya turut ditahan tiga hari di wad kesan dari bisa yang disedut mereka.
Cerita Jamil lagi, keadaan selepas itu menjadi semakin kalut apabila dia tidak sedarkan diri selain mulutnya mengeluarkan buih dan matanya turun naik ke atas sehingga menyebabkan seluruh ahli keluarganya berasa sangat bimbang.
Apa yang ditakuti terjadi
Dalam pada itu kata ibunya, Noor Azahariah Ramli, 53, sejak kecil, anak-anaknya seramai enam orang sudah terbiasa dengan reptilia berbisa ini. Setiap kali suaminya, Kamarudin Abdullah, 56 menangkap ular dia suka menayangkan binatang ini kepada anak-anaknya.
“Suami saya tak memiliki sebarang kemahiran menangkap ular tetapi bila jiran-jiran minta tolong, dia akan membantu tambahan pula masa dahulu, agak sukar mendapatkan pertolongan cepat.
“Bila bawa balik ke rumah, dia akan tunjuk pada anak-anak. Ajar mereka tentang reptilia ini, apa yang boleh dan tidak. Apabila dewasa, Jamil mengikut jejaknya dan sering kali pergi menangkap ular yang masuk ke rumah jiran-jiran di sini,” katanya mengakui di kawasan sekitar rumahnya di Sungai Karang Darat, Beserah, Kuantan dipenuhi dengan reptilia ini.
“Hinggalah suatu hari Jamil membawa pulang seekor ular tedung selar yang agak besar dan saya perhatikan seakan Jamil akrab dengannya. Ke mana saja akan dibawa dan tak pernah lekang,” katanya.
Tambah ibu ini lagi, setiap kali anaknya bermain pertunjukan ular di tempat kerjanya, doanya tidak pernah putus. Malah dia pernah menasihatkan anaknya untuk mengurangkan aktiviti bermain dengan Hana kerana bimbang sesuatu terjadi.
“Tetapi percaturan Allah lebih adil. Apa yang saya takuti akhirnya jadi kenyataan apabila Jamil dipatuk ular sehingga koma berbulan lamanya,” katanya yang segera menelefon adiknya selepas anaknya dipatuk ular.
“Adik saya terus menelefon kawannya yang juga pengamal perubatan tradisional. Katanya bisa ular sudah merebak ke seluruh tubuh Jamil dan mereka cuba menyekatnya dengan menarik bisa berkenaan,” katanya yang berusaha memberi air penawar awal bisa ular iaitu batang pokok pisang yang dikisar lalu diambil airnya.
“Malangnya, air batang pokok pisang yang kami bawa ditolak oleh doktor. Semasa sampai di hospital, dalam tempoh sejam Jamil masih ok malah sempat minta maaf pada semua. Namun selepas itu, matanya mula naik dan kekejangan. Mulutnya berbuih dan mula tak sedarkan diri sementara menunggu antivenom tiba,” katanya menceritakan kembali detik anaknya bertarung maut itu.
Jelas Noor Azahariah, kala semua merasakan hayat anaknya tidak panjang, suaminya dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa anaknya itu akan hidup dan mereka semua perlu bersabar.
“Alhamdulillah, berkat doa dan solat hajat lebih tujuh masjid di seluruh negara, meski pun antivenom belum disuntik di tubuh Jamil jam 10 malam, Alhamdulillah, kami mendapat anak kami kembali,” katanya sambil memberitahu setiap satu dos antivenom itu memakan masa setengah jam untuk disuntik ke tubuh dan Jamil memerlukan sembilan dos pada malam tersebut.
No comments:
Post a Comment