Thursday, June 30, 2011

Newsweek 'hidupkan semula' Puteri Diana


LOS ANGELES 29 Jun - Mendiang Puteri Diana 'dihidupkan semula' pada paparan muka depan majalah Newsweek dengan foto yang menggambarkan dia dan kehidupan yang mungkin dilaluinya untuk meraikan hari jadinya yang ke-50 Jumaat ini.

Foto dan kisah tersebut membayangkan Diana mungkin berkahwin kali kedua, menggunakan Botox dan sedikit cemburu dengan kehadiran menantu baru, Kate Middleton.

Ia sekali gus membangkitkan kemarahan kebanyakan orang yang meluat melihat majalah itu dijual di kedai pada minggu masa yang sama Putera William dan isterinya memulakan lawatan rasmi ke Amerika Utara.

"Mengejutkan, hebat atau sekadar cerita murahan?," soal majalah Los Angeles Times.

Blog berita, Mediaite.com menggelarnya sebagai 'tidak menghormati di semua tahap', manakala laman web The Atlantic Wire memaparkan tajuk utama Setakat Manakah Seramnya Hantu Puteri Diana?.

Editor Newsweek, Tina Brown, seorang rakyat Britain yang menulis gosip pada 2007 mengenai biografi mendiang Diana, membayangkan jika puteri itu tidak maut dalam kemalangan di Paris pada 2007, mendiang mungkin berpindah ke New York, kekal kelihatan cantik, berkawan dengan bekas suami, Putera Charles dan isteri, Camilla serta mempunyai 10 juta pengikut dalam Twitter.

Namun foto Diana yang diubah menggunakan gambar digital di muka depan majalah tersebut yang 'menggambarkan dia masih bertubuh langsing dan bergaya, sedikit kedut di muka', menjadi faktor kemarahan orang ramai.

Foto itu juga memaparkan Diana berjalan seiringan dengan Kate sambil tersenyum dan penuh rasa kagum.

Kandungan majalah tersebut turut membayangkan laman sosial Facebook milik Diana menyukai filem, The King's Speech dan siri televisyen, The Real Housewives of New York.

Malah ia juga membayangkan mendiang keluar bersama David Beckham dan isteri, Victoria serta menghantar kata-kata sokongan kepada pakar perubatan spiritual, Deepak Chopra dan artis yang juga aktivis China, Ai Weiwei.

"Ugh... ia sungguh tidak sesuai... biarlah wanita malang itu bersemadi dengan aman. Jika saya adalah anggota keluarganya, saya akan sangat marah dan tersinggung,'' tulis seorang wanita di halaman komentar Newsweek. Terdapat juga berkata mereka membatalkan langganan terhadap majalah berita mingguan AS tersebut. - REUTERS

No comments:

Post a Comment