Sunday, May 15, 2011

25 peratus pelajar obes pada 2020?

NASI lemak menjadi pilihan utama ketika tinjauan bagi laporan khas mengenai para pelajar
 yang mengalami masalah obesiti di Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, baru-baru ini.


Satu perempat atau 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah obesiti atau kegemukan pada 2020 yang juga berisiko mempunyai penyakit.

Anggaran tersebut berdasarkan trend peningkatan satu peratus obesiti pelajar setiap tahun yang peratusannya didapati terus meningkat.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman menjelaskan, anggaran itu berdasarkan kajian pada 2007 yang mendapati hampir 12 daripada 100 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami obesiti berbanding hanya dua orang dikesan 10 tahun sebelumnya.

“Maka itu tidak mustahil jika tidak ditangani segera, pada 2020 sejumlah 25 daripada 100 pelajar atau satu perempat daripada mereka akan mengalami masalah itu.

“Jika diperincikan lagi, ini bermakna 10 pelajar dalam kelas yang mengandungi 40 orang adalah pelajar gemuk yang tidak aktif dan berisiko berpenyakit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada masa ini terdapat lebih 5.24 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Ridzoni berkata, walaupun selepas pelbagai pendedahan dan usaha dilakukan kerajaan, gejala obesiti atau kegemukan di kalangan remaja khususnya pelajar sekolah masih gagal diatasi.

“Oleh sebab itu, kantin berperanan sebagai tempat membentuk pemikiran pelajar berkaitan pemakanan seimbang sekali gus boleh mempengaruhi ibu bapa di rumah.

“Seandainya pengusaha kantin sekolah mampu menyediakan hidangan yang mengandungi sayur-sayuran dalam setiap menu, budaya pemakanan sihat secara praktikal dapat dibentuk dan menggalakkan para pelajar membawa amalan tersebut ke rumah,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi menangani peningkatan masalah tersebut dengan mencadangkan larangan 15 jenis makanan 'tidak sihat' dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah.

Turut dicadangkan ialah supaya indeks jisim badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Mengambil pengalaman beliau ketika berada di Jepun, Ridzoni berkata, pakar nutrisi dan pengusaha kantin sekolah akan bekerjasama dalam memastikan hidangan dijual adalah sihat.

Tambah Ridzoni, pelajar memerlukan kalori sebanyak 1,500 hingga 2,200 dalam sehari bergantung pada aktiviti harian yang dilakukan dan pihak berkaitan seharusnya peka dengan jumlah kalori yang sepatutnya diambil-  Bernama




No comments:

Post a Comment