Tuesday, May 17, 2011

Kajian harga RON95 awal Jun


IPOH: Kerajaan akan mengkaji semula harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada pada kadar RM1.90 akan kekal atau sebaliknya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian semula itu akan dilakukan bersama agensi lain termasuk Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) bertujuan menentukan sama ada harga sedia ada kekal berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

Katanya, kerajaan tidak boleh terus menanggung subsidi produk petroleum pada jumlah tinggi sehingga berbelas bilion ringgit kerana jumlah sebesar itu sepatutnya boleh dibelanjakan untuk projek yang memanfaatkan rakyat.


“Mengikut pelan Rasionalisasi Subsidi, kajian semula dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. “Sehubungan itu, untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lalu.



“Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun. “Saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan dibuat dan tanggungan subsidi kerajaan adalah tinggi,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di sini, semalam.



Menurutnya, buat masa ini, tanggungan kerajaan bagi produk petroleum terlalu tinggi, malah tahun lalu kerajaan menanggung RM8 bilion dan jika kenaikan harga petroleum dunia berterusan, tanggungan akan menjadi RM18 bilion iaitu kenaikan RM10 bilion.


“Walaupun minggu lalu saya mengatakan tidak ada kenaikan (RON95) buat masa ini, namun ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi,” katanya.


Menurutnya, jika subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih bantuan pelajaran kepada rakyat.


“Rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar ditanggung kerajaan,” katanya.


dan ia sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat," katanya.- 



Menurutnya, kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun lalu iaitu lima sen kepada RM1.90 seliter.



Sementara itu, Ismail Sabri turut memberi amaran kepada mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan pada kadar tidak munasabah dan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan.


“Kenaikan harga gula 20 sen yang diumumkan baru-baru ini sepatutnya tidak membebankan pengeluar makanan kerana kajian mendapati setiap kenaikan harga produk sepatutnya tidak melebihi 0.05 sen,” katanya.- metro



No comments:

Post a Comment