Wednesday, October 3, 2012

Bintang NBA Muflis Sekelip Mata

Muflis Sekelip Mata

Los Angeles – Gara-gara sikapnya yang suka berjoli, Antoine Walker, juga suatu dulu dipuja sebagai bintang bola keranjang NBA yang hebat, akhirnya terpaksa mengisytiharkan diri sebagai muflis.

Akibat `lupa diri’ wang sebanyak RM330 juta yang diperolehinya ketika bermain bola keranjang, habis dalam masa dua tahun selepas dia bersara.

Selain kehabisan wang, dia juga berdepan dengan individu dan bank yang menuntut hutang daripadanya.

Akibatnya, dia terpaksa bermain semula bola keranjang untuk liga tempatan bagi menampung kehidupannya.

Menurut Walker, selepas bersara, dia mempunyai wang yang banyak dan menjadi jutawan, namun sikapnya yang suka berjudi, berfoya-foya dan melabur dalam pasaran hartanah yang salah, telah menyebabkannya menjadi muflis sekelip mata.

“Saya mencipta sendiri kehidupan berkenaan dan membelanjakan wang yang diperolehi sepanjang 13 tahun bermain bola keranjang,’’ katanya.

Walker mencipta nama ketika menjadi bintang pasukan Boston Celtics, Dallas Mavericks  dan beberapa pasukan lain antara 1996 hingga 2008.

Pada Mei 2010, dia memfailkan pengisytiharan bankrap selepas berhutang sebanyak RM16.6 juta.

“Saya terlibat dalam projek perumahan dengan bank dan turut menjadi penjamin kepada peminjam. Namun ketika dunia dilanda kemelesetan ekonomi pada 2007 dan 2008, bank telah menuntut wang berkenaan.

“Saya membuat pinjaman dengan lapan buah bank dan ia amat membebankan saya. Bank pula terus memburu saya bagi meminta saya melunaskan pinjaman,” katanya.

Dia bukan sahaja melabur dalam pasaran yang salah, malah tabiat berjudinya turut menyebabkan dia terus menanggung padah.

Pada 2009, dia ditangkap di kasino Harrah di Lake Tahoe, Nevada selepas memberikan cek palsu selepas kalah judi lebih RM2 juta.

Selain itu, dia juga hidup mewah dan dilaporkan memperuntukkan lebih RM10 juta untuk kawan-kawannya.

Bagi membolehkan mereka berjoli sakan, dia turut membeli beberapa buah kereta mewah.




No comments:

Post a Comment