Indonesia – Setiap kali menonton perlawanan bola sepak penonton pastinya akan merasa bahang kepanasan akibat debaran menyaksikan siapa yang akan menjadi juara.
Namun di Indonesia, bahang panas itu bukan disebabkan oleh debaran menantikan aksi pemain pujaan masing-masing sebaliknya kerana permainan bola itu sendiri adalah panas.
Apa tidaknya, buah kelapa yang dibuang kulitnya, dijadikan sebagai bola. Bukan itu sahaja, ia juga direndam di dalam minyak tanah selama dua hari, sebelum dibakar.
Ia sekali gus menjadikan perlawanan bola sepak itu sebagai perlawanan bola panas.
Pemainnya, yang hanya berpakaian kain pelekat serta berkaki ayam itu akan mengejar kelapa yang dinyalakan api itu dan berebut-rebut untuk menendangkan.
Seperti biasa, pasukan yang menjaringkan gol akan menang.
Disifatkan sebagai permainan bola sepak yang paling panas dan mencabar selama 60 minit, pemainnya pula bukan calang-calang orang.
Sebelum turun padang, mereka perlu berpuasa selama 21 hari yang merupakan sebahagian daripada proses penyucian diri.
Selepas semuanya bersedia, barulah perlawanan itu dimulakan.
Permainan tersebut popular di Jawa Timur dan dimainkan di sekolah agama.
Menurut penganjur pertandingan, perlawanan itu diadakan bagi menguji keberanian pemain yang juga pelajar sekolah agama itu untuk bermain dengan api.
Ia juga sebagai persediaan pelajar untuk mendapatkan ketahanan diri serta kekuatan rohani.
No comments:
Post a Comment