Friday, March 16, 2012

Amah Indon buat satu kerja dapat gaji RM700



JAKARTA: Indonesia mula melatih pembantu rumah untuk dihantar ke Malaysia yang hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah dengan gaji minimum RM700 sebulan.

Berdasar peraturan itu, jika seorang pembantu rumah diambil untuk menjadi tukang masak, dia akan hanya menjalankan tugas memasak serta tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengasuh bayi.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, berkata ia adalah antara persetujuan yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata, 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari mulai semalam dengan kemahiran khusus masing-masing, manakala majikan yang memerlukan pembantu rumah Indonesia untuk menjalankan semua empat tugas itu perlu mengambil empat pembantu rumah yang khusus terlatih dalam kemahiran masing-masing.

Dr Reyna berkata, kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan sebarang masalah seperti yang berlaku pada masa lalu.

Katanya, pada masa ini 12 daripada 176 agensi pekerjaan Indonesia bersedia melatih pembantu rumah berkenaan, manakala lima daripada 221 agensi di Malaysia bersedia menguruskan penempatan mereka dengan majikan di Malaysia.

“Pada masa ini sebahagian besar daripada calon pembantu rumah berkenaan sedang dilatih di Surabaya, Jawa Timur dan di Bekasi, Jawa Barat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia.

Beliau berkata, selepas pengiriman kumpulan pertama 106 pembantu rumah itu, ribuan lagi akan dihantar ke Malaysia dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 orang sebulan.

Setakat ini belum ada pembantu rumah Indonesia dihantar secara rasmi ke Malaysia sejak negara itu menarik balik moratorium pengiriman pembantu rumah ke Malaysia pada 1 Disember tahun lalu. Pembekuan sementara itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu negara itu oleh majikan Malaysia.
Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 dengan memperkemaskan peruntukan, terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai adalah kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja kepada agensi pekerjaan. Selain itu, pembantu rumah diberi sehari cuti setiap minggu dan dibenarkan memegang pasport sendiri. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment